Oktober 25, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Apabila Lembaga Pembangunan Bandar (Urban Development Authority, UDA) dimansuhkan dalam tahun 1996, berkuburlah sebuah inatituai eksekutif Kerajaan Persekutuan yang sejak awal 1970an, diamanahkan menjaga kesejahteraan rakyat di bandar.

Bayangkan jika FELDA dibubarkan. Apakah nasib ratusan ribu peneroka Rancangan Kemajuan Tanah, RKT? Begitulah halnya di bandar, bila UDA dibubarkan, nasib jutaan rakyat bermastautin di bandar, ibarat melukut di tepi gantang.

Rakyat Malaysia kini seramai 34.0 juta dengan hampir 80% berada di bandar. Perangkaan DOSM menyatakan, sekitar 70.4% peratus dari 34.0 juta itu adalah bumiputera. Sepintas lalu kita boleh mencongak bahawa majoriti penduduk yang bermastautin di bandar adalah bumiputera. Juga, kita boleh mengira berapa ramai bumiputera ini tergolong dalam kelas B40.

Tiada satu institusi eksekutif utama, khusus bertanggung-jawab menjaga kesejahteraan mereka di bandar. Sejak era UDA dimansuhkan, kian ramai rakyat di bandar kembali terperangkap ke dalam putaran ganas kemiskinan. Laporan UNICEF (10 Nov 2018 berjudul ‘Children Without’ yang melaporkan kajian berkaitan kemikinan  dan kekurangan atau kedaifan di Kuala Lumpur), adalah manifestasi kepada malapetaka itu.  

Tetiba kerajaan beria-ia nak tampilkan pemaju pula mengambil teraju pembangunan dari ‘kekosongan’ yang ditinggalkan oleh UDA.

Alkisah, bermulalah agenda baru pembangunan semula bandar. Di Kuala Lumpur saja, hampir 140 kawasan yang memenuhi kehendak pemaju di kenalpasti, termasuk tanah-tanah milik pelbagai institusi kerajaan dan perumahan rakyat.

Yang tersurat nampak indah. Keutamaannya ialah pembangunan fizikal, yang tidak membuatkan penduduk yang terkesan dengan agenda pembangunan itu merasa teruja, sebaliknya cemas.

Di Kampong Abdullah Hukum misalnya, jika pun ada penentangan dari penduduk asal, suara mereka tidak didengari. Akhirnya, kampong itu sekadar tinggal nama di Stesen LRT. Secara fizikalnya kampong itu sudah tiada. Malah, tiada satu pun tapak warisan sebagai peninggalan sejarah kampong itu.

Begitu juga dengan Kg Kerinchi. Malah namanya pun tidak mahu dikaitkan oleh pemaju, konon alasannya nama Kg Kerinchi  tiada nilai komersil.

Entah berapa ramai agaknya penduduk asal Kg Abdullah Hukum atau Kg Kerinchi  yang diberi keutamaan dan mampu memiliki aset ekonomi yang bertaraf lima bintang yang dibangunkan diatas tanah yang suatu ketika dulu mereka miliki?

Salah siapa trajedi ini terjadi? Adakah kerana kerajaan terlalu gelojoh, hendakkan pembangunan fizikal, setanding negara jiran, yang pembangunannya dikalangan lima terbaik dunia?

Dulu, model pembangunan yang diutamakan Arwah Tun Razak, terbukti kejayaannya. Namun, ada sesetengah pemimpin semasa mencemuhnya sebagai dasar yang konon katanya utama ras. Anehnya, pemimpin yang mempertikaikan dasar itu hingga kini masih terpinga-pinga dan terkial-kial mencari resipi yang lebih baik.

Bagi merungkai isu kemiskinan ketika itu, Arwah Tun Razak, menanganinya, bermula dengan meningkatkan tahap pendidikan atau latihan di segenap lapisan. Hasilnya ialah mobiliti sosial menaik, yang dapat dicapai dalam tempoh kurang dari 20 tahun perlaksanaannya.

Presiden Korea Selatan, Mendiang Park Chung Hi juga ambil pendekatan yang sama. Beliau perkukuhkan inisiatifnya dengan beberapa inisiatif bersepadu, dengan pendidikan serta pembangunan teknologi sebagai pemacu utama pembangunan negaranya. Didorongnya lagi untuk rakyatnya membina semangat gotong-royong, semangat Sameul-Undung. Dirangsang juga rakyatnya meniru budaya Jepun seraya membina jatidiri bangsanya dengan The Hwarang Spirit,  seraya mencabar rakyatnya bangkit menjadi bangsa yang hebat dan bermaruah, mampu menandangi kehebatan masyarakat Jepun yang lebih 30 tahun pernah menaklukinya.

Tak cukup dengan itu diwajibkan semua anak lelaki ikuti perkhidmatan nasional selama hampir dua tahun, untuk membina kekentalan fizikal dan minda. Pada pemikiran Mendiang Park Chung Hi, negaranya tidak kaya dengan sumber asli, seperti Malaysia. Hanya kekayaan sumber insan sajalah yang negaranya ada, pada ketika itu.

Berbalik kepada permasaalahan kita di kebanyakan bandar, terutama Kuala Lumpur, kenapalah pembangunan fizikal yang beria-ia hendak diutamakan dalam penggubalan RUU URA? Mengapa tidak didalami hasil kajian UNICEF itu dan diselesaikan segera permasaalahan yang dihadapi warga miskin bandar?

Aiklah, izinkan saya ulangi cara saya berfikir ala mat jenin. Saya lontarkan persoalan berikut,  sekadar untuk dibaca oleh para perancang yang bijaksana.

Pertama, mengapa tidak dibina budaya gotong-royong sesama mereka yang semakin miskin itu untuk sama-sama mengambil tahu hal ehwal kejiranan? 

Kedua, kenapa kerajaan lambat sangat rancang beberapa program berimpak tinggi bagi utamakan usaha tingkatkan kemahiran kerja warga kota? Atau kemahiran niaga mereka? Misalnya, kenapa tidak dimodenkan dengan kadar segera kesemua pasar malam yang menjadi nadi ekonomi ratusan ribu warga bandar? Jika kerajaan merancang membangunkan begitu banyak ‘smart cities’, susah sangat kah nak diislahkan ribuan pasar malam yang sebegitu sifatnya, sejak puluhan tahun yang lalu, menjadi ‘pasar malam pintar’?

Ketiga, kenapa tidak dihambat tindakan diskriminasi kebanyakan syarikat swasta, yang masih enggan mengambil mereka yang miskin ini untuk dilatih secukupnya bagi baiki nasib mereka menerusi latihan kemahiran sesuai dengan pekerjaan yang dikehendaki industri berteknologi tinggi?

Keempat, susah sangat kah untuk ditubuhkan semula UDA sekalipun atas jenama lain?

Kerajaan terlalu mengalah dengan persatuan pengilang misalnya, yang mencari jalan mudah mengambi pekerja asing yang kini membanjiri kebanyakan bandar utama di negara ini.

Sebagai mat jenin, saya merayu institusi eksekutif janganlah terlalu kiasu untuk perakui kelemahannya dan memperbaikinya.

Saya juga merayu institusi politik pula janganlah ambil kesempatan dari kelekaan institusi eksekutif itu untuk pergunakan mereka bagi merealisasikan hasrat yang tersirat.

Aduhai negara-ku Malaysia, janganlah hendaknya maruah dan kedaulatannya tergadai. Wahai anak bangsa sekelian, sebagai pemegang amanah bangsa,  carilah dan bacalah hansard Parlimen British pada 10 November 1948, yang membahaskan nasib Malaya, yang kini nampaknya mula menjadi realiti.

Dato Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM