Oleh: Ahmad Ismail FASc
Bagi orang Melayu di Malaysia, halal bukan sekadar hukum agama tetapi juga identiti budaya. Halal adalah garis pemisah yang menentukan apa yang boleh dimakan dan apa yang wajib dijauhi. Sensitiviti ini begitu mendalam sehingga ia membentuk cara hidup, pilihan makanan, malah hubungan sosial orang Melayu dengan masyarakat lain.
Sejak dahulu, babi dianggap pantang besar. Bukan sahaja dagingnya, malah minyak, lemak, dan segala terbitan daripadanya dilihat jijik, tidak disentuh, dan haram. Orang Melayu bukan sahaja tidak makan babi, malah tidak suka menyebut perkataannya. Dahulu, kedai menjual babi tidak pernah bercampur dengan kedai makanan lain. Ia diletakkan jauh, berasingan, dan jelas berlabel. Namun kini, pasar raya moden meletakkan produk babi dalam bangunan sama, hanya dipisahkan dengan dinding kaca atau sekadar label “tidak halal”. Perubahan ini menimbulkan rasa kurang senang, walaupun ada segelintir yang semakin kurang sensitif.

Sensitiviti halal juga mempengaruhi cara orang Melayu memilih tempat tinggal. Dahulu, mereka sanggup berpindah jika berjiran dengan kandang babi. Pantang besar ini masih wujud, meskipun semakin jarang dibangkitkan kecuali apabila ada pihak yang bersuara. Hakikatnya, isu halal tidak akan selesai selagi orang Melayu tidak menguasai industri makanan halal daripada awal hingga akhir.
Hari ini, orang Melayu terlalu bergantung kepada sijil halal JAKIM. Sijil ini menjadi rujukan utama, tetapi timbul pula isu sijil palsu, tamat tempoh, atau tidak dikemaskini. Lebih malang, banyak rantaian makanan halal tidak dikuasai sepenuhnya oleh orang Islam. Ambil contoh ayam: dari makanan ayam, penternakan, penyembelihan, pengedaran, hingga ke restoran, banyak dikawal oleh bukan Islam. Orang Melayu hanya bergantung kepada label halal, sedangkan keseluruhan proses tidak berada dalam tangan mereka.
Di luar negara, cabaran halal lebih mencabar. Orang Melayu yang melancong atau belajar sering memilih makanan laut atau vegetarian kerana bimbang makanan tidak halal. Ada yang memasak sendiri untuk mengelak risiko. Sensitiviti ini menunjukkan betapa kuatnya pegangan halal dalam kehidupan mereka. Namun, dalam negara sendiri, sikap terlalu bergantung dan yakin kepada label tanpa penguasaan industri boleh membawa risiko penipuan dan pencemaran halal.
Jika orang Melayu benar-benar mahu mempertahankan sensitiviti halal, mereka perlu menguasai seluruh ekosistem makanan: dari ladang hingga ke meja makan. Halal bukan sekadar sijil, tetapi sistem yang mesti dijaga dari awal hingga akhir. Generasi muda perlu dididik bahawa halal bukan hanya tentang logo, tetapi tentang proses yang teliti dan bersih. Kebiasaan merujuk kepada logo sahaja mungkin boleh terdedah kepada kesilapan. Peraturan dan penguatkuasaan mesti lebih telus dan menyakinkan.
Meskipun ramai penyelidik dan pakar di universiti kini terdiri daripada orang Melayu Islam, isu makanan halal masih belum selesai. Teknologi makanan luar negara berkembang dengan pantas, menawarkan kepelbagaian dan tarikan pemasaran. Penyelidik dalam negara mesti lebih agresif dalam menyelesaikan masalah halal. Mungkin kit pengesan makanan halal boleh direka segera dengan teknologi baharu. Kaedah penentuan dan pengesanan halal JAKIM juga perlu disemak semula standardnya.
Kesimpulannya, sensitiviti orang Melayu terhadap halal adalah warisan yang tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sekadar soal agama, tetapi juga soal maruah, budaya, dan masa depan. Selagi orang Melayu tidak menguasai industri halal sepenuhnya, isu ini akan terus berulang. Segala kemudahan dan ruang untuk membantu orang Melayu memperkasakan industri halal mesti digerakkan. Kuasa pada peringkat pihak berkuasa tempatan, kuasa memberikan dan menguatkuasakan lesen, peluang merancang dan memenuhi sesitiviti orang Melayu terhadap makanan halal mesti diselaraskan bagi menyelesaikan isu halal. Halal adalah identiti, dan identiti ini mesti dipertahankan dengan kuasa, kesungguhan, dan penguasaan penuh terhadap industri makanan.

More Stories
IJM Deal – Are Malaysian Investors Financially Savvy And What Next…
Kepentingan Melayu yang Semakin Terhakis dalam Industri Pembinaan Dan Pembangunan: Satu Renungan Strategik
Imigran Berjaya, Pribumi Bergelut: Amaran untuk Malaysia