Orang Melayu sekiranya ingin terus berkuasa di negeri sendiri perlu membina kekuatan dalam bidang sejarah dan undang-undang. Kedua-dua bidang ini bukan sekadar ilmu akademik, tetapi merupakan asas jati diri dan benteng mempertahankan kedaulatan bangsa. Sejarah memberi kefahaman tentang asal-usul, perjuangan, dan pengorbanan nenek moyang, manakala undang-undang memastikan hak, suara, dan kedudukan bangsa tidak mudah digugat oleh sesiapa.

Sejak kecil, anak-anak Melayu wajar didedahkan dengan sejarah kampung sendiri. Perbincangan dengan orang tua, kajian terhadap cerita 50 tahun dahulu, dan penghayatan terhadap kisah masyarakat setempat akan menanam rasa kepunyaan serta cinta kepada tanah air. Jika pada usia 10 tahun sudah mengenali kisah kampung, negeri, dan negara, maka pengetahuan sejarah akan menjadi kukuh. Dari situ lahirlah jati diri yang kuat, yang mampu menangkis penjajahan minda dan pengaruh luar. Sejarah bukan sekadar tarikh dan peristiwa, tetapi cermin identiti bangsa.
Selain itu, undang-undang perlu difahami sebagai alat mempertahankan kedaulatan negara. Hak bersuara, hak atas budaya dan bahasa, serta hak ke atas ruang dan peluang bangsa mesti dijaga dengan teliti. Tanpa kefahaman undang-undang, bangsa mudah dipinggirkan. Undang-undang bukan hanya untuk peguam atau hakim, tetapi untuk setiap rakyat yang ingin memastikan hak mereka tidak dicabuli. Kuasa politik dan pentadbiran hanya dapat bertahan jika disokong oleh kefahaman undang-undang yang kukuh.

Cerita sejarah tempatan seperti penemuan Patung Buddha di Bukit Choras yang dikatakan lebih tua daripada Angkor Wat (abad ke-12) dan Borobudur (abad ke-9), pengaruh India di Lembah Bujang, Merbuk (abad ke-5), atau kisah Raja Bersiong dalam sejarah Kedah adalah warisan yang boleh dikaji bersama pakar tempatan. Begitu juga dengan sejarah kesultanan di negeri-negeri Tanah Melayu yang masih banyak bergantung kepada pakar luar.
Malangnya, banyak kisah ini tidak didedahkan secara meluas sejak dahulu. Penjajahan minda dan kemiskinan menyebabkan ramai orang Melayu tidak sempat menyelami sejarah sebenar negara. Akibatnya, strategi membina kekuatan bangsa menjadi lemah walaupun sistem pendidikan telah disediakan dengan sekolah, guru, biasiswa, dan pendidikan percuma sehingga ke peringkat menengah.
Namun, pemikiran yang dijajah oleh kemiskinan terus membelenggu. Tiada kesungguhan dalam usaha pendidikan dan kerjaya profesional. Dalam bidang perniagaan pula, orang Melayu masih jauh ketinggalan. Sumber semula jadi negara, asas pertanian, dan bekalan makanan utama tidak dikuasai sepenuhnya. Peluang yang ada tidak digunakan dengan sepenuhnya, menyebabkan ekonomi bangsa terus tertekan. Kelestarian hidup juga tergugat apabila ekonomi tidak stabil.
Masa depan mungkin ditentukan oleh politik yang mengawal pentadbiran dan kuasa negara. Dalam era pasca normal, cabaran semakin besar. Persoalannya, mampukah orang Melayu terus mempertahankan kuasa di tanah sendiri? Jawapannya bergantung kepada sejauh mana pendidikan dan ekonomi dapat dikuasai tanpa menjejaskan budaya dan agama. Pembangunan bangsa tidak boleh lagi bergerak secara selari, tetapi mesti bersepadu. Pemikiran Melayu perlu dibebaskan daripada penjajahan minda agar mampu berdiri teguh.
Kesimpulannya, sejarah dan undang-undang adalah dua tiang utama yang mesti diperkukuh. Sejarah membina jati diri, undang-undang mempertahankan hak. Jika kedua-duanya dikuasai sejak kecil, orang Melayu akan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan. Kuasa di tanah sendiri bukan sekadar warisan, tetapi amanah yang mesti dijaga dengan ilmu, kesungguhan, dan perpaduan.
Ahmad Ismail FASc.

More Stories
Media Tempatan dan Naratif Memburukkan Entiti Bumiputera: Satu Renungan Terhadap Arah Pemikiran Bangsa
Air Yang Mereka Tinggalkan
DBP: Benteng Buku, Bahasa dan Bangsa di Era Digital