Pada 3 Oktober 2025, berlangsung Konvensyen Khas RUU Pembangunan Semula Bandar (RUU-PSB) di WTC, di mana pelbagai pihak berkepentingan berhimpun untuk menyuarakan pendapat, menilai draf RUU ini, dan memperhalusi arah tuju pembangunan bandar Malaysia. Antara suara yang lantang hadir adalah Majlis Perundingan Melayu (MPM), sebuah NGO yang berperanan sebagai institusi pemikir bangsa.

Seawal pengumuman Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Mei 2024 tentang hasrat untuk membentangkan RUU-PSB, MPM segera mengatur langkah. Mereka menubuhkan Pusat Perundingan Khas (PPK) dan menganjurkan sidang meja bulat bersama PLAN Malaysia, Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), dan Institut Perancang Malaysia pada Oktober 2024. Dari situ, lahirlah pelbagai cadangan, kajian, serta memorandum yang akhirnya diserahkan kepada Ketua Pengarah PLAN Malaysia (Oktober 2024) dan Perdana Menteri (Mei 2025).
Namun, suara itu seperti tidak didengari.

Opsyen yang Dipertimbangkan MPM
MPM menilai tiga opsyen dalam isu RUU ini:
Opsyen 1: Gunakan Akta Sedia Ada dengan Garis Panduan
Hasil sidang meja bulat 9-10 Oktober 2024 mendapati bahawa akta-akta sedia ada, yang diperkukuh dengan Garis Panduan Pembangunan Semula Bandar (yang telah pun diperakui Kabinet), sudah mencukupi. Maka, pada awalnya, RUU-PSB dianggap tidak perlu.
Opsyen 2: Menyokong Bersyarat RUU-PSB
Kerajaan tetap mahu meneruskan RUU ini. Justeru, MPM mengambil pendirian menyokong dengan syarat, menegaskan bahawa terlalu banyak lompang dalam draf undang-undang tersebut. Empat usul utama MPM adalah:
- Perkara 153 & Perkara 13 Perlembagaan dimasukkan ke dalam Preamble RUU
- Perkara 153: Hak istimewa Bumiputera mesti dipelihara.
- Perkara 13: Hak harta semua rakyat wajib dilindungi, termasuk golongan minoriti.
- Tubuhkan Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (Urban Redevelopment Authority – URA)
- PLAN Malaysia hanyalah badan perancang, bukan pelaksana atau penguat kuasa. Tanpa sebuah URA, perlaksanaan PSB tidak akan ada penyelarasan menyeluruh.
- RUU mesti mendahulukan rakyat, bukan pemaju
- Fokus utama perlu pada kualiti hidup rakyat (Quality of Life, QoL), bukan semata-mata pembangunan berorientasikan keuntungan pemaju.
- Institusi mesti bertanggungjawab secara kolektif
- Dari eksekutif, judisiari hingga keselamatan, semua mesti jelas peranan dalam menjamin perlaksanaan RUU ini. Penyelarasan sistem penyampaian (delivery system) adalah titik lemah yang amat dibimbangi.
Opsyen 3: Tiada Opsyen
Apabila memorandum MPM tidak dijawab, seolah-olah kerajaan langsung tidak peduli pada cadangan itu. Maka, pilihan ketiga hanyalah jalan buntu — checkmate.
Kenapa Bumiputera Jadi Isu Pusat
MPM menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar teknikal pembangunan bandar. Ia soal masa depan Bumiputera di bandar.
- Pada 2025, 70.4% rakyat Malaysia adalah Bumiputera, dengan hampir 80% daripadanya tinggal di bandar.
- Menjelang 2065, DOSM mengunjurkan populasi negara mencapai 42 juta, dengan 79.4% daripadanya Bumiputera, dan lebih 80% akan menetap di bandar.
- Ini bermakna, lebih 65% daripada penduduk bandar kelak adalah Bumiputera.
Soalnya: Adakah majoriti ini akan terus kekal dalam kelompok B60, atau lebih parah, miskin tegar di bandar?
Tanpa pelan yang menyeluruh, berpaksikan kemampuan dan keperluan Bumiputera, pembangunan semula bandar hanya akan melahirkan jurang sosial yang lebih parah.
Rakyat Sebagai Pemegang Kuasa Demografi
Bagi MPM, rakyat adalah subjek dan benefisiari utama negara ini. Kerajaan hanyalah pemudah cara, pengawal selia, dan pengupaya. Usul-usul yang dikemukakan MPM adalah cerminan kehendak rakyat, khususnya Bumiputera, yang membentuk majoriti kuasa demografi negara.
Mesej akhir MPM di Konvensyen jelas:
Rakyat hanya beri kerajaan satu opsyen – terima semua usul yang dihasilkan di Konvensyen ini, termasuk cadangan MPM, untuk memperbaiki RUU-PSB.
Kesimpulan
Pembangunan semula bandar bukan sekadar soal bangunan dan infrastruktur, tetapi soal masa depan sosio-ekonomi Bumiputera di bandar. Jika RUU-PSB dibentuk tanpa mengambil kira Perlembagaan, hak rakyat, keutamaan kualiti hidup, serta tanggungjawab kolektif institusi, ia hanya akan menjadi undang-undang yang developer-driven, bukan people-driven.
Suara MPM adalah peringatan keras:
Malaysia mesti membina bandar untuk rakyatnya sendiri, bukan hanya untuk pasaran.
More Stories
Himpunan Solidariti Rakyat Tolak RUU URA: Pendirian Tegas MPM
Opportunities for Malaysia’s Ports: Time to Reclaim Our Maritime Edge
GLCs: Why Do We Fund Foreign Companies but Ignore Our Own Champions?