Oleh: Ahmad Ismail
Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar tentang lemang, rendang, atau pakaian baharu. Ia adalah pentas besar yang menyatukan keluarga, sahabat, dan jiran dalam satu ruang penuh makna. Dari gurauan ringan di meja makan, kepada perkongsian cerita silam dan semasa, hingga ke sembang santai tentang masa depan negara. Semuanya menjadi benih kepada agenda perubahan. Inilah keindahan Aidilfitri Dimana pertemuan mesra yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim, tetapi juga membuka jalan untuk kita berfikir lebih jauh tentang kehidupan, masyarakat, dan masa depan Malaysia.

Malaysia bernasib baik kerana berada dalam keadaan aman, bersih, dan tenteram, hasil usaha masyarakat berbilang kaum, budaya, dan agama yang hidup dalam harmoni dengan penuh persefahaman, toleransi, dan hormat menghormati. Tradisi ziarah menziarahi dan menyantuni keluarga menjadi asas kepada silaturahim yang kukuh dan mesti dikekalkan.
Berbeza dengan negara yang sedang berperang atau bergelut dengan kemiskinan, masyarakat kita masih menikmati kehidupan yang relatif selesa. Pertemuan mesra antara keluarga, sahabat handai, dan rakan taulan bukan sahaja mengucapkan Selamat Hari Raya, bertanya khabar dan mengeratkan hubungan, tetapi juga membuka ruang untuk bertukar pengalaman dan berkongsi cerita. Ada yang mengimbas kenangan masa muda, ada yang berkongsi pengalaman selepas berkeluarga dan bekerjaya. Sembang ini merapatkan saudara, menyambung kekeluargaan, dan menyalakan semangat kebersamaan.
Menariknya, dalam suasana ziarah, kita dapat menilai keadaan masyarakat dan ekonomi negara. Walaupun ada cabaran, keadaan masih terkawal. Daripada perkongsian cerita antara keluarga dan sahabat dari pelbagai latar kerjaya, polis dan tentera, guru dan peniaga, profesor dan pesara, termasuk ahli politik dan pentadbir negara, semuanya memberikan gambaran tentang realiti semasa. Ada yang positif, ada juga yang mengangkat isu yang perlu diperbaiki.
Bagi penganalisis, sembang ini membuka mata tentang jurang antara bidang kerjaya. Misalnya, cerita ahli toksikologi, doktor, dan pegawai PBT tentang isu racun dalam makanan, penjagaan kesihatan, dan pengurusan sisa makanan sering tidak selari. Kepakaran berbeza, jabatan berbeza, dan tanggungjawab berbeza menjadikan cerita terpisah. Namun, jika dirumuskan secara bersepadu, ia boleh menjadi panduan untuk penyelesaian. Dalam dunia baharu yang dipacu teknologi dan kecerdasan buatan (AI), ada peluang untuk menyelarikan maklumat ini agar lebih saksama dan bermanfaat.
Isu penggunaan plastik, misalnya, menjadi contoh nyata. Pinggan, cawan, sudu, dan bekas plastik digunakan meluas ketika Hari Raya. Selepas itu, ke mana perginya semua sisa ini? Jika tidak ke tapak pelupusan, ia mungkin berakhir di sungai dan lautan, menambah pencemaran. Sembang santai tentang perkara ini boleh membuka kesedaran baharu, bahawa perubahan gaya hidup perlu dilakukan demi kelestarian alam sekitar.
Pertemuan Hari Raya juga memberi peluang mendengar pandangan pegawai kerajaan, pembuat dasar, dan penguatkuasa undang-undang. Walaupun ada kelemahan dalam perkhidmatan awam dan pendidikan, sembang ini boleh menjadi pencetus kepada penyelidikan dan penyelesaian baharu. Profesor dan ahli akademik boleh mengambil inspirasi daripada cerita masyarakat untuk merangka kajian yang relevan dengan realiti negara.
Ringkasnya, perjumpaan Hari Raya bukan hanya tentang nostalgia atau gurauan. Ia adalah wadah perkongsian cerita yang merapatkan keluarga, mengukuhkan mesra, dan menyambung ikatan kekeluargaan. Jika dianalisis dengan teliti, sembang ini mampu menyumbang kepada perubahan negara masa hadapan, dari segi ekonomi, kesejahteraan hidup, dan kesesuaian dengan budaya Melayu Islam. Dengan semangat sederhana, toleransi, dan penerimaan kebaikan, Malaysia boleh terus melangkah maju dalam keadaan aman dan harmoni.

More Stories
Jati Diri Alam Semula Jadi Malaysia: Warisan yang Perlu Dipertahankan
Political Disharmony and Fragmentation As We Approach GE16…
Titah Sultan Bukan Suara Biasa: Derhaka Pada Hikmah, Buruk Padahnya