Penyatuan Melayu Islam bukan sekadar slogan yang dilaungkan ketika musim politik, bukan juga mantera yang diulang dalam ceramah demi mengaut sokongan. Ia adalah jeritan jiwa umat yang lama terpendam, lahir daripada kesedaran bahawa kita semakin lemah bukan kerana kekurangan bilangan, tetapi kerana kehilangan kebersamaan.

Penyatuan ini adalah amanah sejarah. Ia diwariskan oleh para ulama, pejuang dan pemimpin terdahulu yang memahami bahawa agama adalah teras, bangsa adalah wadah, dan tanah air adalah medan khidmat. Namun amanah ini sering dikhianati apabila penyatuan dipersempitkan menjadi projek politik kepartian semata-mata.
Apabila penyatuan dimulakan melalui skrip politik, yang hadir bukanlah keikhlasan, tetapi percaturan. Bukan ukhuwah, tetapi penyingkiran. Nama “perpaduan” disebut di bibir, namun jalannya dipenuhi syak wasangka dan dendam lama. Hasrat murni umat akhirnya tercalar kerana perjuangan ditundukkan kepada kepentingan kuasa, bukan kepada tuntutan agama dan maruah bangsa.
Inilah realiti pahit yang terus berulang selagi penyatuan Melayu Islam digerakkan dari sudut kepartian yang sempit, sudut yang melihat manusia sebagai angka, bukan amanah; melihat kuasa sebagai tujuan, bukan alat.
Sebagai mereka yang lama bergerak dalam NGO, persatuan kebajikan, silat, pendidikan dan kemasyarakatan, pengalaman di lapangan memberikan gambaran yang jauh lebih jujur tentang makna penyatuan. Penyatuan sebenar tidak lahir di pentas pidato atau sidang media. Ia tumbuh perlahan-lahan dalam kerja-kerja khidmat, dalam peluh sukarelawan, dalam kesabaran mendidik anak bangsa.
Dalam gelanggang persilatan, di dapur kebajikan, di surau-surau kampung dan program masyarakat, anak-anak Melayu daripada pelbagai latar parti mampu berdiri sebaris, duduk semeja dan bergerak seiring , tanpa bertanya warna politik. Di sinilah wajah sebenar perpaduan umat terserlah, sunyi daripada retorik, tetapi kuat dengan keikhlasan.
Patah galah dalam perahu,
Perahu hanyut ke tepi seberang;
Bersatu hati kita berpadu,
Bercerai umat runtuh terbuang.
Namun, penyatuan yang ikhlas ini bukan tanpa ujian. Apabila tangan-tangan politik masuk dengan niat kepentingan peribadi, benih perpecahan mula bercambah. Apa yang sepatutnya menjadi medan ukhuwah bertukar menjadi gelanggang perebutan pengaruh. Jawatan menjadi buruan, nama menjadi taruhan, dan amanah perjuangan mula dilupakan.
Di sinilah umat sering tewas , bukan kerana lemahnya potensi, tetapi kerana rapuhnya disiplin dan keikhlasan dalam menjaga amanah. Kita mudah lupa bahawa setiap gerakan yang dibina tanpa adab dan nilai akan runtuh oleh nafsu sendiri.
Lebih menyedihkan, kita terpaksa mengakui satu hakikat pahit: pihak yang memusuhi Islam sering kali mampu bersatu dengan lebih kemas dan tersusun. Mereka bertauhid dalam misi, teguh dalam strategi dan sanggup berkorban demi tujuan bersama. Mereka memahami bahawa kekuatan terletak pada kesatuan matlamat dan keteguhan prinsip.
Ironinya, rahsia kekuatan umat Islam, ukhuwah, disiplin jamaah dan semangat pengorbanan, sering dimanfaatkan oleh musuh, sedangkan kita sendiri mengabaikannya. Kita berpecah atas perkara kecil, sedangkan mereka bersatu atas kepentingan dasar.
Kain songket tenunan lama,
Dipakai raja di balairung seri;
Jika umat berpecah sesama,
Musuh bersatu menawan bumi.
Umat Melayu Islam juga terlalu ghairah mengangkat sistem dan metod politik demokrasi sebagai matlamat akhir, hingga terlupa bahawa ia hanyalah alat. Politik dijulang setinggi langit, tetapi asas perjuangan dibiarkan retak. Akidah semakin longgar, adab semakin hilang, kesetiaan kepada jamaah semakin pudar, dan roh pengorbanan diganti dengan kepentingan diri.
Apabila penyatuan dibina atas angka dan kerusi semata-mata, ia menjadi rapuh. Sedikit ujian sudah cukup untuk meruntuhkannya. Sedikit godaan sudah cukup untuk memecahkannya.
Maka penyatuan Melayu Islam yang sejati menuntut keberanian untuk kembali kepada asas. Ia mesti digerakkan dari jiwa umat, bukan dari bilik strategi. Ia perlu diperkukuh melalui NGO, pertubuhan, persatuan budaya dan gerakan masyarakat yang ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
Politik tetap perlu, tetapi ia mesti disusun mengikut acuan nilai, bukan sebaliknya. Tanpa anjakan ini, nama-nama besar seperti Muafakat Nasional akan tinggal sebagai label kosong, disebut-sebut, tetapi tidak dihayati, dilaungkan, tetapi tidak dihidupkan.
Sesungguhnya, penyatuan bukan soal siapa mendahului, tetapi siapa sanggup merendah diri. Bukan siapa menang, tetapi siapa setia pada amanah. Bukan siapa paling lantang, tetapi siapa paling istiqamah.
Apabila agama dijadikan kompas, bangsa dipelihara dengan hikmah, dan tanah air dipertahankan dengan jiwa yang bersih , barulah penyatuan Melayu Islam menjadi kekuatan yang digeruni dan keberkatan yang dirindui.
Noor Hakimi
Pengerusi GERAHAM
Kaki Gunung Jerai, Kedah

Alhamdulillah
terima kasih