Januari 10, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Cabaran dan Persediaan Rakyat Malaysia Menghadapi Krisis Makanan 2026

Oleh: Ahmad Ismail FASc

Tahun 2026 menyaksikan dunia berdepan ketidakpastian besar akibat pergolakan geopolitik, termasuk hubungan tegang antara Amerika Syarikat dan Venezuela, perang Ukraine–Russia, serta konflik di Timur Tengah. Malaysia sebagai sebuah negara yang bergantung kepada import makanan tidak terkecuali daripada tempias ini. Justeru, rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang menguasai kawasan luar bandar, mesti bersedia menghadapi cabaran keterjaminan makanan dengan strategi yang menyeluruh dan berpandangan jauh.

Kawasan luar bandar yang terletak dalam lingkungan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Industri Beras Terengganu (LIBT), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) serta kawasan utama di Perlis, Kedah, Selangor, Perak (Kerian), Seberang Perai, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang merupakan nadi pengeluaran beras negara. Jelapang padi utama seperti MADA yang meliputi Kedah, Perlis dan Seberang Perai sahaja menyumbang hampir 40 peratus bekalan beras Malaysia. Secara tradisi, komuniti Melayu menjadi tulang belakang kepada penanaman padi di Malaysia, terutamanya di Kedah, Perak dan Kelantan. Dengan permintaan beras yang tinggi, orang Melayu sepatutnya menguasai ekonomi berkaitan padi dan beras negara, sekali gus memainkan peranan penting dalam menjamin keterjaminan makanan negara.

Namun, realitinya petani masih terus miskin. Isu kos pengeluaran terus menghantui mereka, termasuk membajak, benih, baja, racun perosak, menuai, pengangkutan ke kilang serta upah pekerja. Sering kali, petani terlupa mengira pendapatan sebenar selepas menolak semua kos, termasuk upah diri sendiri. Kebergantungan kepada jentera dan input luar seperti benih, baja dan racun menjadikan mereka terdedah kepada turun naik harga global yang dipengaruhi konflik antarabangsa. Selain itu, wujud isu kartel yang mengawal perjalanan industri padi dan beras. Jika tidak ditangani, petani akan terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan mewarisi nasib sama dari generasi ke generasi. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan sistem sokongan yang lebih adil, termasuk harga lantai beras yang munasabah, subsidi input yang telus serta peluang pasaran yang lebih terbuka kepada petani kecil.

Pendidikan dan kemahiran juga menjadi kunci utama. Melalui agensi seperti MARA, Jabatan Pertanian dan program pembangunan usahawan, orang Melayu perlu dilatih bukan sahaja dalam teknik pertanian moden tetapi juga dalam pengurusan perniagaan. Ini penting agar mereka mampu menguasai rantaian nilai makanan, bukan sekadar menjadi pengeluar primer. Anak muda Melayu di luar bandar harus digalakkan untuk melihat pertanian sebagai bidang strategik, bukan pekerjaan kelas kedua. Pertanian mesti dilihat sebagai perniagaan dan peluang pekerjaan yang baik, menjana pendapatan serta penting untuk keselamatan makanan negara. Ia mesti terus relevan sebagai sumber rezeki tanpa memerlukan kelulusan tinggi tetapi berasaskan kemahiran, sekali gus menjadi punca pendapatan dan perniagaan kepada masyarakat.

Bagi penduduk pinggir bandar dan bandar pula, teknologi pertanian bandar seperti sistem hidroponik, akuaponik dan vertical farming perlu diperkenalkan secara meluas. Inovasi dan kreativiti masyarakat harus digalakkan untuk menanam sayuran sendiri, sekali gus menjimatkan perbelanjaan dan menambah sumber makanan murah. Amalan biasa yang terlalu bergantung kepada pasar raya boleh dikurangkan dengan budaya menanam di rumah atau komuniti.

Persaingan ekonomi dunia akan terus memberi kesan langsung kepada Malaysia. Kebergantungan kepada makanan import tidak menjamin keselamatan makanan rakyat. Ancaman di Selat Melaka dan Laut China Selatan, termasuk isu perikanan, menimbulkan persoalan sejauh mana Malaysia mampu berdikari dalam sumber protein ikan. Begitu juga konflik di Timur Tengah dan Eropah Timur yang menjejaskan bekalan baja dan tenaga dunia.

Oleh itu, Malaysia mesti segera merancang dan bersedia menghadapi ketidakpastian ini. Universiti juga perlu turut serta. PRU16 yang bakal menjelang juga akan menentukan hala tuju dasar makanan dan ekonomi negara. Jika rakyat dan kerajaan gagal bertindak, krisis makanan boleh menjadi realiti yang menggugat kestabilan sosial. Namun, dengan persediaan rapi, orang Melayu di luar bandar berpotensi menjadi benteng utama keterjaminan makanan negara, sekali gus mengangkat martabat bangsa dan negara dalam menghadapi cabaran global.