Begitu banyak masaalah berkaitan disiplin pelajar sekolah dan penuntut IPT, bukanlah petanda yang setiap satunya terjadi sebagai kes-kes terpencil. Ia adalah satu sindrom kepada satu fenomena atau malapetaka nasional.
Apabila ia telah menjadi satu malapetaka nasional, tidaklah boleh kaedah atau pendekatan bagi selesaikannya dengan sekadar melakukan beberapa tindakan terpencil dan sepontan.

Jangan hendaknya kita menanganinya ibarat usaha memadam api yang sudah merebak besar dengan hanya menggunakan pemadam api kecil saja.
Malapetaka nasional ini bukan lagi permasaalahan yang hanya dipertanggung-jawabkan kepada Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pengajian Tinggi saja, untuk selesaikannya.
Kabimbangan kami di luar sini, seolah-olah malapetaka sebesar ini hanyalah sekadar bahan politik yang hangat. Begitu jadinya hanyalah kerana YB Menteri Pendidikan ini diawal tempohnya berada di Kementerian, menunjuk-nunjukkan sangat taringnya yang terlalu hebat sebagai street-fighter. Beliau lupa yang beliau kini sudah berada dalam Kerajaan dan mentadbir negara. Beliau lupa yang kerajaan terdulu kini adalah pembangkang, yang sifatnya lumrahnya kini berperanan sebagai pembangkang yang provocative serta mencari salah. Realitinya, YBM Pendidikan sedang ikuti ‘kelas pendidikan politik’.
Beliau sebenarnya mewarisi satu malapetaka nasional disebabkan alam kehidupan, dari institusi keluarga, kepada institusi masyarakat dan akhirnya ke institusi negara, yang telah menjadi begitu toxic. Malapetaka yang menimpa dari racun dan kuman yang amat toxic ini ialah keruntuhan sistem nilai, budaya, adab dan sahsiah serta keperibadian setiap insan, termasuk anak-anak yang masih mentah ibarat kain putih. Bukan salah beliau tercetusnya malapetaka itu, tapi salah pendekatannya yang tidak menjangkakan begitu banyak ujian yang datang mengujinya.
YB Menteri Pendidikan kini tiada pilihan, selain membuka ruang dan peluang kepada semua pihak, baik dalam kerajaan, mahupun dikalangan pembangkang, serta pelbagai kumpulan pemikir dan cerdik-pandai yang bernaung dalam pelbagai NGO, untuk sama-sama duduk semeja mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan jangka sederhana, serta merencana pelan jangka panjang, bukan sekadar menangani malapetaka ini, malah lebih penting, untuk mencorakkan satu naratif baru, membentuk institusi dan sistem nilai institusi keluarga, masyarakat dan negara, yang macam mana hendak kita tinggalkan untuk generasi cucu-cicit kita kelak.
Apa yang berlaku kini di sekolah-sekolah dan IPT adalah indikator atau manifestasi kepada kepincangan yang berlaku di dalam institusi keluarga, masyarakat dan akhirnya negara. Indikator ini wajib kita fahami untuk hasilkan remedi yang mampu tangani malapetaka sepertimana ditunjukkan oleh indikator itu. Barangkali punca sebenar yang dipaparkan oleh indikator itu hanya satu, misalnya, keupayaan keibubapaan di rumah. Atau, barangkali bermacam-macam dan teramat rumit untuk dirungkai.
Andaikata isu pokoknya hanyalah berkaitan keupayaan keibubapaan, pastinya YB Menteri Wanita, Keluarga dan Kebajikan sudah tercuit untuk bertindak segera.
Saya sependapat dengan pandangan Datuk Dr Asyraf Wajdy Dusuki yang merujuk malapetaka ini sebagai sesuatu yang segalanya bermula di rumah. Beliau seraya memetik kepada satu pepatah Arab menyatakan “mana mungkin lahirkan satu bayangan yang lurus elok jika datangnya dari kayu yang bengkok”. Tidak perlulah saya ulas pepatah ini kerana ianya sungguh terang lagi bersuluh.
Jika kita setuju dengan pandangan beliau, ayuh bersama kongsikan pandangan masing-masing untuk pertimbangan kerajaan. Terpulanglah kepada kerajaan, hatta KPM, samada memilih untuk mengabaikan, menerima atau menepisnya.
Saya ingin mulakan perbincangan dari sudut pembinaan senario semasa yang telah berlaku sekian lama, tanpa kita ambil peduli akan implikasinya.
Mereka yang sezaman atau lebih dahulu dari saya, tentu masih ingat, sekalipun memori itu sudah berusia lebih 50 tahun.
Di zaman itu, memasuki alam persekolahan ada adab (ritual) yang tersendiri. Saya masih ingat, sekalipun itu ialah sejarah yang berlaku pada Januari 1959, di Sekolah Kebangsaan Kg Parit Selangor, Pontian Johor. Arwah abah hantar saya ke sekolah dan bawa saya terus berjumpa Guru Besarnya, Cikgu Salim Ahmad. Arwah abah seraya berkata kepada beliau, ‘Cikgu, didiklah anak saya ini sebaik-baiknya’.
Saya melihat dan masih ingat, dalam kesibukan begitu ramai ibu-bapa datang menghantar anak-anak, Arwah abah dapat lolos pergi mendapatkan Cikgu Salim untuk berwaad. Saya juga masih ingat hingga kini ada beberapa orang cikgu ada sama pada masa itu. Diantaranya ialah Cikgu Sanusi.
Kemudian, apabila saya berada di darjah lima, barulah saya tahu yang Cikgu Sanusi ini amat giat dalam politik UMNO. Barulah juga saya faham mengapa agak acapkali Cikgu Sanusi ‘ponteng sekolah’. Bila keesokan harinya muncul di sekolah, beliau membawa bersamanya lipatan akhbar Utusan Melayu, dalam tulisan jawi. Rupa-rupanya beliau adalah juga seorang columnist di Utusan Melayu. Saya kaitkan cerita Cikgu Sanusi di sini bagi menggambarkan di zaman persekolahan saya dulu, sekolah adalah juga institusi masyarakat. Ramai dikalangan guru pula, seperti Cikgu Sanusi, berperanan sebagai ‘opinion leaders’. Begitulah peranan sekolah di zaman saya dulu.
Itu cerita tahun 1959 dan kita kini berada dalam tahun 2025, yang penuh dengan serba kecanggihan. Saya pula sudah berusia 73 tahun, ada anak dan cucu. Isteri saya pula adalah mantan pengetua sekolah menengah. Hatta, kehidupan saya tidak pernah terputus dengan dunia pendidikan.
Mesej yang ingin dikongsikan di sini ialah, sekalipun Arwah abah saya tidak tinggi ilmunya, sekadar bersekolah setakat darjah 4 di Sekolah Rakyat Parit Bakar Darat, Muar, beliau tahu adab menyerahkan anaknya untuk menuntut ilmu di sekolah. Si cikgu pula, sama-sama berwaad, terima tanggung-jawab dan amanah mendidik saya.
Di zaman saya membesar, sekalipun dalam serba kedaifan, dunia kami tidak toxic seperti sekarang.
Dunia sekarang amat toxic dengan pelbagai racun dan kuman.
- Racun media sosial amat kuat pengaruhnya kepada pembinaan perwatakan, sahsiah dan keperibadian anak-anak.
- Kuman yang jangkiti minda dan hati ramai ibu-bapa terutama dikalangan kelas menengah dan atas, yang merasa mereka cukup bijak dan berhak menentukan pendekatan bagaimana anak-anak mereka patut belajar (bukan dididik), kerapkali mencemarkan keharmonian di sekolah.
- Kuman rasuah dan ekonomi gelap amat mempengaruhi ramai ibu-bapa, menjadikan mereka taksub mendakap pelbagai sifat-sifat mazmummah. Hukum karmanya ialah kepada pembentukan sahsiah dan keperibadian anak-anak, pewaris kita semua.
- Budaya politik tanpa arah turut merosakkan masyarakat, jauh lebih rosak dari perbalahan dikalangan ahli politik. Masyarakat terlalu taksub berpolitik sepanjang masa, sepanjang tahun. Akhirnya, pelbagai aspek kehidupan dipolitikkan, seraya mengenepikan adab dalam bermasyarakat. Tepat sekali mesej khutbah Jumaat oleh JAIS pada Jumaat 17 Oktober 2025, bertemakan ‘Mulianya umat dengan adab’.
Toxic nya dunia kita hari ini belum diambilkira oleh pelbagai faktor luaran yang sentiasa mengancam kehidupan kita.
Seperti yang diungkapkan oleh Prof Sir David Spiegelhalter dalam bukunya, The Art of Uncertainty, hari ini kita tidak mengetahui terlalu banyak yang tidak diketahui (unknowns of the unknowns).
Begitulah apa yang terjadi kepada seorang pelajar yang wajahnya nampak begitu sopan, menjadi mangsa pembunuhan kejam dengan 200 tikaman. Ibubapanya terlalu hiba, tidak dapat membayangkan di mana silap anaknya sehingga dihukum sedemikian. Mereka langsung tidak terfikir atau terbayang dibenaknya, apa yang mungkin boleh terjadi kepada anak kesayangannya itu.
Insaflah, insiden unknowns of the unknowns seperti itu boleh terjadi dalam sekelip mata, kepada kita semua, pada bila-bila masa. Bagi kita umat Islam, kita memang sentiasa redha kepada ketentuan-Nya Yang Maha Esa. Bagi kita, itulah unknowns of the unknowns.
Dengan begitu toxic dunia yang kita diami ini, eloklah dirungkai satu persatu dan dinyahkan racun dan kuman yang berada di dalam kehidupan kita.
Pertama dan dengan kadar segera, Kerajaan hendaklah menapis dan menyekat segala bentuk posting dalam media sosial serta filem dan drama hiburan yang bersifat negatif dan ganas.
Kedua, institusi kepimpinan tertinggi negara hendaklah dengan segera redakan budaya politik tidak sihat, politik yang abaikan nilai-nilai budaya, adab dan tata-susila bangsa dan pegangan agama kita semua. Janganlah mengharapkan bayang-banyang akan lurus andaikata tiangnya bengkang-bengkok.
Ketiga, kesan sampingan kuman rasuah dan ekonomi gelap juga ada hukum karmanya sendiri. Dengan nilai rasuah sepertimana dilaporkan SPRM sekitar RM 277 Billion, manakala ekonomi gelap sekitar RM 300 Billion, diparahkan lagi dengan penyelewengan atau penipuan perolehan negara bernilai sekitar RM 70 Billion setahun, mahu atau tidak, setiap orang dari kita, jika pun tidak banyak, sekalipun sedikit, ada terpalit juga dengan kuman rasuah ini secara tidak langsung.
Hatta, usaha mengekang jangkitan ketiga-tiga kuman ini dari terus berleluasa, hendaklah segera diambil. Sekitar 2023, CEO LHDN ada menyarankan satu akta khas segera digubal bagi mengekang usaha penggelapan perolehan cukai negara. Hingga kini belum kedengaran tindakan diambil bagi menyahut saranan ini.
Desakan saya berkaitan kuman rasuah dan ekonomi gelap ini bukan membawa maksud bahawasanya keluarga yang anaknya terjebak insiden keganasan adalah dari kalangan keluarga yang terdakap pelbagai sifat mazmumah terutama rasuah. Bukan begitu. Maksud saya, jangkitan kuman rasuah ini menghukum masyarakat dan negara, secara simbolik, yang mewarnai alam kehidupan kita pada masa kini.
Selari dengan usaha-usaha segera, pengurangan pelbagai toxic duniawi itu, beberapa kementerian dan agensi, hendaklah bergerak serentak, seiringan, bersepadu dan diselaras rapi. Malah lebih afdal jika pihak GLC, PLC dan MNC juga sama-sama tampil mainkan peranan yang sewajarnya, menerusi pelbagai program CSR mereka.
Saya berikan beberapa gambaran seperti berikut, untuk semua pihak fikirkan secara membina (constructive):
- Kementerian Wanita, Keluarga & Kebajikan.
Hendaklah dengan segera mempergiatkan perlaksanaan Program Keibubapaan Pintar (Smart Parenting Program), pada skala besar, sebagai satu gerakan di seluruh negara, libatkan semua keluarga. Buat masa kini, perangkaan oleh DOSM 2024, menjumlahkan Malaysia ada lebih kurang 9.1 isirumah (households). Program ini hendaknya tidak mengecualikan mana-mana dari isirumah ini.
Ini amat perlu kerana para pendidik berdepan begitu banyak masaalah dengan ibu-bapa. Ada yang terlalu menunjukkan keangkuhannya terhadap pendidik. Ramai juga, terutama dikalangan ibubapa golongan B40, yang langsung tidak ambil peduli hal persekolahan anaknya, dek sibuk sama-sama mencari rezeki, kais pagi makan pagi, kais petang belum tahu jumpa rezeki.
- Kementerian Hal Ehwal Islam
Hendaklah bersungguh-sungguh mengendalikan pelbagai program bagi pastikan semua umat Islam di Malaysia berkeperibadian sebagai ASWJ. Setiap seorang darinya mesti amat arif dengan setiap kandungan maqasid syariah yang merupakan panduan dalam kehidupan mereka, dalam negara yang Islam adalah Agama Persekutuan.
Bagi sesiapa yang sedang bergelumang dengan sifat-sifat mazmummah, segeralah hentikannya. Insaflah, anak-anak kamu sedang menerima hukuman karma dari perbuatan kamu.
- Kementerian Kesihatan
Aspek keafiatan yang sekian lama tidak begitu ketara, hendaklah dengan segera dijadikan prioriti. Fokas utama ialah seperti kesihatan mental, keupayaan mengurus stress dsb.
- Kementerian Dalam Negeri,
Terutama ialah pihak PDRM, iaitu Bahagian Kesalahan Juvenile, hendaklah segera bekerjasama dengan pihak KPM bagi kendalikan pelbagai aktiviti, bagi membina kesedaran, berkaitan kesalahan juvenile.
Malah salah satu pendekatan strategik ialah penubuhan sebanyak mungkin Pasukan Kadet Polis di setiap sekolah. Disamping Pasukan Pengawas Sekolah, Pasukan Kadet Polis ini boleh, secara tidak langsung, berperanan menyamai Pasukan Polis Bantuan. Banyak usaha-usaha kreatif boleh tercetus dari penubuhan Pasukan ini, sebagai salah satu usaha mengekang dan mengawal berlakunya insiden-insiden berunsur jenayah di sekolah-sekolah.
Lain-lain kementerian dan agensi juga boleh fikirkan bagaimana setiap satunya boleh menyumbang ilham dan usaha bagi sama-sama menangani malapetaka nasional ini.
Akhir sekali, ialah KPM dan KPT. Kedua-duanya hendaklah segera kembalikan peranan pendidik dan pensyarah secara komprehensif, dalam satu ekosistem pendidikan yang sempurna dan berkesan.
Hakikatnya ialah, bahawasanya, tanpa pelajar, seseorang itu tidak bergelar guru atau pensyarah (No teacher or lecturer without his subjects).
Carilah dan himpunlah seramai mungkin, pakar-pakar pedagodi dan kaunseling, untuk dengan segera kembali perkemaskan proses mendidik dan membesarkan anak-anak bangsa pewaris negara.
KPI sekolah atau IPT bukan semata-mata bergantung kepada penilaian kuantitatif, akan tetapi mestilah juga dikembarkan bersama dan setara dengan kaedah penilaian kualitatif. Penilaian kualitatif adalah berkaitan sahsiah dan keperibadian pelajar.
Sekolah adalah medan untuk anak-anak dibimbing, membesar dan mengenali dunia dan kehidupan, iaitu maqasid kedua dalam turutan maqasid syariah.
Di peringkat menengah, mereka ada opsyen untuk samada dididik menimba ilmu, atau dilatih mengasah bakat. Atau, jika seseorang pelajar itu miliki keupayaan istimewa, asuh dan bimbhing mereka untuk kuasai kedua-duanya, ilmu dan bakat (brain & brawn).
Di peringkat IPT, keutamaan pendidikannya ialah untuk menyediakan pelajar berhijrah dari alam anak-anak ke alam dewasa, bagi siap-siaga menggalas tanggung jawab menjadi warganegara bertanggung-jawab (the respobsilbe citizens).
Bagi kita yang beragama Islam, turutan matlamat maqasid syariah yang lima itu disusun sedemikian rupa bukan secara kebetulan. Tertibnya miliki makna tersendiri untuk dipatuhi. Pertama agama, kedua kehidupan (termasuk adab, budaya dan nilai) dan ketiga, barulah ilmu.
Jika tertib itu difahami dan dipatuhi InshaAllah, kita dapat tangani malapetaka yang sedang mengancam, dengan penuh kebijaksanaan, tanpa perlu bertelagah dan berpecah-belah sesama kita.
Bagi kami di luar ini, majoriti berstatus warga emas, masih komited ingin terus menyumbang kepada negara tercinta ini. Kerajaan terutamanya KPM, janganlah hendaknya pandang kami dengan sebelah mata saja.
Betul, di KPM ada pegawai yang pakar dalam pelbagai aspek peracangan.
Dikalangan kami, juga ada kelebihan masing-masing, yang sedikit sebanyak boleh dimanfaatkan oleh negara, menerusi KPM.
Dato Dr Hasan Mad MPM
17 Oktober 2025
Saya juga seangkatan dengan Dato. Saya mula persekolahan pada Januari 1959.
Saya setuju dengan pendapat yang diutarakan oleh Dato. Kami wargamas mempunyai banyak bakat dan ilmu yang boleh dikongsikan dengan KPM dan masyarakat amnya. Jangan abaikan kami.
SASA.