Pertemuan Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama YB Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang, di Wisma MPM Bina Daulah pada 15 Oktober 2025 memperlihatkan satu sisi keberanian seorang tokoh politik yang tidak gentar menegakkan keadilan dan mempertahankan hak rakyat kecil, terutama dalam isu-isu pembangunan bandar dan dasar perumahan yang semakin menekan masyarakat Melayu.

Dari Setinggan ke Parlimen: Kisah Sebuah Keteguhan
YB Hassan memulakan sesi dengan kisah kehidupannya semasa muda, bagaimana beliau membantu masyarakat setinggan yang diusir di Johor Bahru pada bulan Ramadan, hingga akhirnya ditangkap dan dibuang dari universiti walaupun beliau merupakan pelajar cemerlang. Namun ujian itu tidak mematahkan semangatnya. Beliau meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang perbankan di University of London, satu langkah yang membentuk ketajaman fikir dan kepekaan sosial yang masih jelas dalam perjuangannya hari ini.
Kg. Sungai Baru dan Isu Pengambilan Tanah
Isu Kampung Sungai Baru menjadi antara topik utama yang disentuh. YB Hassan menegaskan bahawa Akta Pengambilan Tanah tidak boleh digunakan di situ kerana ia bukan untuk tujuan “public use” tetapi lebih kepada kepentingan komersial. Beliau juga mempersoalkan Order 89 Mahkamah, yang dikeluarkan ketika tempoh darurat oleh pendaftar kanan dan bukan hakim, serta mengingatkan bahawa penduduk kampung bukanlah setinggan seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu.
Sikap tegas beliau dalam mempertahankan hak penduduk Kg. Sg. Baru menyerlahkan satu nilai penting, pembangunan tidak boleh menghapuskan maruah rakyat, apatah lagi bila mereka telah mendiami kawasan tersebut berdekad lamanya.

RUU PSB dan Realiti Penyelenggaraan Perumahan
Dalam isu Rang Undang-Undang Perumahan Strata (RUU PSB), YB Hassan menyatakan pendiriannya untuk menentang rang undang-undang tersebut dalam bentuk sedia ada. Menurut beliau, masalah sebenar bukan pada undang-undang baharu, tetapi pada kelemahan penyelenggaraan (maintenance) yang gagal ditangani dengan baik oleh pihak pengurusan. Pemaju, katanya, lebih berminat kepada redevelopment (pembangunan semula) daripada regeneration atau rejuvenation, yang sepatutnya menambah nilai kehidupan penduduk tanpa menghapuskan komuniti asal.
Politik dan Prinsip: Menghadapi Tekanan dalam Parlimen
YB Hassan turut mendedahkan bahawa dalam kalangan wakil rakyat PKR sendiri, terdapat tujuh orang yang tidak bersetuju dengan RUU PSB, manakala dalam DAP pula ada yang berbeza pandangan tetapi akhirnya terpaksa akur, “seperti kambing ada gembala,” katanya sinis. Beliau menyifatkan kerajaan kini agak lemah dalam mempertahankan prinsip, namun kerana desakan dari UMNO dan suara awam, ada kemungkinan RUU itu tidak akan dibentangkan.
MM2H dan Kesan Jangka Panjang kepada Kedaulatan Ekonomi
Dalam isu Malaysia My Second Home (MM2H), beliau mengingatkan tentang permohonan besar-besaran dari warga China yang berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap pemilikan hartanah dan keseimbangan demografi bandar. YB Hassan menegaskan bahawa isu ini berkait rapat dengan projek Forest City dan peranan Sultan Johor, yang perlu dilihat dari sudut kepentingan strategik negara dan keselamatan ekonomi jangka panjang.
Cadangan Penyelesaian: Kembalikan Kuasa kepada Agensi Kerajaan
Sebagai jalan penyelesaian, YB Hassan mencadangkan agar projek seperti Kg. Sungai Baru diambil alih oleh kerajaan yang mana agensi seperti UDA dahulu harus dikembalikan dan diberi kuasa untuk menegani isu yang berkaitan RUU PSB. Cadangan ini membawa semangat asal pembangunan bandar berorientasikan rakyat, bukan dikuasai oleh kapitalis atau pemaju besar semata-mata.
Kesimpulan: Politik Berprinsip di Tengah Arus Pembangunan
Pertemuan ini membuka ruang refleksi kepada kita semua, bahawa pembangunan sebenar bukan sekadar mencipta bangunan tinggi, tetapi menjaga martabat manusia di dalamnya. Dalam era di mana politik sering diwarnai kompromi dan kepentingan elit, kehadiran suara seperti YB Hassan Abdul Karim amat penting bagi mengingatkan kembali nilai perjuangan asal politik, iaitu membela rakyat, bukan memperdagangkan mereka.
YB Hassan bukan sekadar seorang ahli politik, beliau adalah pejuang yang tidak melupakan akar perjuangan, dari membantu setinggan di Johor hingga memperjuangkan hak komuniti di tengah Kuala Lumpur. Pertemuan di Wisma MPM Bina Daulah ini bukan hanya perbincangan teknikal, ia adalah pertemuan jiwa dan semangat bangsa yang ingin melihat pembangunan Malaysia berteraskan keadilan, kemanusiaan, dan kedaulatan rakyat.
More Stories
Kiambang Nan Sentiasa Ingin Bertaut
There Is More To Curbing Tax Non-Compliance And Formalising Shadow Economy…
Antara Hakikat dan Fitnah: Menilai Jalan Habaib dan Tarikat Ba‘Alawi dalam Cahaya Tasawuf Imam Ghazali