Negara ini pernah dibina atas keringat dan air mata bangsa yang percaya bahawa bahasa adalah jiwa bangsa. Ia bukan sekadar alat berkomunikasi, tetapi akar yang menegakkan pohon peradaban. Namun kini, di tengah-tengah slogan “Malaysia Madani” dan segala retorik tentang perpaduan, lahirlah generasi pemimpin yang nampaknya tidak lagi mengerti bahasa bangsanya sendiri.
Terbaru, negara digemparkan dengan kelakuan seorang menteri yang gagal menahan amarah hanya kerana wartawan menyoal mengapa tema Tahun Melawat Malaysia 2026 menggunakan bahasa Inggeris, bukan bahasa kebangsaan. Soalan mudah, tapi jawapan yang keluar bagai terlucut budi. Menteri itu bukan menjawab, sebaliknya menempelak dan mengugut kononnya akan “menghubungi Ketua Pengarang” wartawan berkenaan. Reaksi spontan itu membongkar sesuatu yang lebih dalam daripada sekadar isu bahasa ia memperlihatkan penyakit lama: bongkak, buta sejarah, dan kehilangan jati diri.

Bahasa Melayu Disisih di Tanah Sendiri
Persoalan paling menyakitkan hati rakyat bukanlah semata-mata tentang slogan dalam bahasa Inggeris. Tetapi mengapa perlu berang apabila ditanya tentang bahasa negara sendiri? Apakah seorang menteri tidak tahu bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan? Atau lebih buruk, tahu tetapi sengaja tidak peduli?
Pekeliling Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 29 Oktober 2025 dengan jelas mengarahkan semua urusan rasmi kerajaan menggunakan bahasa Melayu. Malah, pekeliling seperti ini sudah berkali-kali diedar kepada semua kementerian. Jadi persoalannya sejak bila KPKT mendapat “lesen khas” untuk melanggar dasar bahasa kebangsaan?
Apakah kerana mahu menunjukkan diri sebagai global dan moden maka bahasa Melayu perlu disorok di bawah meja sidang media? Jika benar mahu kelihatan antarabangsa, mengapa Jepun, Korea, Jerman, dan Perancis masih berani mengangkat bahasa mereka di pentas dunia? Mengapa mereka tidak malu dengan bahasa sendiri sedangkan bahasa mereka jauh lebih sukar difahami oleh pelancong asing berbanding bahasa Melayu yang lembut dan mudah dipelajari?
Di Jepun, ketika pelancaran Visit Japan Year atau acara rasmi kerajaan, semua poster, slogan, dan ucapan tetap dalam bahasa Jepun. Paling-paling mereka menyediakan terjemahan kecil dalam bahasa Inggeris. Di Malaysia pula, pemimpin lebih bangga menyebut slogan yang tidak difahami rakyat sendiri asalkan kedengaran “international”.
Itulah masalahnya bila lidah sudah mula malu menyebut “Selamat Datang ke Malaysia”, tetapi megah melaung “Welcome to Malaysia”.
Sindrom Menteri Bongkak
Masalah kita bukan sekadar pada bahasa tetapi pada jiwa. Apabila seorang menteri tidak mampu menjawab dengan hujah tetapi memilih untuk mengugut wartawan, itu bukan kelemahan minda semata-mata, itu penyakit jiwa yang bernama bongkak kuasa.
Sikap ini sama seperti pelajar yang membuli di sekolah bezanya, yang satu memakai baju seragam, yang satu memakai kot menteri.
Menteri sepatutnya menjadi cermin disiplin dan kebijaksanaan. Namun apabila seorang menteri gagal menahan marah bila dipersoal hal asas seperti bahasa negara, ia menunjukkan dia tidak memahami makna sebenar jawatan. Kerusi menteri bukan tempat menayang ego, ia amanah rakyat untuk mempertahankan identiti negara.
Dan paling ironinya, dalam masa yang sama kerajaan sendiri sedang mengeluh tentang gejala sosial pelajar kurang ajar, budaya buli meningkat, disiplin merosot. Tetapi bagaimana disiplin mahu dipulihkan jika pemimpin sendiri menunjukkan contoh kebiadaban? Anak melihat, rakyat meniru.
Menteri yang takut menjawab soalan, tetapi berani mengugut wartawan, tidak jauh beza daripada pelajar sekolah yang menumbuk rakan kerana ditegur. Bezanya cuma pangkat bukan akhlak.
Bahasa dan Maruah Bangsa
Bahasa bukan sekadar bunyi atau susunan huruf. Ia adalah identiti, maruah dan sempadan antara bangsa berdaulat dengan bangsa jajahan. Negara seperti Jepun, Korea, dan Perancis tidak membiarkan bahasa asing menenggelamkan bahasa ibunda walaupun untuk tujuan pelancongan antarabangsa.
Di Perancis, setiap papan tanda, iklan, dan kempen kerajaan mesti menggunakan bahasa Perancis. Jika perlu bahasa Inggeris, ia ditulis lebih kecil dan hanya sebagai bantuan terjemahan. Mengapa? Kerana mereka percaya bahawa bahasa adalah cermin maruah bangsa.
Jika bangsa lain boleh bangga dengan bahasanya, mengapa pemimpin kita malu dengan bahasa sendiri?
Kita sering melaungkan bahawa Malaysia mempunyai identiti tersendiri. Namun setiap kali ada acara besar, identiti itu entah ke mana. Dari tema sambutan hingga ke ucapan rasmi, semuanya ingin kedengaran seperti London atau New York. Ironinya, pelancong datang ke Malaysia bukan untuk mendengar bahasa Inggeris mereka datang untuk melihat keunikan, mendengar bahasa kita, merasai budaya kita. Bahasa Melayu sendiri sepatutnya menjadi produk pelancongan, bukan halangan.
Bahasa Sebagai Cerminan Pemikiran
Bahasa menggambarkan cara kita berfikir. Bila pemimpin lebih bangga menggunakan bahasa asing, ia menunjukkan bahawa fikirannya masih terjajah. Inilah yang dikatakan oleh almarhum Tun Dr. Ismail “kita telah merdeka secara politik, tetapi belum merdeka dalam jiwa.”
Pemimpin yang benar-benar merdeka akan berani bercakap dalam bahasa bangsanya sendiri, walaupun di hadapan khalayak antarabangsa.
Apabila seorang menteri lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris, bukan kerana keperluan tetapi kerana gengsi, itu tanda bahawa mindanya masih tunduk kepada nilai penjajah. Ini bukan soal bahasa Inggeris itu buruk tetapi soal tempatnya. Bahasa Inggeris ada tempatnya, tetapi jangan sampai bahasa Melayu menjadi hamba di tanah air sendiri.
Bayangkan, kalau slogan Tahun Melawat Malaysia 2026 boleh diubah menjadi Tahun Jelajah Malaysia 2026, adakah pelancong akan berhenti datang? Tidak. Mereka tetap akan datang malah mungkin lebih teruja untuk belajar maksudnya. Bahasa ialah pintu pertama kepada budaya. Bila kita menolak bahasa sendiri, kita sedang menutup pintu budaya bangsa.
Pemimpin yang Hilang Arah
Malangnya, di Malaysia, ramai pemimpin yang berasa malu untuk bercakap dalam bahasa Melayu apabila berada di hadapan kamera antarabangsa. Mereka khuatir dikatakan kolot, tidak berkelas, atau tidak “global”.
Inilah akibat daripada pemikiran inferior penyakit lama bangsa jajahan yang masih tidak sembuh walaupun sudah 67 tahun merdeka.
Ada menteri yang fasih berbahasa Inggeris, tetapi gagap bila diminta berucap dalam bahasa Melayu. Ada pula yang bangga menjadi “English-educated politician” kononnya lebih bijak dan berpandangan luas. Tetapi bijak apakah jika tidak tahu menghormati bahasa sendiri?
Yang lebih memalukan, apabila mereka berucap dalam bahasa Inggeris pun, nahunya lintang-pukang, tatabahasanya tunggang-langgang namun mereka tetap rasa megah kerana kononnya nampak moden. Itulah wajah sebenar pemimpin yang tidak kenal akar. Bukan kerana tidak pandai bahasa Inggeris, tetapi kerana tidak pandai menghormati bahasa sendiri.
Kementerian Tidak Boleh Jadi Pusat Eksperimen Bahasa Asing
Setiap kementerian membawa nama dan lambang negara. Maka, apa sahaja yang keluar dari mulut seorang menteri bukan lagi sekadar pandangan peribadi, tetapi imej Malaysia di mata dunia. Bila menteri sendiri tidak menggunakan bahasa Melayu dalam acara rasmi, ia bukan sekadar soal pilihan ia satu pelanggaran terhadap semangat perlembagaan.
Bayangkan jika semua kementerian mula meniru langkah yang sama. Kementerian Pelancongan guna Inggeris, Kementerian Pendidikan guna Mandarin, Kementerian Luar guna Perancis maka hilanglah wajah Malaysia sebagai negara berdaulat.
Bahasa kebangsaan bukan sekadar untuk urusan rasmi di atas kertas, tetapi mesti menjadi bahasa hidup yang mewarnai semua lapisan dari iklan kementerian, brosur pelancongan, hingga ke papan tanda dan slogan negara.
Menteri yang benar-benar patriotik tidak akan melihat bahasa Melayu sebagai beban, tetapi sebagai kekuatan.
Pemimpin Sebagai Cermin Bangsa
Menteri adalah wajah negara. Bila dia bercakap, rakyat mendengar, dunia memerhati.
Tetapi bila seorang menteri menunjukkan sikap biadab terhadap wartawan yang sekadar bertanya tentang bahasa, ia memberi mesej jelas bahawa kerajaan sendiri tidak menghormati dasar bahasa negara.
Lebih malang apabila selepas insiden itu, tiada permohonan maaf yang tulus dibuat sebaliknya kenyataan kononnya “bahasa Melayu tetap dihormati.”
Masalahnya, hormat itu tidak boleh sekadar di lidah. Lidah tidak bertulang, boleh berputar ikut angin politik. Hormat mesti dibuktikan dengan tindakan dalam ucapan rasmi, dalam majlis kerajaan, dalam setiap paparan media.
Kalau betul hormat, gunakanlah bahasa Melayu dengan bangga. Kalau tidak mampu, janganlah berlagak pandai mempertahankan kesalahan dengan nada ugutan.
Bahasa, Kuasa, dan Pengkhianatan Budaya
Bahasa bukan sekadar simbol ia juga alat kuasa. Penjajah dahulu tidak menakluk tanah semata-mata, tetapi mereka menakluk minda dengan menggantikan bahasa.
Apabila bahasa penjajah menjadi bahasa kemajuan, maka bangsa yang dijajah akan merasa rendah diri terhadap bahasanya sendiri.
Inilah yang sedang berlaku di Malaysia. Kita sedang menyaksikan pengkhianatan budaya oleh segelintir elit politik yang lebih setia kepada persepsi barat daripada kepada jiwa rakyat. Mereka percaya bahawa dunia hanya akan menghormati Malaysia jika kita bercakap dalam bahasa Inggeris. Mereka lupa bahawa dunia menghormati Jepun bukan kerana Jepun meniru Barat, tetapi kerana Jepun berpegang teguh kepada bahasanya sendiri.
Bahasa Melayu Sebagai Produk Pelancongan
Ironinya, dalam konteks pelancongan antarabangsa, bahasa Melayu sepatutnya menjadi daya tarikan tersendiri. Pelancong datang ke Malaysia bukan untuk mendengar bahasa yang mereka sudah dengar di London atau New York mereka datang untuk mengalami sesuatu yang berbeza.
Sebutlah “Selamat Datang ke Malaysia” dengan penuh keindahan itu lebih berharga daripada seribu slogan Inggeris.
Mengapa kita tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada pakej pelancongan? Dalam ucapan rasmi, dalam brosur, dalam video promosi biarlah bahasa Melayu menjadi identiti yang dikenali dunia. Setiap perkataan Melayu yang didengari pelancong adalah satu bentuk promosi budaya.
Jika Jepun boleh memasarkan perkataan “arigato”, Korea boleh memasarkan “annyeong haseyo”, mengapa kita tidak boleh menjadikan “terima kasih” dan “selamat datang” sebagai jenama budaya Malaysia?
Bahasa dan Akhlak Pemimpin
Sikap seorang menteri dalam menghadapi teguran juga mencerminkan akhlaknya. Bila seorang pemimpin mudah melenting hanya kerana ditegur, itu tanda dia tidak pernah diasuh untuk menerima nasihat. Sedangkan Nabi SAW sendiri apabila ditegur, baginda mendengar dengan tenang dan menjawab dengan hikmah.
Seorang pemimpin yang matang akan menjadikan soalan sebagai ruang menjelaskan dasar, bukan peluang menunjukkan kuasa. Tetapi bila seorang menteri mengugut wartawan, itu bukan kekuatan itu ketakutan.
Ketakutan bahawa rakyat akan nampak kejahilan dirinya sendiri.
Bahasa Sebagai Amanah, Bukan Pilihan
Bahasa Melayu bukan hak eksklusif orang Melayu, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia. Maka setiap menteri, tanpa mengira kaum dan latar, wajib menghormatinya. Bila seorang menteri bukan Melayu meminggirkan bahasa kebangsaan, ia bukan sahaja mencabar dasar negara tetapi menanam benih perpecahan.
Bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi jambatan penyatuan. Tetapi apabila pemimpin sendiri meremehkannya, ia menjadi simbol jurang yang semakin melebar antara rakyat dan pemerintah.
Seruan Kepada Pemimpin: Hormatilah Bahasa Negara
Wahai para pemimpin ingatlah, rakyat tidak marah kerana slogan dalam bahasa Inggeris. Rakyat marah kerana pemimpin yang bongkak bila ditegur.
Jika benar mahu dihormati sebagai menteri, tunjukkanlah akhlak seorang pemimpin, bukan lagak seorang penindas.
Janganlah kerana mahu kelihatan “antarabangsa”, kita menggadai harga diri negara.
Bahasa Melayu telah membina tamadun, menyatukan bangsa, dan menjadi nadi perjuangan kemerdekaan. Ia bukan sekadar bahasa, tetapi darah yang mengalir dalam sejarah bangsa. Jika pemimpin sendiri tidak mampu menghormati bahasa ini, bagaimana mahu mengharap rakyat menghormati negara?
Bahasa ialah maruah. Maruah yang hilang tidak akan berganti.
Maka sebelum kita sibuk berkempen menarik pelancong datang, lebih baik kita perbetulkan dahulu cermin di hadapan adakah kita masih nampak diri sebagai bangsa bermaruah, atau sekadar pelakon dalam naskhah kolonial yang diulang tayang dengan bahasa penjajah?
Oleh: Kamal Shukri Abdullah Sani
Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani
Majlis Perundangan Melayu

More Stories
Perjanjian Dagangan Timbal-Balik USA-Malaysia: Mengapa Bumiputera Dipinggir, DEB 1970 Diperleceh
Kedaulatan Malaysia Dicerobohi di Meja Rundingan
MAHB Aerotrain – Where Is The Technical Partner…