Januari 10, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Dominasi Melayu-Islam di Universiti: Tonggak Kemajuan Berteraskan Nilai Budaya dan Agama

Universiti awam di Malaysia hari ini didominasi oleh pensyarah dan pelajar Melayu-Islam. Hakikat ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan peluang besar untuk membina model pendidikan tinggi yang berakar pada nilai budaya Melayu dan ajaran Islam. Budaya Melayu yang terkenal dengan sifat bertolak ansur, bersimpati, dan bekerjasama telah lama menjadi asas kepada keharmonian masyarakat. Apabila digabungkan dengan prinsip Islam yang menekankan keadilan, kecemerlangan, dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi, ia melahirkan ekosistem pendidikan yang mampu membawa masyarakat menuju matlamat bersama.

Sejarah kepimpinan orang Melayu jelas menunjukkan kemampuan mereka menyatukan masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan. Dari zaman kesultanan hingga era moden, kepimpinan Melayu berteraskan musyawarah dan kebijaksanaan telah berjaya menyelesaikan pelbagai masalah bersama. Nilai ini, apabila diterapkan dalam universiti, menjadikan institusi pendidikan bukan sahaja pusat ilmu, tetapi juga pusat penyelesaian masalah masyarakat. Universiti sepatutnya menjadi medan di mana budaya Melayu-Islam diperkukuh sebagai pelengkap dalam mewujudkan kesejahteraan hidup manusia yang aman damai.

Islam mengajar manusia kepada kecemerlangan. Al-Quran sendiri menjadi panduan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan seperti sosial, ekonomi, pembangunan, sains dan teknologi, serta kelestarian alam sekitar. Universiti yang majoritinya Melayu-Islam perlu menjadikan Al-Quran sebagai rujukan utama dalam penyelidikan, pendidikan, dan perkongsian ilmu dengan masyarakat. Setiap kajian yang dijalankan, sama ada dalam bidang ekonomi, teknologi hijau, atau kesejahteraan sosial, boleh dipandu oleh prinsip yang telah digariskan dalam wahyu. Dengan itu, universiti bukan sekadar menghasilkan graduan berilmu, tetapi juga insan yang berakhlak dan bertanggungjawab terhadap keseimbangan ekosistem semula jadi.

Manusia sebagai khalifah di bumi ini mesti memahami bahawa kestabilan ekosistem semula jadi telah wujud sebelum kehadiran manusia. Bukit bukau, gunung ganang, sungai, paya, pantai, dan lautan semuanya mempunyai makna dalam keseimbangan dunia. Ia bukan sekadar sumber ekonomi, tetapi juga asas kelestarian planet. Kegagalan manusia menjaga bumi dengan berhemah, seperti yang dipandu Al-Quran, akhirnya akan memberi kesan buruk kepada manusia sendiri. Justeru, universiti Melayu-Islam perlu melahirkan penyelidikan yang menekankan kelestarian alam dan kesejahteraan hidup, bukan sekadar mengejar keuntungan material.

Sejarah tamadun Islam membuktikan bahawa dunia Islam pernah menjadi pusat kecemerlangan sains, sosial, dan ekonomi. Baghdad, Mesir, dan Maghribi melahirkan tokoh-tokoh besar yang menjadi inspirasi kepada pembangunan Eropah. Universiti di Malaysia sepatutnya mengambil semangat ini untuk melangkah jauh ke hadapan. Dengan dominasi Melayu-Islam, universiti berpotensi menjadi pusat rujukan global, menggabungkan tradisi ilmu Islam dengan cabaran moden. Malaysia boleh membina model pendidikan tinggi tersendiri yang berakar pada budaya Melayu dan Islam, tetapi tetap berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Kesimpulannya, dominasi Melayu-Islam dalam universiti bukanlah sekadar angka, tetapi peluang strategik untuk membina ekosistem pendidikan tinggi yang maju, seimbang, dan berteraskan nilai budaya serta agama. Dengan menjadikan Al-Quran sebagai panduan, universiti mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, tetapi juga berakhlak, bertanggungjawab, dan mampu menjaga kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam. Inilah jalan ke arah universiti Melayu-Islam yang benar-benar maju dan relevan dalam dunia pasca normal yang penuh cabaran. Konferens Saintis Islam Serantau yang diadakan baru-baru ini bukanlah satu permulaan tetapi membangkitkan semula kecemerlangan ilmuan Islam sedunia.

 

Ahmad Ismail Presiden, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).