Pada 12 November 1971, Tun Abdul Razak Hussein melancarkan sebuah institusi penting yang dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), atau dalam istilah asalnya Urban Development Authority. Penubuhan UDA di bawah Akta Parlimen No.46 Tahun 1971 bukan sekadar langkah pentadbiran biasa, tetapi satu tindakan strategik bagi membentuk semula struktur masyarakat Malaysia yang sedang melangkah ke arah pemodenan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Tun Razak ketika itu menegaskan bahawa UDA adalah “anak kunci” kepada usaha menyusun semula masyarakat, khususnya dalam konteks bandar, agar peluang dalam bidang perdagangan, perusahaan, perumahan dan perkhidmatan dapat dinikmati secara adil dan seimbang antara kaum.

banyak $100 juta di Bilik Gerakan Negara, Kuala Lumpur, pada 12hb November, 1971.
1. Matlamat Asal UDA: Menyusun Semula Struktur Ekonomi Bandar
Dalam ucapannya, Tun Razak menegaskan tiga peranan utama UDA:
- Memajukan pembangunan semula bandar, termasuk penempatan semula dan perumahan awam dengan kemudahan moden.
- Membuka peluang perdagangan dan perusahaan untuk memastikan pembahagian ekonomi bandar yang seimbang antara kaum.
- Melaksanakan dasar penyusunan semula masyarakat melalui pembangunan bandar, sebagai salah satu strategi utama DEB.
Dengan kata lain, UDA ditubuhkan untuk mengangkat orang Melayu dan Bumiputera ke dalam arus ekonomi bandar yang ketika itu dikuasai oleh bukan Melayu. Tun Razak melihat bahawa tanpa agensi seperti UDA, masyarakat Melayu akan terus kekal di pinggir pembangunan, secara fizikal, ekonomi dan sosial.
2. UDA Sebagai Pelengkap kepada MARA, PERNAS, dan PKN
UDA diwujudkan bukan untuk bersaing dengan agensi lain, tetapi sebagai pelengkap kepada rangkaian institusi pembangunan Bumiputera seperti MARA, PERNAS, dan Perbadanan Kemajuan Negeri (PKN). Ia menjadi jambatan antara dasar kerajaan dan realiti ekonomi bandar, memastikan penyertaan Bumiputera bukan sahaja dalam perniagaan kecil, tetapi juga dalam pemilikan hartanah komersial strategik di tengah-tengah kota.
Tun Razak menegaskan bahawa Kuala Lumpur, dipilih sebagai kawasan pertama operasi UDA, satu simbol keazaman bahawa wajah ekonomi ibu kota perlu mencerminkan keseimbangan kepentingan semua kaum, bukan monopoli mana-mana pihak.
3. Bandar Sebagai Tapak Penyertaan Bumiputera
Sebelum 1971, bandar sering dianggap wilayah yang “asing” bagi orang Melayu, tempat tumpuan ekonomi dan perdagangan yang tidak dimiliki oleh mereka. UDA mengubah naratif itu. Ia diarahkan oleh kerajaan untuk membantu pedagang Melayu membeli rumah kedai, membangunkan tanah-tanah terbiar, serta membuka kawasan perindustrian baharu seperti Cheras dan Shah Alam agar peluang ekonomi bandar dapat dimanfaatkan oleh rakyat tempatan.
Tun Razak turut menegaskan bahawa segala pembangunan mesti dilaksanakan secara adil, tanpa merampas hak sesiapa, tetapi dengan kuasa kerajaan membetulkan ketidakseimbangan sejarah yang berpunca daripada warisan penjajahan.
4. Mengapa UDA Perlu Dikembalikan kepada Tujuan Asalnya
Lima dekad telah berlalu. Malaysia telah berubah – tetapi masalah ketidakseimbangan bandar masih kekal. Dalam banyak bandar utama, termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, pemilikan aset strategik Bumiputera semakin berkurangan. Pembangunan pesat tanpa kawalan sosial telah menolak komuniti asal keluar dari kawasan bandar, fenomena yang kini dikenali sebagai “urban displacement”.
Inilah sebabnya mengapa semangat UDA perlu dikembalikan seperti semangat asalnya pada 1971. Kita perlu sebuah Urban Redevelopment Authority (URA) versi Malaysia yang berfungsi sebagai:
- Penyelaras pembangunan bandar berasaskan keseimbangan sosial dan ekonomi;
- Pemangkin penyertaan Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan perindustrian;
- Pemelihara identiti budaya dan komuniti bandar Melayu yang semakin terhakis;
- Pemacu pembangunan semula bandar lama melalui REIT, wakaf, dan model ekonomi sosial.
Semangat UDA mesti di kembali menjadi “pembina bangsa di bandar”, bukan sekadar pemaju hartanah komersial.
5. Kembali Kepada Amanah Tun Razak
Dalam ucapannya, Tun Razak menutup dengan pesanan yang penuh makna:
“Matlamat kita adalah jelas dan nyata. Kita menghendaki sebahagian daripada orang Melayu dan Bumiputera menjadi masyarakat bandar yang moden… Perbadanan ini merupakan anak kunci untuk mencapai matlamat itu.”
Hari ini, amanah itu wajar dihidupkan kembali. Mengembalikan semangat asal UDA bukan nostalgia, tetapi keperluan strategik dalam mendepani cabaran pembangunan bandar masa depan, terutama dalam konteks pemilikan aset, keadilan sosial, dan kesinambungan identiti bangsa di ruang ekonomi moden.
Ke Mana Kita
Kita tidak memerlukan UDA baharu, kita memerlukan semangat UDA yang lama dalam semangat dan falsafah Tun Razak. Jika pada tahun 1971 UDA ditubuhkan untuk menyusun semula masyarakat melalui pembangunan bandar, maka pada tahun ini, lebih 50 tahun kemudian, ia harus menjadi agen keseimbangan sosial baharu di tengah arus kapitalisme bandar yang kian melebar jurangnya.
Membina semula bandar bukan sekadar soal bangunan, tetapi soal membina semula manusia dan maruah bangsa di bandar.
More Stories
There Is More To Curbing Tax Non-Compliance And Formalising Shadow Economy…
Antara Hakikat dan Fitnah: Menilai Jalan Habaib dan Tarikat Ba‘Alawi dalam Cahaya Tasawuf Imam Ghazali
Masaalah Disiplin Pelajar: Indikator Kepada Kehidupan Yang Semakin Toxic