Oleh: Ahmad Ismail FASc
Ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah Iqra’ – bacalah. Arahan ini bukan sekadar perintah membaca, tetapi amanah besar kepada umat Islam untuk menuntut ilmu, menguasai teknologi, dan memimpin dunia dengan sains. Islam tidak pernah berkembang melalui pedang, tetapi melalui idea, pemikiran, dan kesarjanaan yang berasaskan wahyu. Al-Quran penuh dengan ayat yang menuntut manusia mengkaji alam semesta, langit dan bumi, sebagai tanda kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Al-Quran berulang kali mengingatkan manusia tentang nikmat ilmu. Dalam Surah Ar-Rahman, Allah bertanya: “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?” Ayat ini diulang 31 kali, sebagai peringatan bahawa nikmat Allah meliputi bukan sahaja rezeki, kesihatan, dan kesejahteraan, tetapi juga akal fikiran, daya cipta, dan kemampuan membina tamadun. Menolak ilmu bererti mendustakan nikmat Allah.
Sejarah membuktikan saintis Muslim pernah mendahului dunia. Ibn Sina dan Al-Razi membina asas perubatan moden. Al-Khawarizmi melahirkan algebra dan algoritma yang kini menjadi tulang belakang kecerdasan buatan (AI). Al-Biruni menguasai astronomi dan geografi, bukan sahaja membantu menentukan waktu solat, tetapi juga memandu arah pelayaran dan disiplin kehidupan. Semua ini lahir daripada semangat Iqra’ yang menjadikan ilmu sebagai jalan tamadun.
Malah, sistem undang-undang Islam melalui mazhab Syafie, Maliki, Hanbali dan Hanafi membentuk masyarakat yang berdisiplin, berilmu, bertamadun sesuai dengan budaya dan zaman. Pandangan dan analisis sarjana Islam dalam undang-undang terus berkembang mengikut zaman sains dan teknologi selaras dengan panduan Al-Quran dan sunnah.
Namun hari ini, masyarakat Islam, termasuk Malaysia, masih ketinggalan dalam bidang STEM dan TVET. Puncanya jelas: kita lupa bahawa Iqra’ adalah amanah, bukan sekadar bacaan. Universiti dan institusi pendidikan mesti kembali dan berani menjadi pusat kesarjanaan, melahirkan saintis yang dihormati dan dijadikan rujukan dunia.
Islam menekankan keseimbangan antara pembangunan dan penjagaan alam. Manusia sebagai khalifah wajib menjaga bumi. Tanpa keseimbangan ekologi, nikmat alam akan hilang, lalu mendatangkan bencana. Sains moden mesti dibangunkan dengan etika, bukan untuk kemusnahan, tetapi untuk keamanan, kesejahteraan manusia dan kelestarian alam.
Pada bulan November 2025, konferens saintis Muslim serantau menghimpunkan lebih 100 sarjana untuk membincangkan perkembangan sains dan teknologi serta kesesuaiannya dengan etika Islam. Perbincangan ini membuktikan bahawa masyarakat Islam mampu menjadi teras kecemerlangan dunia. Universiti di Malaysia, Brunei dan Indonesia yang majoriti sarjana beragama Islam, berpotensi menjadi pusat rujukan global, jika berpandukan Al-Quran dan sunnah. Malaysia yang mempunyai struktur organisasi yang mantap dan jaringan global boleh menjadi pusat saintis Muslim serantau.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pemimpin universiti mesti berani melihat perkembangan baharu sains dan teknologi secara positif. Mereka perlu membangunkan bakat saintis muda yang bukan sahaja cemerlang dalam kepakaran, tetapi juga memiliki nilai tinggi dalam kesejahteraan dan kemakmuran serantau. Janji KPT dalam transformasi pendidikan tinggi negara melalui “Akademia Sebagai Pembina Bangsa” boleh diselaraskan dengan semangat Iqra’.
Bidang-bidang berkaitan etika penyelidikan, keterjaminan makanan halal, kesihatan awam dan penyakit baharu timbul, sains iklim dan kelestarian alam sekitar, cabaran teknologi AI serta sains dan teknologi merentas sektor menyokong semua bidang mesti diberikan perhatian.
Umat Islam tidak boleh lagi ketinggalan. Iqra’ adalah seruan abadi melalui membaca, meneliti, mencipta, dan memimpin. Dengan kembali kepada semangat ini, umat Islam mampu sekali lagi memimpin dunia, bukan dengan senjata, tetapi dengan ilmu.

More Stories
Media Tempatan dan Naratif Memburukkan Entiti Bumiputera: Satu Renungan Terhadap Arah Pemikiran Bangsa
Air Yang Mereka Tinggalkan
DBP: Benteng Buku, Bahasa dan Bangsa di Era Digital