Oktober 23, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Kiambang Nan Sentiasa Ingin Bertaut

Tiada masaalah bagi bangsa-ku bersatu, ibarat ‘biduk lalu kiambang bertaut’.

Biduk dalam konteks pepatah ini bukan merujuk kepada perahu kecil diguna untuk memburu ikan di tasik, atau bintang buruj untuk navigasi pelayaran. Datuk-nenek kita dulu gunakan biduk sebagai sesuatu yang simbolik, bagi menggambarkan perbalahan atau seteru dalaman yang berlaku.

Bergeseran itu lumrah. Bertelagah sehingga retak seribu juga kerap terjadi. Soalnya, bagaimana bangsa-ku bertaut kembali, setiap kali selepas sesuatu pergeseran itu. Bagaimana mereka mengenepikan perbezaan, malah melupakan sengketa, untuk kembali hidup rukun dan damai. 

Tiada anehnya bangsa-ku diuji dengan pelbagai gelora. Dek nilai-budaya kami ibarat kiambang, lantas untuk berdamai. Itulah DNA kami.

Yang bermasaalah hanyalah segelintir yang diamanahkan memimpin bangsa-ku. Entah apa sebenarnya yang berbuku didada. Atau, bisanya hati ibarat ditusuk keris. Atau, termakan racun yang membarahkan benak. Inilah biduknya.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, biduk itu mengganas sehinggakan bangsa-ku berpecah-belah, malah ada yang berpatah arang berkerat rotan.

Kerana gelora yang dicetuskan oleh biduk-biduk inilah juga ada pihak ambil kesempatan melondehkan maruah, atau mendiskriminasi kesaksamaan peluang dan hak, bangsa-ku. Itulah padahnya bila kelambu dibakar, jangan nyamuk nak dipersalahkan.

Kita juga ada kalanya curiga terhadap mereka itu tak tentu pasal. Dikalangan mereka itu bukan semuanya bersikap demikian. Asal-usulnya amat jauh berbeza. Nilai budaya sesama mereka juga ibarat bumi dengan langit. Tujuan dan cara mereka berhijrah dan seterusnya memilih untuk bermastautin di bumi berdaulat ini, ribuan tahun yang silam, juga berbeza-beza. Lumrah lah jika ada puak-puak dikalangan mereka yang ekstrimis atau cauvinis.

Sayugia dikongsikan di sini, peringatan kepada bangsa-ku untuk waspada dengan puak-puak ini bukannya baru. Hansard Parlimen Britain pada 10 November 1948, setebal 48 mukasurat, merekodkan pandangan Lord Mancroft, mengenai suasana hubungan etnik di Tanah Melayu ketika itu. Beliau mengamati gejala ini sekian lama, lantas memberanikan diri melaporkannya sedemikian rupa, kepada Parlimen Britain ketika itu.

Semua anak bangsa-ku mesti cari, baca dan insafi mesej terkandung dalam hansard itu. Betul, kita diajar berlapang dada dan bersangka baik. Ada kalanya kita terlebih baik. Itu pun DNA kita . Namun, berlapang dada membuta-tuli tanpa diadun dengan elemen kewaspadaan, pun ada padahnya. Sudah-sudahlah menanakkan nasi untuk sidagang yang lalu.

Tidak dinafikan juga ramai dikalangan mereka yang komited berasimilasi dan menjadi sebahagian dari kita. Dalam asimilasi nilai-budaya misalnya, lahirlah masyarakat baba dan nyonya. Dalam beragama, ramai yang seagama dengan kita. Dalam berpolitik pula, ramai diantara datuk-nenek mereka yang sepakat menyertai Parti Perikatan, bersama datuk-nenek kita, memperjuangkan kemerdekaan.

Hatta, sebagai golongan berkeperibadian ASWJ dan konsisten dengan tuntutan dalam Islam, nawaitu kita ialah membina ukhwah, pertama, mestilah sesama kita dulu. Kita dituntut menterjemahkan amalan yang dilakukannya dalam solat berjemaah, ke dalam ekosistem kehidupan, konsisten dengan maqasid syariah kedua, iaitu menjaga alam kehidupan.

Malah, sejak berzaman, bangsa-ku telah diasuh dengan pelbagai budaya, adab dan tertib, serta nilai dan kesopanan hidup bermasyarakat. Masih kuat semangat gotong-royongnya, sekalipun budaya ini tidak lagi diutamakan dalam ekosistem kepemimpinan semasa.

Dengan yang demikian, usaha kiambang untuk bertaut, adalah usaha sesama kita, tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak luar, mengapa tercetusnya gelora sesama kita. Tidak perlu juga kita ungkit mengungkit, sekadar menegakkan benang yang basah.

Oleh yang demikian, fokas kita ialah kepada satu biduk ini. Satu kemelut ini. Bagaimana nak merungkai permasaalahan ini.

Khusus kepada satu dua karakter kepimpinan bangsa-ku, jika kuasa yang jadi rebutan diantara kamu, kamu lah insan terbaik dikalangan kami, merencana pelan damai sesama kamu, serta bagaimana kuasa itu boleh dikongsi mengikut sunnah Rasulullah. Andaikata kamu gagal, kami semua akan pilih opsyen lain, sebab masa tidak menunggu kita.

Akan tetapi, jika dendam kesumat yang membuku di dada, pergilah berdukun dengan tabib yang mampu mengubati penyakit itu. Perlu dingatkan, dendam kesumat bukanlah sifat-sifat mahmudah dikalangan bangsa-ku yang berkeperibadian ASWJ. Tidak keterlaluan jika dilabelkan pemimpin sedemikian sebagai pendakap sifat-sifat mazmummah yang dibenci Allah SWT.

Seingatan kami, kesemua pemimpin yang bersengketa dan berdendam ini pernah diasuh bakat kepimpinannya dari satu acuan yang sama. Tentunya mereka masih menyimpan hati mulia seperti kiambang. Biduk itu sekadar gangguan iblis semata-mata. Tidaklah drnfsm mereka sampai ke tahap tergamak menggadaikan maruah dan kedaulatan bangsanya serta Tanah Air ini.

Alhamdulillah, mula kedengaran dan semakin riuh di luar sana, biduk sedang berlalu pergi. Entah esok, entahkan lusa, damailah kiambang bertaut erat.  Dikhabarkan juga, payung sudah dibuka untuk semua bangsa-ku, tanpa pengecualian,  sama-sama berteduh di bawahnya.

Usahlah dihiraukan suara-suara sumbang dan sinis, yang akan terus-menerusi berbunyi, meragui hasrat kiambang untuk bertaut.

Hendaknya kita semua redha dengan ketentuan-Nya Yang Maha Esa. Kita sedang diuji-Nya. 

 

Dato’ Dr Hasan Mad, MPM

22 oktober 2025