Bersatu Melangkaui Parti Politik, Demi Kelangsungan Bangsa dan Negara
Perpecahan Parti, Kekeliruan Bangsa
Orang Melayu hari ini kelihatan berpecah, bukan kerana ketiadaan agama, tanah atau institusi, tetapi kerana kehilangan satu naratif bersama. Kita berbeza parti, berbeza tokoh, berbeza pendekatan, lalu menyangka perbezaan itu menuntut permusuhan. Sedangkan sejarah Melayu tidak pernah dibina atas satu “parti”, tetapi atas kesepakatan nilai, adat dan kedaulatan.
Hakikat yang pahit ialah, orang Melayu terlalu lama diseret ke medan politik tanpa pelan tamadun. Politik menjadi tujuan, bukan alat. Parti menjadi identiti, bukan wasilah. Akhirnya, bangsa hilang arah, walaupun kelihatan aktif bertelagah.
Dasar yang dikemukakan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) telah menggariskan sesuatu yang jauh lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti, iaitu naratif bangsa Melayu sebagai bangsa berdaulat, bermaruah dan berakar dalam Perlembagaan.
Persoalannya bukan lagi, Parti mana betul? Tetapi, Adakah kita masih berkongsi naratif bangsa yang sama?

Naratif Melayu: Dari Reaksi Politik ke Kesedaran Peradaban
Masalah Asal: Politik Tanpa Naratif
Sejak mencapai kemerdekaan, orang Melayu sebenarnya mewarisi sebuah negara yang lengkap dari sudut struktur, tetapi belum lengkap dari sudut kesedaran rakyatnya. Kita memiliki Perlembagaan yang tersusun, institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung kedaulatan, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu sebagai benteng fizikal bangsa, serta Perkara 153 sebagai mekanisme perlindungan dan pengimbangan sejarah.
Namun persoalan yang jarang ditanya ialah, adakah semua ini difahami sebagai satu naratif peradaban, atau sekadar dibaca sebagai teks undang-undang?
Di sinilah bermulanya masalah asal orang Melayu, politik berkembang lebih pantas daripada kesedaran kenegaraan. Parti politik tumbuh, pilihan raya diadakan, kerajaan silih berganti, tetapi kefahaman rakyat tentang mengapa semua institusi ini wujud tidak pernah benar-benar diakar dalam jiwa bangsa.

Akibatnya, politik Melayu menjadi reaktif, bukan berpandukan naratif.
Reaktif bermaksud, bertindak apabila terancam, marah apabila disentuh, mempertahankan apabila dicabar. Tetapi tidak mampu, menjelaskan secara rasional, mendidik generasi seterusnya, agar dapat membina hujah yang konsisten dan berwibawa.
Inilah sebab mengapa hari ini kita melihat fenomena yang membimbangkan, Perkara 153 diperdebatkan tanpa difahami sebagai pampasan sejarah.
Ramai orang Melayu sendiri terperangkap dalam istilah “keistimewaan”, lalu mempertahankannya dengan rasa bersalah, seolah-olah ia adalah kelebihan yang perlu diminta maaf. Hakikatnya, Perkara 153 lahir sebagai pampasan atas pengorbanan besar orang Melayu, berkongsi tanah air, kewarganegaraan dan kuasa politik dalam sebuah negara majmuk. Apabila sejarah ini tidak dijadikan naratif hidup, Perkara 153 mudah dicabar, diputar-belit, malah dipersoalkan oleh generasi yang sepatutnya paling memahaminya.
Tanah Simpanan Melayu dilihat sebagai beban, bukan jaminan maruah.
Tanah yang sepatutnya difahami sebagai simbol kedaulatan bangsa dan kesinambungan generasi, akhirnya dilihat sebagai halangan pembangunan. Ini berlaku kerana tanah tidak lagi dibicarakan dalam kerangka peradaban, tetapi semata-mata dalam logik ekonomi jangka pendek. Tanpa naratif yang betul, orang Melayu sendiri sanggup menukar warisan kekal dengan keuntungan sementara.
Bahasa Melayu dipertahankan secara emosi, bukan sebagai bahasa ilmu dan kuasa.
Bahasa menjadi isu sentimen, dibela apabila dihina, ditinggalkan apabila dianggap tidak praktikal. Kita gagal membina naratif bahawa bahasa ialah alat pembinaan ilmu, pemikiran dan tamadun. Maka Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa upacara dan slogan, bukan bahasa kepimpinan intelektual.
Semua ini berpunca daripada satu hakikat pahit, orang Melayu tidak kekurangan hak, tetapi kekurangan naratif yang menyatukan kefahaman terhadap hak tersebut.
Di sinilah pendirian Majlis Perundingan Melayu (MPM) menjadi sangat penting. MPM dengan jelas menegaskan bahawa bangsa Melayu wajib membina naratif baharu, bukan naratif nostalgia yang meratapi masa silam, dan bukan juga naratif defensif yang sentiasa berada dalam posisi terancam.
Sebaliknya, naratif yang dituntut ialah naratif swatadbir-urus diri. Naratif swatadbir-urus diri bermaksud, bangsa yang memahami sejarahnya, bangsa yang sedar kedudukannya dalam Perlembagaan, bangsa yang mampu merancang masa depan tanpa bergantung kepada belas ihsan pihak lain, Ini bukan soal romantik masa lampau dan ini bukan soal slogan politik. Ini soal kelangsungan sebuah bangsa dalam negara yang sedang berubah dengan pantas.

Naratif Bersama Tidak Bermaksud Parti Tunggal
Salah satu kekeliruan paling besar dalam wacana Melayu moden ialah kecenderungan untuk menyamakan perpaduan bangsa dengan penyatuan parti politik. Seolah-olah orang Melayu hanya boleh bersatu jika berada di bawah satu bendera, satu logo dan satu kepimpinan.
Sejarah dunia membuktikan sebaliknya. Bangsa yang matang dan berakar kuat dalam peradabannya, boleh berbeza ideologi ekonomi, boleh bersaing dalam sistem politik, boleh bertukar kerajaan secara demokratik, tetapi tetap berkongsi garis merah peradaban yang tidak boleh dilangkaui oleh sesiapa pun, sama ada pemerintah atau pembangkang.
Kesilapan orang Melayu ialah menjadikan parti sebagai pengganti naratif bangsa. Apabila parti menjadi pusat kesetiaan mutlak, kritikan terhadap pemimpin dianggap pengkhianatan, perbezaan pandangan dilihat sebagai musuh, kepentingan jangka panjang bangsa dikorbankan demi kemenangan jangka pendek.
Majlis Perundingan Melayu tidak menyeru kepada, pembubaran parti, penghapusan perbezaan ideologi atau penyatuan politik secara paksa. Sebaliknya, MPM menuntut sesuatu yang jauh lebih asas dan lebih matang, iaitu, kesepakatan nilai teras bangsa Melayu, yang mesti dipatuhi oleh semua parti Melayu, sama ada mereka berada dalam kerajaan atau pembangkang.
Nilai teras ini merangkumi, kesetiaan kepada Perlembagaan, pengiktirafan peranan Raja-Raja Melayu, pemeliharaan Islam sebagai teras peradaban, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara, perlindungan tanah dan kepentingan strategik Melayu.
Apabila nilai ini disepakati, perbezaan parti tidak lagi menjadi ancaman kepada bangsa, sebaliknya menjadi mekanisme persaingan idea untuk mencari kaedah terbaik mentadbir.
Inilah makna sebenar ungkapan, bersatu dalam satu naratif, walau berbeza wadah.
Bersatu dalam naratif bermaksud, kita berbeza jalan, tetapi menuju arah yang sama, kita berdebat tentang cara, bukan tentang asas, kita berlawan dalam politik, tetapi tidak menghancurkan bangsa
Tanpa naratif bersama, politik Melayu akan terus menjadi medan emosi, dendam dan perebutan kuasa. Dengan naratif bersama, politik Melayu boleh kembali menjadi alat peradaban, bukan punca kehancuran. Dan di sinilah letaknya peranan sebenar Majlis Perundingan Melayu, bukan sebagai parti, bukan sebagai kerajaan, tetapi sebagai penjaga naratif bangsa.
Perlembagaan: Titik Temu Semua Orang Melayu
Apakah paksi sebenar yang menyatukan semua orang Melayu walaupun berbeza parti, aliran dan generasi? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan ialah Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan bukan sekadar dokumen undang-undang tertinggi negara. Dalam konteks Melayu, ia adalah dokumen peradaban, hasil rundingan sejarah, pengorbanan politik, dan kebijaksanaan kepimpinan silam yang memahami realiti masyarakat majmuk. Di sinilah termaktub titik keseimbangan antara hak, tanggungjawab dan kelangsungan negara.
Malangnya, kegagalan membina naratif perlembagaan yang betul telah menyebabkan ramai orang Melayu sendiri, mempertahankannya dengan emosi, bukan kefahaman, menyokongnya secara membuta tuli, bukan berprinsip atau lebih parah, mempersoalkannya tanpa memahami sejarah kelahirannya.
Perkara 153: Pampasan, Bukan Keistimewaan Kosong
Salah satu penegasan paling penting oleh Majlis Perundingan Melayu ialah pembetulan besar terhadap salah faham berdekad-dekad lamanya, Perkara 153 bukan hadiah, bukan belas ihsan, dan bukan keistimewaan kosong. Ia adalah pampasan.
Pampasan ini lahir daripada satu realiti sejarah yang jarang dibicarakan secara jujur. Orang Melayu, sebagai bangsa teras di Tanah Melayu, telah, menerima prinsip jus soli dalam kewarganegaraan, berkongsi kuasa politik melalui sistem demokrasi, membuka ruang ekonomi dan sosial dalam sebuah negara majmuk.
Semua ini bukan perkara kecil. Ia adalah pengorbanan peradaban.
Maka Perkara 153 diwujudkan sebagai mekanisme imbangan, bukan untuk menindas kaum lain, tetapi untuk memastikan bangsa Melayu tidak terpinggir di tanah air sendiri akibat perubahan struktur demografi dan ekonomi.
Naratif ini sangat penting kerana ia mengubah cara orang Melayu melihat diri mereka sendiri. Apabila Perkara 153 difahami sebagai “keistimewaan”, orang Melayu mempertahankannya dengan rasa bersalah, hujah menjadi lemah dan mudah dipatahkan, generasi muda melihatnya sebagai sesuatu yang memalukan.
Tetapi apabila Perkara 153 difahami sebagai pampasan sejarah dan kontrak peradaban, orang Melayu berdiri dengan yakin bukan marah, hujah menjadi rasional bukan emosional, hak dipertahankan sebagai sebahagian daripada struktur negara.
Inilah maksud sebenar perubahan mentaliti, daripada defensif kepada berhak.
Lebih penting, tafsiran ini mengikat legitimasi Perkara 153 bukan pada sentimen kaum, tetapi pada asas kenegaraan. Ia wujud kerana negara ini dibina atas persetujuan bersama, bukan dominasi unilateral mana-mana pihak.
Atas sebab itu, secara tersirat ia meletakkan tanggungjawab moral yang besar kepada semua parti Melayu, tanpa mengira logo, ideologi atau kedudukan dalam kerajaan.
Jika mana-mana parti Melayu, meremehkan Perkara 153, bersikap ambivalen terhadap tafsiran sejarahnya, atau menggunakannya secara populis tanpa kefahaman, maka parti tersebut sebenarnya sedang mencabut asas negara yang membolehkan kewujudan politik mereka sendiri.
Perkara 153 bukan alat kempen. Ia adalah tiang seri negara.
Raja-Raja Melayu sebagai Payung, Bukan Simbol
Satu lagi kesilapan besar dalam pemikiran politik moden ialah kecenderungan melihat institusi Raja-Raja Melayu sebagai sekadar simbol tradisi, dihormati dalam istiadat, tetapi dipinggirkan dalam naratif kuasa sebenar.
Majlis Perundingan Melayu menolak kefahaman cetek ini dengan menegaskan bahawa DYMM Raja-Raja Melayu ialah pemegang amanah terakhir kepada tiga perkara asas negara: Islam, Melayu dan Perlembagaan.
Dalam sistem kenegaraan Malaysia, Raja-Raja Melayu bukan pemerintah mutlak, tetapi mereka juga bukan hiasan kosong. Mereka berfungsi sebagai penjaga keseimbangan, khususnya apabila politik kepartian menjadi terlalu sempit, emosional atau oportunistik.
Cadangan-cadangan seperti, mewartakan Wasiat Raja-Raja Melayu, memperkasa struktur dan kewangan institusi Raja-Raja dan menegaskan peranan Raja sebagai payung perpaduan, bukan bertujuan mengembalikan feudalisme atau menundukkan demokrasi. Sebaliknya, ia adalah usaha menyatukan bangsa di atas politik, bukan menundukkan politik di bawah raja.
Ini perbezaan yang halus tetapi sangat penting. Dalam tradisi Melayu, raja bukan sekadar penguasa tetapi, simbol kesinambungan sejarah, lambang kedaulatan yang tidak tertakluk kepada pilihan raya, titik rujukan terakhir apabila sistem politik gagal mencapai kesepakatan.
Apabila politik berpecah, raja menyatukan.
Apabila parti bertelagah, raja melindungi asas negara.
Apabila naratif bercelaru, raja menjadi paksi kestabilan.
Inilah kebijaksanaan politik Melayu yang diwarisi turun-temurun, politik boleh berubah, raja mesti kekal sebagai paksi. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, dengan tekanan global, polarisasi kaum, dan persaingan ideologi, peranan institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung perpaduan bukan semakin lapuk, tetapi semakin relevan. Menolak peranan ini bukan tanda kemodenan. Ia tanda kehilangan akar kenegaraan.
Perlembagaan Persekutuan bukan medan pertikaian orang Melayu.
Ia sepatutnya menjadi titik temu semua orang Melayu. Di sinilah orang Melayu boleh, berbeza parti tetapi berkongsi asas, bersaing idea tanpa meruntuhkan negara, mempertahankan hak tanpa membenci pihak lain.
Apabila Perkara 153 difahami sebagai pampasan bersejarah, dan Raja-Raja Melayu difahami sebagai payung peradaban, maka politik Melayu boleh kembali berfungsi sebagai alat menjaga negara, bukan alat memecah bangsa.
Antara Parti dan Peradaban: Di Mana Orang Melayu Berdiri?
Setelah menelusuri persoalan naratif, Perlembagaan, dan institusi asas bangsa, satu kesimpulan besar muncul dengan jelas, orang Melayu tidak kekurangan parti politik. Yang semakin berkurang, malah hampir hilang, ialah kesepakatan naratif.
Parti datang dan pergi. Nama berubah, logo bertukar, kepimpinan silih berganti. Ada parti yang lahir daripada semangat nasionalisme, ada yang muncul atas dasar reformasi, ada pula yang tumbuh daripada gelombang keagamaan atau kekecewaan rakyat. Semua ini lumrah dalam sebuah sistem demokrasi yang hidup.
Namun bangsa tidak boleh hidup semata-mata dengan pertukaran parti.
Bangsa hanya boleh hidup jika ia memiliki naratif bersama yang mengikat perbezaan itu ke arah yang sama.
Ketiadaan naratif inilah yang menyebabkan orang Melayu hari ini sering kelihatan, kuat bertengkar tetapi lemah bersepakat, lantang mempertahankan tokoh tetapi kabur mempertahankan asas, ghairah memenangi perlawanan politik tetapi alpa terhadap kelangsungan bangsa.
Apabila parti menjadi tujuan, bukan alat, orang Melayu akan terperangkap dalam kitaran perseteruan yang tidak berkesudahan. Setiap kemenangan dirayakan seolah-olah ia kejayaan bangsa, sedangkan asas peradaban terus terhakis perlahan-lahan.
Di sinilah nilai sebenar pendirian Majlis Perundingan Melayu harus difahami. Ia bukan manifesto politik, bukan juga pelan rampasan kuasa, dan bukan alat mana-mana parti. Ia adalah rangka besar penyatuan bangsa, dibina bukan atas emosi, tetapi atas kesedaran sejarah, perlembagaan dan peradaban.
MPM tidak mengajak orang Melayu memilih parti tertentu. MPM mengajak orang Melayu memilih kefahaman yang betul tentang diri mereka sendiri.
Penyatuan yang ditawarkan bukan penyatuan secara paksaan politik, kerana paksaan hanya melahirkan kepatuhan sementara. Penyatuan yang dicadangkan ialah penyatuan melalui kesedaran peradaban, kesedaran bahawa, bangsa ini wujud sebelum parti. Perlembagaan ini lebih tua daripada kebanyakan kepimpinan semasa, Raja, agama, bahasa dan tanah bukan ciptaan politik moden, tetapi warisan yang dipikul dengan amanah.
Apabila kesedaran ini wujud, perbezaan parti tidak lagi menjadi ancaman. Ia menjadi ruang persaingan sihat untuk mencari jalan terbaik mentadbir, tanpa meruntuhkan asas negara.
Sejarah membuktikan bahawa bangsa yang matang tidak runtuh kerana perbezaan politik. Ia runtuh apabila naratif peradabannya hancur. Apabila generasi baharu tidak lagi memahami mengapa hak tertentu wujud, mengapa institusi tertentu perlu dipertahankan, dan mengapa kompromi sejarah pernah dibuat, maka bangsa itu akan menjadi rapuh, walaupun kelihatan menang dari sudut angka dan kuasa.
Inilah sebab mengapa ungkapan berikut bukan sekadar retorik, tetapi satu peringatan keras, Selagi orang Melayu berbeza parti tetapi berkongsi naratif, bangsa ini masih selamat. Apabila orang Melayu satu parti tetapi hilang naratif, di situlah bangsa akan runtuh.
Kesepakatan naratif membolehkan orang Melayu, menukar kerajaan tanpa menukar asas negara, mengkritik pemimpin tanpa membenci bangsa sendiri, berbeza pandangan tanpa menggadaikan masa depan.
Tanpa naratif, penyatuan parti sekalipun hanya akan melahirkan keseragaman kosong, kelihatan kukuh di luar, tetapi rapuh di dalam. Dan sejarah menunjukkan bahawa keruntuhan sebenar sering bermula dari dalam, bukan dari serangan luar.
Maka sebelum orang Melayu bertanya, parti mana harus disokong?, mereka perlu menjawab soalan yang lebih mendasar, naratif apa yang harus dipertahankan, tidak kira siapa yang memerintah?
Di situlah bermulanya kebangkitan sebenar, bukan kebangkitan emosi, tetapi kebangkitan kesedaran. Dan hanya dengan kesedaran itulah bangsa Melayu mampu melangkah ke bahagian seterusnya, bagaimana kuasa politik, NGO, pendidikan dan institusi boleh disusun semula untuk melaksanakan naratif ini dalam dunia nyata.
Tanah, Bahasa dan Islam: Tiga Tiang Peradaban Melayu
Jika Perlembagaan ialah rangka negara, dan kuasa politik ialah alat pengurusan, maka Tanah, Bahasa dan Islam ialah roh peradaban Melayu. Tanpa ketiga-tiganya, Melayu mungkin masih wujud sebagai kelompok demografi, tetapi akan kehilangan makna sebagai bangsa berdaulat.
Masalah utama orang Melayu hari ini bukan kehilangan ketiga-tiga tiang ini secara total, tetapi kehilangan naratif yang betul untuk memahaminya. Akibatnya, Tanah dipertahankan dengan ketakutan, Bahasa dengan nostalgia, dan Islam dengan slogan.
Majlis Perundingan Melayu (MPM) melakukan sesuatu yang jarang dilakukan dalam wacana Melayu, ia menyusun semula ketiga-tiga unsur ini sebagai sistem peradaban, bukan isu terpisah.
Tanah Simpanan Melayu: Dari Beban ke Amanah
Tanah bagi orang Melayu bukan sekadar aset ekonomi. Ia ialah, bukti sejarah kewujudan
simbol kedaulatan dan asas kelangsungan generasi. Namun selama beberapa dekad, Tanah Simpanan Melayu telah diletakkan dalam naratif yang salah. Ia sering digambarkan sebagai, tanah “beku”, penghalang pembangunan, beban kepada ekonomi moden.
Naratif ini berbahaya kerana ia menanam rasa bersalah dalam minda orang Melayu, seolah-olah mempertahankan tanah sendiri adalah satu kelemahan atau ketidakcekapan. MPM memperkenalkan satu naratif baharu yang jauh lebih dewasa dan strategik, pemisahan tanah Melayu kepada dua fungsi peradaban.
Pertama: Tanah sebagai simpanan maruah. Sebahagian tanah Melayu mesti kekal sebagai warisan berdaulat yang tidak tertakluk kepada logik pasaran semata-mata. Tanah ini berfungsi sebagai, penanda kewujudan bangsa, benteng daripada peminggiran total, jaminan bahawa orang Melayu tidak menjadi pelarian ekonomi di tanah sendiri.Tanah jenis ini tidak perlu sentiasa “menguntungkan” dalam erti pasaran. Nilainya ialah nilai peradaban.
Kedua: Tanah sebagai aset ekonomi. Sebahagian lagi tanah Melayu mesti digerakkan secara agresif, profesional dan berdaya saing. Di sinilah orang Melayu,tidak boleh berlindung di sebalik sentimen, tidak boleh takut bersaing, tidak boleh bergantung kepada perlindungan semata-mata.
Cadangan nisbah 50:50 yang dikemukakan MPM bukan angka magis, tetapi simbol keseimbangan, antara mempertahankan maruah dan membina kekuatan ekonomi
Naratif ini mengubah cara Melayu melihat tanah, daripada beban kepada amanah
daripada simbol ketakutan kepada strategi kelangsungan. Ini bukan naratif sentimental.
Ini naratif bangsa yang ingin kekal berdaulat dan relevan.
Bahasa Melayu: Bahasa Ilmu atau Bahasa Upacara?
Bahasa adalah medan kuasa yang paling halus tetapi paling menentukan. Bangsa yang menguasai bahasa ilmu akan menentukan, apa yang dianggap benar, apa yang dianggap maju dan apa yang dianggap bernilai.
Masalah Bahasa Melayu hari ini bukan ketiadaan pengiktirafan rasmi, tetapi kehilangan fungsi kuasa. Bahasa Melayu sering, diraikan dalam upacara, diagungkan dalam slogan, tetapi diketepikan dalam penghasilan ilmu, dasar dan wacana strategik.
MPM mengambil pendirian yang jelas dan tidak apologetik, Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu, istilah “Bahasa Malaysia” perlu dihentikan kerana ia mengaburkan akar peradaban, Bahasa Melayu wajib digunakan dalam kehakiman, pentadbiran dan sektor korporat strategik.
Ini bukan soal menolak bahasa lain. Ini soal siapa yang menentukan kerangka fikir negara ini. Apabila Bahasa Melayu gagal menjadi bahasa ilmu, orang Melayu akan berfikir dengan kerangka asing, nilai luar akan ditelan tanpa penapisan dan masa depan ditentukan oleh istilah yang bukan lahir daripada pengalaman sendiri.
Bahasa bukan alat komunikasi semata-mata. Ia adalah alat pembentukan realiti. Dengan menegaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, universiti dipaksa berfikir secara lebih mandiri, institusi awam diperkasa dengan identiti sendiri dan bangsa kembali menjadi subjek sejarah, bukan objek. Ini soal kuasa epistemologi, siapa menentukan ilmu, nilai dan hala tuju masa depan.
Islam: Teras, Bukan Aksesori Politik
Antara kesilapan terbesar dalam politik Melayu moden ialah menjadikan Islam, slogan kempen, alat serangan politik atau simbol identiti kosong. Islam sering ditarik ke medan politik yang sempit, lalu kehilangan kedudukannya sebagai teras peradaban.
MPM dengan jelas membezakan antara, Islam sebagai agama peradaban dan Islam sebagai alat mobilisasi politik. Usaha memperkasakan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI), penstrukturan semula JAKIM dan penyelarasan kehakiman syariah, bukan bertujuan mewujudkan “negara Islam” dalam erti sempit, tetapi untuk menyusun kuasa institusi Islam secara beradab dan berperlembagaan.
Dalam naratif Melayu yang dibina MPM, Islam bukan slogan, bukan perhiasan dan bukan alat intimidasi, sebaliknya, Islam ialah, sumber etika kuasa, panduan keadilan dan penimbang antara kekuatan dan amanah.
Islam yang difahami sebagai teras peradaban akan, membataskan kerakusan kuasa, menghalang penindasan atas nama majoriti, dan membentuk pemimpin yang sedar tanggungjawab, bukan sekadar berkuasa.
Tanpa Islam sebagai teras nilai, politik menjadi licik, ekonomi menjadi rakus dan bahasa menjadi kosong
Tanah, Bahasa dan Islam bukan isu terpisah.
Ketiga-tiganya saling mengikat dan saling menguatkan, tanah tanpa nilai akan dijual, bahasa tanpa ilmu akan ditinggalkan dan Islam tanpa institusi akan diperalat.
MPM tidak mengajak orang Melayu mempertahankan ketiga-tiganya dengan jeritan.
Ia mengajak orang Melayu memahami, menyusun dan mengurusnya sebagai sistem peradaban.
Dan hanya apabila tiga tiang ini berdiri teguh, barulah, kuasa politik ada makna, perlembagaan ada roh dan bangsa Melayu benar-benar berdiri sebagai bangsa, bukan pelanggan sejarah.
Kuasa Politik Melayu: Dari Pertelagahan Parti kepada Kesepakatan Bangsa
Kesilapan Lama: Menyempitkan Kuasa Politik kepada Parti
Sejak lebih enam dekad, orang Melayu dibentuk, secara sistematik dan beransur-ansur, untuk mempercayai bahawa kuasa politik Melayu hanya wujud melalui parti politik. Parti dijadikan medan tunggal perjuangan. Tanpa parti, seolah-olah tiada kuasa. Tanpa menang pilihan raya, seolah-olah bangsa akan lenyap.
Di sinilah kesilapan besar bermula. Dalam tradisi politik Melayu yang lebih panjang daripada sejarah pilihan raya moden, kuasa tidak pernah terletak sepenuhnya pada parti. Kuasa terletak pada, kesepakatan elit dan rakyat, kesetiaan kepada institusi dan kefahaman tentang hierarki kepentingan bangsa.
Parti hanyalah alat moden yang diperkenalkan untuk mengurus perbezaan pandangan dalam sistem demokrasi. Namun alat ini, apabila diagungkan tanpa naratif bangsa, akhirnya memakan tuannya sendiri.
Hakikatnya, parti hanyalah kenderaan, bukan destinasi. Kenderaan boleh rosak. Pemandu boleh bertukar. Laluan boleh diubah. Tetapi destinasi bangsa, maruah, kedaulatan dan kelangsungan, tidak boleh dikompromi.
Apabila orang Melayu meletakkan seluruh makna kuasa pada parti, beberapa penyakit politik mula berakar, Pemimpin dipertahankan walau salah. Kesalahan tidak lagi dinilai berdasarkan prinsip, tetapi berdasarkan logo. Yang salah dimaafkan jika “orang kita”. Yang betul ditolak jika datang dari parti lawan. Maka runtuhlah budaya amanah. Sesama sendiri diserang walau atas isu prinsip yang sama. Isu tanah, bahasa, Islam, Raja dan Perlembagaan sering diperjuangkan secara terpisah, malah bertembung, hanya kerana ia datang dari parti yang berbeza. Prinsip yang sepatutnya menyatukan menjadi senjata memecahkan. Perbezaan parti disalah anggap sebagai perbezaan musuh. Politik bertukar menjadi peperangan identiti. Bukan lagi “kita berbeza pandangan”, tetapi “kau musuh aku”. Dalam keadaan ini, bangsa kehilangan keupayaan untuk berfikir secara kolektif.
Akhirnya, orang Melayu menjadi penonton kepada perpecahan yang dicipta oleh tangan sendiri, sementara pihak lain bergerak dengan lebih tersusun, konsisten dan rasional mempertahankan kepentingan mereka. Majlis Perundingan Melayu mengajak orang Melayu keluar daripada perangkap ini dengan satu penegasan yang sangat penting, kuasa politik Melayu mesti difahami sebagai kuasa kolektif bangsa, bukan monopoli mana-mana parti. Ini bermaksud, parti boleh berbeza, tetapi garis merah bangsa mesti sama kerajaan boleh bertukar, tetapi asas peradaban tidak boleh digadai persaingan dibenarkan, pengkhianatan terhadap naratif tidak.
Tanpa pembetulan kefahaman ini, politik Melayu akan terus berlegar dalam kitaran emosi dan perebutan kuasa yang melemahkan bangsa secara perlahan-lahan.
“Undi Melayu, Calon Melayu”: Naratif atau Emosi?
Antara usul paling sensitif, paling mudah disalah tafsir, dan paling cepat ditolak secara emosional ialah slogan “Undi Melayu, Calon Melayu”. Ia sering dibicarakan dengan nada marah atau sinis, tanpa usaha memahami konteks perlembagaan, realiti demografi dan logik demokrasi.
Hakikatnya, usul ini bukan seruan perkauman sempit, dan bukan juga tuntutan eksklusif yang menafikan hak orang lain. Ia adalah respons strategik terhadap realiti sistem politik berasaskan angka.
Usul ini bertujuan, mengembalikan daya tawar politik Melayu, Apabila undi Melayu berpecah tanpa koordinasi, daya tawar politik Melayu melemah walaupun jumlahnya besar. Daya tawar bukan soal siapa menang, tetapi siapa boleh menetapkan syarat.
Memastikan kuasa eksekutif tidak terlerai daripada paksi Perlembagaan, Dalam sistem demokrasi, kuasa eksekutif menentukan hala tuju dasar. Jika paksi kuasa ini terpisah daripada kefahaman tentang Perlembagaan, Raja, Islam dan bahasa, maka asas negara terdedah kepada kompromi berbahaya.
Menjadi mekanisme survival dalam demokrasi majmuk. Dalam negara majmuk, setiap kaum bertindak secara rasional melindungi kepentingan kolektif mereka, sama ada secara terbuka atau tersusun di belakang tabir. Hanya orang Melayu yang sering diajar bahawa mempertahankan kepentingan sendiri adalah sesuatu yang “ketinggalan” atau “memalukan”.
Ini bukan soal keangkuhan kaum.
Ini soal kewarasan politik.
Majlis Perundingan Melayu tidak berhenti pada slogan. Ia mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Pemuafakatan Melayu (MPPM), sebuah badan bukan parti, yang menghubungkan institusi politik dan bukan politik Melayu.
Peranan MPPM bukan, menentukan calon, memilih parti, mengarah pengundian, tetapi menyelaras strategi kuasa jangka panjang bangsa, menilai kesan dasar terhadap kepentingan Melayu dan menjadi ruang perbincangan matang merentas parti dan institusi
Di sinilah perbezaan asas perlu difahami, Parti bertanding untuk menang. Bangsa merancang untuk kekal. Apabila perancangan bangsa diserahkan sepenuhnya kepada parti, bangsa akan sentiasa ketinggalan satu langkah di belakang perubahan politik.
MP Melayu: Wakil Parti atau Amanah Bangsa?
Satu tuntutan yang paling mencabar, tetapi paling penting dalam resolusi MPM ini ialah keperluan kesepakatan MP Melayu dalam isu-isu strategik yang menyentuh kepentingan asas bangsa.
Antaranya, rang Undang-Undang yang menjejaskan Tanah Simpanan Melayu, persempadanan semula yang melemahkan kuasa undi Melayu dan dasar pembangunan bandar yang meminggirkan pemilikan dan kehadiran Melayu.
Dalam isu-isu ini, MPM menuntut agar MP Melayu bertindak sebagai satu blok moral, walaupun mereka datang dari parti yang berbeza, duduk di bangku kerajaan atau pembangkang.
Ini bukan idea asing dalam politik dunia. Dalam banyak negara, isu keselamatan negara, isu bahasa kebangsaan, isu agama majoriti atau identiti nasional, sering disepakati merentas parti. Perbezaan ideologi ditangguhkan demi kepentingan asas negara.
Mengapa perkara ini begitu sukar berlaku dalam politik Melayu?
Jawapannya kembali kepada akar masalah, naratif bangsa tidak pernah disepakati secara kolektif.
Tanpa naratif bersama, MP melihat diri mereka sebagai wakil parti semata-mata, undi di Parlimen menjadi alat tawar-menawar politik, amanah bangsa tenggelam dalam disiplin parti. Kesannya, rakyat melihat wakil mereka bercakap tentang Melayu di pentas ceramah, tetapi berdiam diri atau berpecah di Dewan Rakyat apabila tiba saat genting.
Kesepakatan yang dituntut bukan keseragaman mutlak. Ia adalah kesetiaan kepada perkara yang tidak boleh dikompromi. Apabila MP Melayu memahami bahawa mereka memegang amanah bangsa, bukan sekadar kerusi parti, barulah politik Melayu boleh naik satu tahap, daripada politik perebutan kuasa kepada politik penjagaan peradaban.
Kuasa politik Melayu tidak akan pulih dengan menambah parti, menukar pemimpin atau memenangi lebih banyak kerusi semata-mata. Ia hanya akan pulih apabila orang Melayu membetulkan cara mereka memahami kuasa itu sendiri. Selagi kuasa difahami sebagai milik parti, bangsa akan terus berpecah. Apabila kuasa difahami sebagai amanah kolektif bangsa, barulah perbezaan politik menjadi kekuatan, bukan kelemahan.
Dan di sinilah peranan seterusnya muncul, bagaimana NGO Melayu, institusi masyarakat dan pendidikan kenegaraan boleh menjadi kuasa pelengkap kepada politik, bukan pengikut buta kepadanya.
NGO Melayu sebagai Kuasa Ketiga: Mengimbangi Negara dan Parti
Jika politik kepartian adalah medan perebutan kuasa, dan negara adalah struktur pelaksanaan dasar, maka NGO Melayu sepatutnya menjadi hati nurani dan akal panjang bangsa. Namun realiti hari ini jauh tersasar daripada peranan ideal tersebut.
Sejak sekian lama, NGO Melayu gagal berdiri sebagai kuasa bebas yang dihormati, bukan kerana ketiadaan niat atau tenaga, tetapi kerana kesilapan struktur dan budaya perjuangan yang berakar terlalu lama.
Kelemahan Tradisi: NGO sebagai Sayap Politik
Salah satu kegagalan paling ketara NGO Melayu ialah kecenderungan untuk berfungsi sebagai lanjutan kepada parti politik, sama ada secara terang-terangan atau terselindung. Dalam banyak keadaan, NGO Melayu dilihat hanya sebagai, penyokong parti ketika pilihan raya, alat mobilisasi massa untuk perhimpunan dan demonstrasi dan benteng propaganda bagi mempertahankan naratif politik tertentu.
Apabila NGO berperanan sedemikian, ia sebenarnya telah melepaskan autonominya sendiri. NGO tidak lagi bebas untuk menilai dasar secara objektif, tidak berani menegur pemimpin “orang sendiri”, dan tidak mampu menawarkan alternatif pemikiran yang lebih baik.
Akibatnya, tiga perkara paling penting hilang daripada NGO Melayu. Kredibiliti moral, Apabila NGO terlalu rapat dengan parti, masyarakat tidak lagi melihatnya sebagai suara kebenaran, tetapi sebagai suara kepentingan. Teguran yang sepatutnya dihormati dianggap bermotif politik. Kebebasan intelektual, Idea tidak lagi dinilai berdasarkan kualiti, tetapi berdasarkan kesesuaian dengan garis parti. Wacana menjadi sempit, analisis menjadi cetek, dan pemikiran kritikal dilihat sebagai ancaman. Keupayaan menjadi suara semak imbang, NGO yang takut kehilangan akses politik tidak akan berani menegur dasar yang salah. Maka fungsi semak imbang, nadi masyarakat sivil, lumpuh sepenuhnya.
Majlis Perundingan Melayu secara jelas mengangkat keperluan membina semula NGO Melayu sebagai Kuasa Ketiga, bukan untuk menentang kerajaan, dan bukan juga untuk melemahkan parti, tetapi untuk melengkapkan agenda bangsa di luar kitaran pilihan raya. Ini satu pembetulan penting. Bangsa tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan yang berubah setiap lima tahun. Agenda peradaban memerlukan kesinambungan, bukan sekadar kemenangan.
NGO sebagai Pemikir, Bukan Menyalak
Salah satu tanda kemunduran politik ialah apabila NGO lebih dikenali kerana jeritan, bukan pemikiran, kerana sepanduk, bukan pelan tindakan, kerana emosi, bukan hujah.
MPM mengajak NGO Melayu keluar daripada budaya reaktif ini dan kembali kepada peranan sebenar mereka sebagai pemikir strategik bangsa. Peranan NGO Melayu sepatutnya merangkumi, Membina pelan tindakan jangka panjang. NGO mesti berfikir melangkaui kitaran politik lima tahun. Apa nasib Tanah Simpanan Melayu 20 tahun akan datang? Bagaimana Bahasa Melayu mahu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu global? Apakah struktur ekonomi Bumiputera yang lestari? Soalan-soalan ini menuntut pelan jangka panjang, bukan slogan.
Mengisi jurang dasar yang tidak disentuh kerajaan, kerajaan terikat dengan kekangan politik, bajet dan persepsi awam. NGO yang bebas boleh mengemukakan idea-idea berani, menguji model baharu, dan menawarkan solusi yang belum sedia diterima secara politik, tetapi penting dari sudut peradaban.
Mendidik rakyat dengan fakta, bukan slogan. Kesedaran bangsa tidak boleh dibina melalui emosi semata-mata. NGO mesti menjadi pusat penghasilan data, kajian, analisis dan penerangan yang boleh difahami rakyat. Inilah asas kepada rakyat yang matang dan berdaulat.
Atas sebab itu, MPM menyeru agar NGO Melayu berada di atas satu pentas pemikiran, bukan untuk menyeragamkan pendekatan, tetapi untuk berkongsi, data yang sahih, analisis yang jujur, pelan tindakan yang praktikal. Perbezaan pendekatan dibenarkan, malah diperlukan. Tetapi tujuan mesti sama, kepentingan jangka panjang bangsa Melayu. Inilah yang dimaksudkan dengan politik matang, perbezaan pandangan tidak melemahkan kesatuan tujuan.
Ekonomi, Pendidikan dan Tanah: Ruang NGO Bertindak
Banyak usul dari Majlis Perundingan Melayu tidak akan berjaya jika diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan atau parti politik. Usul-usul ini memerlukan, pemantauan berterusan, kepakaran teknikal dan profesional, tekanan moral yang konsisten. Antaranya termasuk,
Pemerkasaan institusi Bumiputera, NGO boleh berperanan sebagai pemantau prestasi institusi-institusi ini, adakah ia benar-benar memenuhi mandat asal atau tersasar daripada tujuan? NGO juga boleh mencadangkan pembaharuan struktur berdasarkan kajian lapangan.
Pembangunan Tanah Simpanan Melayu, Isu tanah memerlukan gabungan kepakaran undang-undang, perancangan bandar, kewangan dan wakaf. NGO bebas lebih sesuai memimpin wacana dan projek perintis tanpa tekanan politik jangka pendek.
Pendidikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, Kerajaan boleh menggubal dasar, tetapi NGO boleh membangunkan kandungan, menerbitkan karya, menggerakkan komuniti ilmuwan dan mencipta ekosistem penggunaan bahasa Melayu dalam bidang profesional dan teknologi.
Dalam semua bidang ini, NGO Melayu tidak boleh berperanan sebagai, jurucakap parti, pengulang slogan dan penonton pasif. Sebaliknya, NGO Melayu mesti menjadi, penjaga naratif bangsa, bukan jurucakap parti.
Penjaga naratif bermaksud, memastikan agenda Melayu tidak diseleweng oleh kepentingan jangka pendek, mengingatkan kerajaan apabila tersasar dan mendidik rakyat supaya tidak mudah dimanipulasi.
Apabila NGO Melayu berjaya memainkan peranan ini, barulah ekosistem bangsa menjadi seimbang, parti bersaing secara sihat, kerajaan mentadbir dengan diawasi, masyarakat sivil yang memelihara asas peradaban.
Tanpa NGO yang bebas dan berwibawa, politik Melayu akan terus terperangkap antara kuasa dan propaganda. Dengan NGO yang berfungsi sebagai Kuasa Ketiga, bangsa Melayu berpeluang membina kesinambungan peradaban yang tidak bergantung kepada siapa yang memerintah.
Di sinilah bermulanya fasa seterusnya perjuangan bangsa, mendidik orang Melayu supaya memahami negara, Perlembagaan dan amanah sejarah mereka, agar kuasa tidak lagi dipinjam, tetapi dimiliki dengan sedar.
Pendidikan Kenegaraan: Membina Melayu yang Sedar, Bukan Takut
Jika kuasa politik ialah alat, dan NGO ialah pengimbang, maka pendidikan kenegaraan ialah akar. Tanpa akar, pohon bangsa boleh kelihatan hijau untuk seketika, tetapi akan tumbang apabila diuji oleh angin perubahan.
Tragedi terbesar bangsa Melayu hari ini bukan ketiadaan kuasa atau institusi, tetapi ketiadaan kefahaman yang hidup tentang negara yang mereka warisi.
Melayu yang Tidak Kenal Perlembagaan
Salah satu ironi paling menyedihkan dalam sejarah pasca-merdeka ialah hakikat bahawa, orang Melayu hidup di bawah Perlembagaan yang melindungi mereka, tetapi tidak memahami kandungannya. Perlembagaan Persekutuan bukan dokumen asing kepada orang Melayu. Ia dibina dengan mengambil kira, sejarah Tanah Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai teras peradaban dan realiti masyarakat majmuk. Namun, dalam praktik seharian, Perlembagaan ini jarang difahami sebagai naratif hidup bangsa, sebaliknya dianggap sebagai teks undang-undang yang jauh, kaku dan hanya relevan kepada peguam atau ahli politik.
Akibatnya, ramai orang Melayu, mempertahankan Perlembagaan secara emosi, bukan rasional, menyerah kalah dalam perdebatan awam kerana tidak tahu hujah atau lebih parah, mempersoalkan asasnya tanpa memahami sejarah kelahirannya.
Kekosongan kefahaman inilah yang menyebabkan generasi Melayu hari ini mudah keliru apabila, Perkara 153 dipersoalkan, peranan Raja-Raja Melayu diperkecilkan dan Islam dipisahkan daripada naratif kenegaraan.
Majlis Perundingan Melayu mengenal pasti kekosongan ini sebagai ancaman strategik, bukan isu kecil. Justeru, ia menuntut penubuhan Institut Tarbiyah Kenegaraan (ITK), satu institusi khusus untuk membina kesedaran kenegaraan orang Melayu secara sistematik dan berterusan.
ITK yang dicadangkan bukan sekolah politik, bukan pusat latihan parti, dan bukan platform propaganda. Ia adalah institusi tarbiyah, pendidikan yang membentuk kefahaman, adab dan tanggungjawab.
Antara fokus utama ITK ialah, sejarah pembentukan negara, termasuk kompromi, pengorbanan dan rundingan yang melahirkan Perlembagaan. Kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai institusi kedaulatan dan payung peradaban. Makna sebenar Perkara 153, bukan sebagai keistimewaan kosong, tetapi pampasan bersejarah. Hubungan Islam, Melayu dan Perlembagaan, sebagai satu kesatuan, bukan entiti terpisah.
Ini bukan pendidikan politik kepartian. Ini adalah pendidikan jati diri kenegaraan. Tanpa pendidikan ini, orang Melayu akan terus berpolitik tanpa asas, beremosi tanpa ilmu, dan mempertahankan hak tanpa hujah yang meyakinkan.
Tanpa Kesedaran, Kuasa Menjadi Pinjaman
Kuasa yang tidak difahami asal-usulnya bukan kuasa yang dimiliki, ia hanyalah pinjaman sementara. Pinjaman ini boleh ditarik balik, dipersoalkan, atau dilemahkan pada bila-bila masa apabila bangsa itu sendiri gagal mempertahankannya secara berprinsip.
Bangsa yang tidak memahami asas negaranya akan sentiasa berada dalam keadaan rapuh. Mereka akan, mudah dipermainkan dengan retorik, kerana tidak tahu membezakan fakta dan manipulasi, mudah dipecahkan dengan sentimen, kerana emosi menggantikan rasional, mudah dipujuk menyerahkan hak sendiri, kerana tidak sedar nilai dan fungsi hak tersebut.
Inilah sebab mengapa perbahasan tentang hak Melayu sering berakhir dengan kekeliruan, keletihan dan rasa bersalah. Hak dipertahankan seolah-olah ia satu beban moral, bukan tanggungjawab kenegaraan.
Sebaliknya, kesedaran perlembagaan melahirkan bangsa yang berbeza sifatnya. Bangsa yang sedar Perlembagaan akan, berani mempertahankan hak, kerana tahu ia sah dan berasas, matang dalam berbeza pandangan, kerana faham batas dan garis merah dan yakin tanpa perlu menjadi ekstrem, kerana hujah mereka kuat, bukan kosong.
Kesedaran ini membolehkan orang Melayu, berdebat tanpa membenci, mempertahankan tanpa mengugut dan menolak tanpa menghina.
Inilah yang dimaksudkan dengan naratif baharu Melayu, satu kebangkitan yang tidak bersandar pada emosi semata-mata, tetapi berpaksikan kefahaman, adab dan keyakinan diri. Bangkit bukan kerana takut kehilangan. Bangkit kerana faham apa yang perlu dipertahankan.
Tanpa pendidikan kenegaraan, segala usaha politik dan institusi akan menjadi rapuh. Parti boleh menang pilihan raya, NGO boleh lantang bersuara, dasar boleh digubal, tetapi tanpa rakyat yang memahami asas negara, semua itu akan hilang makna dalam jangka panjang. Pendidikan kenegaraan bukan agenda elit. Ia adalah keperluan survival bangsa. Apabila orang Melayu memahami Perlembagaan mereka, kuasa tidak lagi dipinjam, hak tidak lagi dipersoalkan dengan rasa bersalah dan perbezaan tidak lagi menjadi ancaman. Sebaliknya, ia menjadi kekuatan yang menstabilkan negara.
Dan hanya setelah kesedaran ini terbina, barulah kita boleh sampai ke matlamat terakhir, apakah bentuk kesimpulan besar dan amanat kepada orang Melayu untuk dekad akan datang.
Kesimpulan Besar: Melayu Sebagai Bangsa, Bukan Pelanggan Politik
Setelah menelusuri persoalan naratif, Perlembagaan, kuasa politik, peranan NGO dan pendidikan kenegaraan, satu hakikat besar tidak boleh lagi dielakkan, orang Melayu sedang berada di persimpangan sejarah.
Di satu jalan, orang Melayu terus berfungsi sebagai pelanggan politik, dipujuk setiap musim pilihan raya, digerakkan dengan emosi, ditenangkan dengan retorik, lalu ditinggalkan dengan konflik dalaman yang berpanjangan.
Di jalan yang satu lagi, orang Melayu bangkit sebagai bangsa yang sedar, berbeza pandangan tetapi bersatu dalam perkara asas, matang dalam politik dan teguh dalam peradaban.
Bahagian ini bukan tentang siapa yang betul atau salah dalam politik semasa.
Ia tentang siapa kita sebagai bangsa, dan apa yang akan kita wariskan kepada generasi seterusnya.
Bersatu Tanpa Menjadi Seragam
Salah satu kekeliruan paling merosakkan dalam wacana Melayu ialah anggapan bahawa perpaduan hanya boleh wujud melalui keseragaman. Seolah-olah untuk bersatu, orang Melayu mesti, satu parti, satu pemimpin dan satu ideologi.
Ini bukan sahaja tidak realistik, malah bertentangan dengan prinsip kematangan politik. Bangsa yang matang tidak takut kepada perbezaan. Bangsa yang rapuh sahaja memerlukan keseragaman palsu untuk kelihatan kuat.
Hakikatnya, orang Melayu tidak perlu disatukan secara paksa. Mereka tidak perlu berfikir sama dalam semua perkara, dan mereka tidak perlu tunduk kepada satu tafsiran politik. Perbezaan itu fitrah, malah perlu untuk memastikan idea diuji dan kepimpinan sentiasa dipertanggungjawabkan.
Namun dalam kebebasan berbeza itu, orang Melayu mesti berkongsi asas yang sama.
Orang Melayu mesti, satu naratif tentang sejarah dan kedudukan mereka dalam negara, satu garis merah tentang perkara yang tidak boleh dipertikaikan atau dikompromi dan satu kefahaman kolektif tentang apa yang mesti dipertahankan, tidak kira siapa memerintah.
Tanpa asas ini, perbezaan akan berubah menjadi perpecahan. Dengan asas ini, perbezaan akan menjadi kekuatan.
Majlis Perundingan Melayu telah menyediakan kerangka besar penyatuan ini, bukan melalui slogan, bukan melalui tekanan politik, tetapi melalui pemikiran yang berpaksikan, Perlembagaan sebagai kontrak peradaban, Raja-Raja Melayu sebagai payung kedaulatan, Islam sebagai teras nilai dan etika, Bahasa Melayu sebagai jiwa negara dan Tanah sebagai simbol dan realiti kedaulatan.
Inilah kerangka yang membolehkan orang Melayu, bertukar kerajaan tanpa menggoncang asas negara, mengkritik pemimpin tanpa membenci bangsa sendiri dan bersaing dalam politik tanpa meruntuhkan peradaban. Bersatu tanpa menjadi seragam bukan kelemahan. Ia adalah tanda kedewasaan bangsa.
Masa Depan Melayu Ditentukan Hari Ini
Tiada bangsa yang runtuh secara tiba-tiba. Keruntuhan berlaku perlahan-lahan, melalui kelalaian, keletihan dan kehilangan arah. Setiap generasi diberi peluang yang sama, sama ada untuk memperkukuh asas yang diwarisi, atau menghakisnya sedikit demi sedikit.
Generasi Melayu hari ini sedang diuji dengan soalan-soalan dasar,
Adakah kita akan mewariskan kuasa atau konflik? Kuasa tanpa naratif hanya melahirkan perebutan. Konflik diwarisi apabila kita gagal menyelesaikan pertikaian asas dengan hikmah dan kefahaman.
Adakah kita akan meninggalkan institusi atau sekadar retorik? Retorik hilang bersama masa. Institusi kekal melindungi generasi. Bangsa yang berfikir jauh akan membina dan memperkukuh institusi, bukan sekadar memenangi perdebatan.
Adakah kita sedang membina bangsa atau hanya memenangi pilihan raya? Pilihan raya datang dan pergi. Bangsa yang hidup memerlukan lebih daripada kemenangan sementara, ia memerlukan arah, nilai dan kesinambungan.
Perpaduan Melayu yang sebenar tidak boleh diukur melalui, jumlah bendera yang berkibar, kekuatan sorakan di pentas politik atau sejauh mana sesuatu isu menjadi viral di media sosial. Semua itu bersifat sementara, emosional dan mudah dimanipulasi.
Perpaduan sebenar diukur melalui satu perkara yang jauh lebih sukar, tetapi jauh lebih bermakna, keupayaan orang Melayu untuk berbeza parti, namun tetap berdiri di bawah payung naratif yang sama.
Apabila orang Melayu mampu berbuat demikian, kuasa politik tidak lagi memperdaya mereka, perbezaan tidak lagi memecahkan mereka dan masa depan tidak lagi ditentukan oleh emosi semasa. Sebaliknya, mereka menjadi bangsa yang memilih dengan sedar, menilai dengan matang dan mempertahankan dengan yakin.
Amanat kepada Bangsa
MPM tidak mengajak orang Melayu menyokong mana-mana parti. Ia juga tidak menyeru kepada penyatuan politik secara paksa. Ia mengajak kepada sesuatu yang lebih sukar tetapi lebih penting, penyatuan kefahaman.
Selagi orang Melayu melihat diri mereka sebagai pelanggan politik, mereka akan terus dipujuk, ditenangkan dan diperalatkan. Apabila orang Melayu bangkit sebagai bangsa yang sedar, politik akan terpaksa menghormati mereka.
Bangsa yang sedar tidak mudah diperalat.
Bangsa yang sedar tidak takut berbeza.
Bangsa yang sedar tahu apa yang tidak boleh dikompromi.
Dan di situlah letaknya harapan sebenar Melayu, bukan pada siapa yang memerintah hari ini, tetapi pada apa yang kita pertahankan bersama untuk hari esok.
Akhir Kata
Menang Politik Itu Sementara, Hidup Bangsa Itu Segalanya
Sejarah telah berulang kali mengajar kita satu kebenaran yang pahit tetapi benar, bangsa tidak runtuh kerana kalah pilihan raya, tetapi kerana hilang arah dan naratif. Pilihan raya hanyalah episod. Bangsa ialah perjalanan panjang merentasi generasi.
Jika orang Melayu terus bertelagah tanpa naratif bersama, kita akan kalah walaupun menang pilihan raya. Kita mungkin membentuk kerajaan. Kita mungkin menguasai Parlimen. Kita mungkin memegang jawatan dan kuasa eksekutif. Namun tanpa naratif yang dikongsi, kuasa akan digunakan untuk saling menjatuhkan, institusi akan dilemahkan atas nama kepentingan sempit dan generasi akan mewarisi konflik, bukan keteguhan.
Kemenangan seperti ini tidak membina bangsa. Ia hanya menangguhkan keruntuhan. Sebaliknya, jika orang Melayu bersatu dalam naratif, kita boleh kalah pilihan raya, tetapi bangsa tetap hidup, berdaulat dan bermaruah.
Bangsa yang berkongsi naratif, tidak panik apabila kehilangan kuasa sementara, tidak bertelagah sehingga meruntuhkan asas bersama, tidak menggadaikan prinsip demi kemenangan jangka pendek.
Mereka tahu bahawa kerajaan boleh berubah, tetapi asas peradaban mesti kekal. Inilah bezanya antara bangsa yang hidup dengan bangsa yang sekadar bertahan. Majlis Perundingan Melayu memahami hakikat ini. Sebab itu mesej terasnya bukan tentang merebut kuasa, bukan tentang menamakan calon, dan bukan tentang menentukan siapa harus memerintah.
MPM tidak muncul sebagai parti.
MPM tidak menuntut kesetiaan politik.
MPM tidak menawarkan kemenangan pilihan raya.
Sebaliknya, MPM menawarkan sesuatu yang jauh lebih sukar, kesedaran!
Kesedaran bahawa, perlembagaan bukan sekadar teks, tetapi amanah sejarah, Raja-Raja bukan simbol kosong tetapi payung kedaulatan, Islam bukan alat politik, tetapi teras nilai dan Bahasa dan Tanah bukan nostalgia, tetapi asas maruah.
MPM tidak meminta orang Melayu bersatu di bawah satu bendera politik. MPM menyeru orang Melayu berdiri di bawah satu kefahaman. Kerana hanya bangsa yang sedar, tidak mudah diperalat oleh kuasa, tidak mudah dipecahkan oleh perbezaan, tidak mudah hilang arah dalam dunia yang berubah.
Maka disini akhirnya bukan soal siapa menang atau kalah hari ini. Ia soal siapa yang masih berdiri esok dan lusa. Jika kita mahu anak cucu kita mewarisi sebuah negara yang berdaulat, kita mesti berhenti mewariskan permusuhan tanpa naratif.
Dan jika ada satu amanat yang harus dibawa pulang daripada seluruh permikiran ini, ia adalah, bangsa yang sedar mungkin kalah dalam politik, tetapi bangsa yang hilang naratif akan kalah dalam sejarah. Di situlah berdirinya Majlis Perundingan Melayu, bukan sebagai pemerintah, tetapi berusaha memberi kesedaran bangsa.

More Stories
Tahun 2026, Tahun Baru, Dentuman Baru Politik Tanahair
Dr Akmal Saleh, Jangan Undur Diri, Kepimpinanmu Amat Diperlukan
Strategi Negara: Mengawal Kos Sara Hidup Tanpa Melahirkan Kartel