Mac 20, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Syawal Yang Sayu

Syawal sudah seminggu berlalu. Namun tahun ini, Syawal datang bersama rasa yang amat sayu. Hati ini terguris, jiwa terusik, melihat apa yang menimpa bangsa dan tanah airku menjelang dan sepanjang sambutan Aidilfitri.

Insiden Menjelang Syawal

1. Peniaga Tanpa Lesen (PTL) dan PBT:

Di penghujung Ramadan, negara digemparkan dengan insiden pergaduhan antara peniaga tanpa lesen dan pihak berkuasa tempatan. Mereka hanya mahu mencari sesuap nasi, tetapi dihukum tanpa belas. Ada yang terpaksa beraya di hospital kerana melawan “yang berkuasa”. Ya, mereka melanggar undang-undang, tetapi tiadakah pendekatan yang lebih insani untuk membenarkan mereka sama-sama memeriahkan suasana Ramadan?

2. Penduduk Kampung Sungai Baru diusir:

Ramai saudara-mara kita diusir dari rumah mereka di Kampung Sungai Baru. Syawal tiba tanpa tempat berteduh. Entah siapa yang salah, tetapi persoalan yang lebih besar – ke mana hilangnya naluri keinsanan dalam kalangan pihak berkuasa?

3. Kecelakaan Jalan Raya dan Keganasan:

Masih ramai antara kita hilang akal di jalan raya. Ada yang memilih untuk ‘dipulangkan awal’ kepada-Nya. Lebih memilukan, berlaku pula insiden seorang wanita dipukul dengan kejam akibat kemalangan kecil – hilang akal, hilang insani.

4. Letupan Paip Gas di Putra Heights:

Di pagi Syawal, berlaku letupan paip gas Petronas yang memusnahkan ratusan harta benda. Hingga kini, pihak berkuasa masih tercari-cari puncanya. Bayangkan jika kejadian itu menimpa kita semua. Sayunya.

Kerisauan Tentang Halatuju Negara

A. Kuil Haram, Mudahnya Diselesaikan:

Kuil haram yang dibina sesuka hati akhirnya mendapat pampasan dan tapak baru. Cepat sungguh tindakan diambil. Mengapa isu sebegini mudah diselesaikan, tetapi isu rakyat marhaen terbiar?

B. Pempengaruh Cari Pasal:

Ada pula pempengaruh yang tanpa usul periksa mencetuskan kontroversi. Cepat pula kerajaan bertindak – mungkin kerana dia sebangsa. Namun bila rakyat biasa melapor perkara serius, mereka pula yang disiasat.

C. Politik Cakar Ayam:

Ramadan dan Syawal langsung tidak memberi pengajaran kepada pemimpin politik bangsa kita. Mereka terus berpecah, terus berpolitik walau dalam perkara yang tak patut dipolitikkan. Sampai bila?

D. Ancaman Luar, Pengadu Pula Dituduh:

Ada pihak mengingatkan kerajaan tentang ancaman pertubuhan luar yang boleh menjejaskan perpaduan nasional. Aneh, yang memberi amaran pula disiasat. Inikah cara kita menjaga keamanan?

E. Ancaman Tarif oleh USA:

Presiden Trump mula mengenakan tarif timbal balik terhadap semua negara – termasuk Malaysia. Saya yakin ini sebahagian dari strategi besar Amerika di bawah watak ‘gila-gila’ Trump. Negara kita perlu bersedia, dan kita doakan agar pemimpin kita mampu berunding dengan bijaksana.

Ekonomi Bangsa: Kenapa Kita Gagal?

F. PTL dan Ekosistem Ekonomi Yang Lemah:

Kewujudan begitu ramai peniaga tanpa lesen bukan semata-mata isu sambutan perayaan. Ia petanda jelas bahawa komuniti ekonomi bangsa kita belum berjaya membangunkan ekosistem yang mampan. Ratusan institusi pembangunan masih gagal mengangkat bangsa kita untuk bersaing secara bermaruah.

Sebagai perbandingan, lihatlah komuniti pedagang Acheh. Tanpa sebarang institusi pengupaya formal, mereka mampu menguasai pasaran runcit negara ini. Mereka sedarah sedaging dengan kita, tetapi lebih bijak dan tersusun. Apa sudah jadi dengan lapan siri Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) sejak 1965?

Harapan Untuk Syawal Akan Datang

Saya percaya, pihak berkuasa tempatan (PBT) pasti punya ilham untuk bantu peniaga mikro, termasuk PTL, agar dapat berniaga dengan lebih sistematik menjelang Ramadan 1447H. Kita ada setahun untuk merancang Pesta Niaga Ramadan sebagai tapak lahirkan ribuan peniaga kecil.

Kalau komuniti Acheh boleh berjaya tanpa sokongan rasmi, mengapa kita yang punyai ratusan agensi dan institusi tidak mampu berjaya juga?

Kuncinya – budaya kebersamaan minda. Bangsaku boleh, jika kita berpadu.

Penutup

Sesungguhnya, Syawal 1446H meninggalkan begitu banyak peristiwa yang menghantui hati ini. Namun kita tidak boleh terus larut dalam kesayuan. Marilah kita mula merancang dari sekarang agar Ramadan dan Syawal 1447H kelak dapat disambut dengan penuh makna.

Bangsaku boleh lakukan.

Institusi eksekutif yang diterajui oleh bangsaku boleh mengupayakan.

Pemimpin bangsaku – di mana pun garis pemisah politiknya – wajib galas amanah ini demi kemakmuran tanah air tercinta.