Oleh: Ahmad Ismail
Keputusan SPM 2025 yang melibatkan lebih 413,299 calon bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi simbol perjuangan bertahun-tahun dan pintu masuk kepada masa depan negara. Dalam dunia yang bergolak dengan konflik geopolitik dan ketidakstabilan ekonomi global, keputusan ini membawa makna yang lebih besar: sejauh mana generasi muda mampu merancang laluan kerjaya mereka dengan bijak dan relevan dengan keperluan industri masa depan.

Ramai yang meraikan kejayaan cemerlang, dengan 376 calon memperoleh semua A+ dan 13,779 calon (3.55%) cemerlang penuh. Namun, bagi yang sederhana, SPM bukan noktah akhir. Ia hanyalah permulaan kepada perjalanan akademik dan kerjaya – sama ada melalui universiti, politeknik, kolej komuniti atau laluan TVET. Persoalan penting ialah: adakah pencapaian ini mampu memenuhi hasrat negara untuk melahirkan tenaga kerja dalam bidang kritikal seperti sains, teknologi, penyelidikan dan industri berteknologi tinggi?
Kerajaan telah lama menetapkan dasar 60:40 – 60% pelajar dalam aliran sains/STEM dan 40% dalam sastera. Namun realitinya, minat terhadap STEM masih menurun, menyebabkan jurang tenaga kerja saintifik semakin melebar. Sedangkan bidang seperti Elektrik & Elektronik (E&E), kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, farmaseutikal dan peranti perubatan menjadi tunjang Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030). Pendidikan teknikal kini bukan lagi pilihan kedua, tetapi laluan utama untuk memenuhi keperluan industri moden.
Lebih menarik, peluang kerjaya masa depan tidak hanya bergantung kepada STEM tradisional. Malaysia kini giat memperkenalkan latihan dalam AI, IoT, robotik, dron, pemprosesan data dan automasi industri. Sudah ada agensi yang focus melatih generasi muda dalam coding, teknologi 3D, dan aplikasi pintar. untuk meningkatkan produktiviti dalam industri
Dalam masa yang sama, ekonomi digital Malaysia berkembang pesat melalui inisiatif MyDIGITAL dan Majlis Ekonomi Digital & 4IR. Peluang besar terbuka dalam e-dagang, fintech, big data, media digital dan startup teknologi data. AI dan automasi bukan sahaja mencipta pekerjaan baharu, tetapi juga menuntut kemahiran baharu agar generasi muda tidak ketinggalan atau digantikan oleh mesin.
Kesimpulannya, keputusan SPM 2025 bukan sekadar penentu masa depan individu, tetapi cerminan hala tuju negara. Sama ada cemerlang atau sederhana, yang lebih penting ialah bagaimana pelajar merancang masa depan mereka, memilih bidang yang relevan, dan bersedia menghadapi cabaran global. Dengan laluan STEM dan TVET yang jelas, serta latihan dalam teknologi baharu, generasi muda mampu menjadi pemacu utama ekonomi digital dan industri berteknologi tinggi.
SPM hanyalah permulaan – masa depan Malaysia bergantung kepada sejauh mana anak muda menjadikan keputusan ini sebagai lonjakan harapan dan realiti kerjaya yang bermakna.
Dalam konteks Malaysia, isu ini menjadi lebih kritikal. Walaupun ramai anak Melayu berjaya memperoleh keputusan cemerlang, masih terdapat jurang besar dalam penguasaan bidang profesional, khususnya sains, teknologi, penyelidikan, dan industri berteknologi tinggi. Sejak Kongres Ekonomi Melayu dan Dasar Ekonomi Baharu, kerajaan telah menyediakan pelbagai laluan pendidikan – sekolah asrama penuh, MRSM, universiti awam, serta bantuan kewangan. Namun, persoalan mengapa orang Melayu masih belum memenuhi keperluan negara dalam bidang kritikal terus menghantui. Pencapaian Keputusan SPM perlu dinilai sewajarnya berbanding keseluruhan calon, sasaran pencapaian, dan keperluan masa hadapan.
Keadaan pasca normal yang penuh cabaran – isu tenaga, jaminan makanan, air, dan kelestarian alam sekitar – menuntut generasi muda untuk lebih bersedia. Laluan kerjaya tidak boleh ditentukan secara rambang tetapi fokus. Pendedahan awal tentang laluan kerjaya sangat penting agar mereka tidak terperangkap dalam bidang yang tidak relevan dengan keperluan negara. Perancangan kerjaya perlu dilakukan seawal usia 17 tahun, kerana dalam tempoh 5 hingga 7 tahun selepas SPM, mereka akan memasuki dunia pekerjaan yang semakin mencabar.
Kerajaan telah menekankan kepentingan aliran sains dan TVET (pendidikan teknikal dan vokasional). Namun, adakah perancangan ini benar-benar tercapai? Apakah tindakan yang perlu diambil jika pelajar tidak cemerlang dalam SPM? Data pencapaian SPM perlu dikaji dan dianalisis secara mendalam untuk disesuaikan dengan perancangan tenaga manusia negara. Pengetahuan dan kemahiran guru perlu di pertingkatkan bagi menyokong pendidikan yang menyeluruh.

More Stories
MTEN: Benteng Krisis Ekonomi dan Keterjminan Makanan
Mabuk Bukan Alasan: Nyawa Rakyat Jadi Taruhan
IJM Deal – Are Malaysian Investors Financially Savvy And What Next…