Siapa sangka, tahun 2018, selepas PRU 14, buat pertama kalinya BN diterajui UMNO tumbang. Tiada pilihan, UMNO kembali berjinak-jinak dengan PAS dalam blok pembangkang. Hasrat kerajaan PH 1.0 melaksanakan ICERD berjaya mereka halang, dengan kerjasama beberapa NGO.
Siapa sangka, akhirnya UMNO dan PAS setuju, entah buat berapa kalinya, membentuk pemuafakatan, dengan jenama Muafakat Nasional. Belum pun ke mana, mereka sudah bertelagah. MN hanya tinggal sebagai NGO yang UMNO dan PAS sendiri tidak sedar ianya telah didaftarkan sebagai sebuah NGO.
Siapa sangka, sebagai sambutan tahun 2021, politik Tanahair berdentum lagi. Tatkala rakyat sedang terpinga-pinga diserang wabak covid-19, satu lagi wabak menyerang mereka, iaitu wabak pertukaran kerajaan. Belum pun sempat bermesra dengan corak kepimpinan Kerajaan PH 1.0, negara dipimpin pula oleh Kerajaan PN, sebuah kerajaan campuran yang aneh. Bersatu dan PAS membentuk Perikatan Nasional (PN). Tak cukup kuat membentuk kerajaan, mereka curi beberapa pemimpin UMNO sertainya. UMNO sebagai sebuah parti, dalam kerajaan pun tidak, sebagai pembangkang pun tidak.

Siapa sangka, kerajaan yang hampir 100% diterajui orang Melayu, mengaku diri mereka semuanya berkeperibadian sebagai ASWJ, gagal membina pemuafakatan sesama mereka, bertelagah siang-malam, sesama sendiri. Akhirnya, mereka bubarkan kerajaan PN yang dibentuknya melalui proses ‘tebuk atap’.
Siapa sangka, hasil PRU 15 pada November 2022, BN diterajui UMNO dan PH diterajui DAP, yang berseteru sekian lama, boleh duduk semeja, membentuk Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani. Perikatan Nasional yang 100% Melayu, enggan bekerjasama dengan UMNO yang juga 100% Melayu. Salah siapa?
Siapa sangka, Kerajaan Madani dapat bertahan lebih tiga tahun. Jangka hayat itu jauh lebih panjang berbanding Kerajaan PH 1.0 (22 bulan), Kerajaan PN (17 bulan) dan Kerajaan MOU (kurang setahun) dari UMNO yang bukan mewakili UMNO. UMNO juga mampu bertahan dan pekakkan telinga dengan tohmahan dilabel sebagai UMDAP. Setidak-tidaknya bagi UMNO, jenama itu jauh lebih jelas keberhasilannya berbanding jenama UMPAS yang tiada siapa dapat buktikan keberhasilannya.
Pun begitu, menyambut kedatangan tahun 2026, lanskap politik Tanahair semakin fluid.
PN yang menguasai 4 negeri tetiba terdengar dentuman di sana sini.
Tahun 2026 mereka sambut dengan dentuman politik yang kuat. Perlis, negeri terkecil diantara empat negerai dikuasai PN, sudah bergolak. 100% kepimpinannya adalah orang Melayu yang mengaku mereka berkeperipadian sebagai ASWJ. Terguling Menteri Besarnya. Tersingkir tiga ADUN dari parti PAS yang miliki kerusi majoriti di DUN Perlis.
Maka berseterulah diantara Bersatu dengan PAS, dua sekutu utama dalam PN. Maka terbuktilah sekali lagi yang bilamana kepimpinan sesebuah kerajaan diterajui 100% orang Melayu, ianya tidak akan stabil. Sebabnya, keutamaan pemimpin Melayu, ialah bertelagah sesama sendiri dan menjatuhkan antara satu sama lain. Mereka tidak pedulikan agenda kesejahteraan rakyat atau pun kemakmuran negeri/negara. Itu bukan agenda mereka.
Dalam komponen dalam Kerajaan Madani juga dentuman politik di sana sini adalah lumrah. Mereka bersama sekadar ‘unity of convenience’ semata-mata.
Isu penghakiman terhadap Dato Sri Najib dijadikan penyebab untuk dentuman dimulakan dikalangan ‘seteru dalam selimut’ dalam Kerajaan Madani. Dentuman itu bersahut-sahutan.Makin lama makin kuat dentuman yang kedengaran.
Bila Pemuda UMNO buat dentuman kuat menerusi Konvensyen Pemuda UMNO pada 3 Januari 2026, yang dianjurkan dengan ehsan Presidennya, bermulalah pesta dentuman politik menyambut kedatangan tahun baru, tahun 2026.
Dr Akmal menerajui dan mengurus Konvensyen itu dengan penuh kebijaksanaan. Dalam dewan konvensyen semuanya berjalan mengikut tertib.
Yang kecoh ialah di luar dewan konvensyen. Yang lebih kecoh ialah dikalangan orang Melayu sendiri, baik dalam mahupun di luar UMNO.
Setidak-tidaknya, Dr Akmal berjaya menjentik keinginan DAP, iaitu seteru dalam selimut kepada UMNO, untuk memberikan reaksi dengan dentuman politik yang lagi kuat.
Pengerusi DAP Melaka, orang senegeri Dr Akmal, paling kuat melenting, seraya mengugut untuk DAP berjuang solo. Dengan angkuhnya Mr Khoo Poey Tiong, Pengerusi DAP Melaka, menyalak konon katanya DAP lebih rela berjuang solo. DAP dah biasa sebagai pembangkang katanya, hatta tak hairankan jawatan menteri, exco dan apa juga.
Bagus salakan Mr Khoo itu. Salakan itu disambut oleh Setiausaha Kehormat DAP yang merasmikan persidangan itu, Mr Anthony Loke. Di sini kita nampak jelas bezanya budaya politik dikalangan orang Melayu, baik di dalam atau di luar UMNO, berbanding dengan budaya politik DAP. Dikalangan mereka, tiada siapa pun yang tibai salakan Mr Khoo itu, tidak seperti apa yang diterima oleh Dr Akmal.
Rumusan yang saya nak buat ialah budaya politik dikalangan orang Melayu lebih menjurus kepada tikam-menikam belakang, membuka pekong di dada dan saling jatuh menjatuhkan sesama sendiri. Tetapi, pada masa yang sama bernafsu besar hendak meletakkan semua institusi politik Melayu di bawah satu Payung Besar. Hari ini mereka ajak bersatu, esok mereka tibai parti yang diajaknya bersatu. Itulah dentuman yang kita dengar saban hari dikalangan pemimpin politik orang Melayu.
Hendaknya ada lebih ramai pemimpin muda seberani Dr Akmal. Hendaknya ada lebih ramai pemimpin DAP secelupar Mr Khoo.
Hendaknya DAP benar-benar meninggalkan Kerajaan Madani. Elok sangatlah DAP benar-benar menunjukkan taringnya sebagai seteru dalam selimut kepada UMNO, dalam Kerajaan Madani. Bukan Mr Khoo dan Mr Loke saja berperwatakan begitu dalam DAP. Ada ramai lagi yang sentiasa mencucuk ibarat duri dalam daging.
Hendaknya DAP cakap serupa bikin. Hendaknya DAP benar-benar berundur dari Kerajaan Madani. Hendaknya UMNO dapat jenama baru.
Hendaknya dengan hanya tinggal UMNO, PKR, PAN dan GPS serta kemasukan Warisan atau GRS mewakili orang Sabah, Kerajaan Madani mampu bertahan untuk setidak-tidaknya selama dua penggal. Selepas itu kita lihatlah siapa bakal dilantik PMXI.
Hendaknya semua menteri UMNO dalam Kerajaan Madani akan lebih signifikan peranan dan sumbangannya kepada kelangsungan kuasa politik orang Melayu, bukan sekadar cemerlang sebagai menteri semata-mata.
Dato Dr Hasan Mad
Setiausaha Agung MPM
8-1-2026

More Stories
Dr Akmal Saleh, Jangan Undur Diri, Kepimpinanmu Amat Diperlukan
Strategi Negara: Mengawal Kos Sara Hidup Tanpa Melahirkan Kartel
Perjuangan Bahasa: Antara Jati Diri, Toleransi dan Harga Sebuah Bangsa