Seperti diberitakan dalam media, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman akan memfailkan kes di mahkamah bagi memperjelas isu kedaulatan dan hubungan Kedah dengan Pulau Pinang daripada segi perundangan termasuklah semakan semula bayaran pampasan oleh Pulau Pinang kepada Kerajaan Kedah sebanyak 10,000 dolar Sepanyol setahun selama ini sejak 1786. Kira-kira 200 tahun pampasan telah dibayar. Kedah juga telah menuntut pampasan sebanyak RM100 juta setahun mulai tahun 2021 kerana sehingga kini belum pernah perjanjian yang telah berusia lebih 200 tahun itu disemak semula. Lebih 20,000 dokumen telah diteliti oleh jawatankuasa yang dilantik kerajaan negeri termasuk para pengkaji dan pakar perundangan dan telahpun dibentang kepada exco kerajaan negeri Kedah. Sejarah tetap sejarah dan berlalu sebagai bukti tetapi pampasan “ganti rugi” wajib dibayar setimpal dengan keadaan ekonomi semasa. Amat tidak munasabah bayaran sebanyak itu dikekalkan sehingga lebih 200 tahun kemudian. Sewa rumah, harga rumah, tanah, dusun pun saban tahun mengalami kenaikan. Inikan pula seluas-luas sebuah negeri. Perjanjian bekalan air negara ini kepada negara jiran juga turut dikaji semula bagi bayaran yang lebih munasabah dan “masuk akal”.

Belanja sekolah sepuluh sen sehari untuk anak-anak pada tahun 1960-an pun tidak munasabah dikekalkan bagi anak era kini. Belanja sebanyak itu dahulu boleh membeli sebungkus nasi lemak tapi kini nasi lemak pun paling murah di kantin sekolah seringgit sebungkus kecil. Sepuluh kali ganda. Itu baharu 50 tahun. Sewajarnya semakan semula dilakukan demi keadilan kepada kerajaan negeri Kedah atas “pajakan” Pulau Pinang tersebut.
Walau bagaimanapun seperti dijangka terdapat bantahan daripada beberapa pemimpin DAP kerajaan Pulau Pinang dan lain-lain. Malah semacam terlihat ada pemesongan isu.
Kerajaan negeri akan memfailkan kes untuk semakan pampasan tersebut dengan restu di samping menjunjung titah perintah Tuanku Sultan Kedah. Nampaknya pemimpin DAP, ahli parlimen Seputih, Teresa Kok membantah tindakan kerajaan negeri Kedah seolah-olah tidak sedar atau pura-pura tidak sedar itu adalah susulan titah Baginda Sultan. Menyanggah titah Tuanku Sultan Kedah adalah menderhaka namanya dan boleh dihukum. Pemimpin DAP berkenaan digesa segera menghadap Baginda Sultan dan memohon keampunan daripada Baginda atas kebiadapan sikap mereka. Ini bukan isu politik. Ini isu perjanjian yang sah di sisi perundangan dan biarlah mahkamah memutuskannya. Malah jelas terlihat isu sebenar cuba dipesongkan kerana kes dibawa ke mahkamah untuk meneliti isu dan menyemak jumlah pampasan tetapi seperti laporan media, ditimbulkan isu lain seolah-olah tujuan utama untuk mengembalikan Pulau Pinang kepada Kerajaan Kedah.
Apatah lagi, isunya pula bertambah melalut dan melarat sehingga Teresa mencadangkan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil Langkawi untuk dijadikan sebuah lagi wilayah milik Persekutuan sedangkan Langkawi adalah salah satu jajahan milik pemerintahan Baginda Sultan Kedah dan bukannya milik ahli parlimen berkenaan. Sikap seperti samseng, kurang ajar dan tidak menghormati kedaulatan Baginda Sultan Kedah, jelas tidak menghormati raja-raja seperti dalam Rukun Negara kedua, kesetiaan kepada Raja dan negara?. Sim Tze Tsin, ahli Parlimen DAP Bayan Baru turut terseret menyokong RSN Rayer, ahli parlimen Jelutong dalam isu kononnya Kedah mahu merampas Pulau Pinang?.
Bukankah jelas apabila pampasan atas pajakan dibayar kepada kerajaan Kedah setiap tahun hingga kini sejak 1786 membuktikan bahawa wujudnya hubungan yang sangat “istimewa” tentang status Pulau Pinang bagi negeri Kedah. Ini berbeza dengan mana-mana negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu yang tidak memberi apa-apa bayaran atau pampasan kepada mana-mana negeri lain sejak dahulu sehingga kini. Sewajarnya sebagai wakil rakyat dan ahli Parlimen wajib menghormati undang-undang.
Justeru sepatutnya mereka meletak jawatan atau tindakan tegas dan amaran keras atau memecat mereka diambil segera oleh Perdana Menteri sendiri kerana sanggahan mereka yang telah mencemar kedaulatan Baginda Sultan Kedah serta rakyatnya. Sebagai anak asal negeri Kedah Darulaman patik menyokong penuh titah Tuanku untuk mendapat penyelesaian yang adil di mahkamah atas isu dan perjuangan yang telah lama berlangsung dan tidak selesai-selesai ini. Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Kamal Shukri Abdullah Sani,
Pengerusi Biro,
Majlis Perundingan Melayu.

More Stories
Tahun 2026, Tahun Baru, Dentuman Baru Politik Tanahair
Dr Akmal Saleh, Jangan Undur Diri, Kepimpinanmu Amat Diperlukan
Strategi Negara: Mengawal Kos Sara Hidup Tanpa Melahirkan Kartel