Oktober 22, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Pembangunan Kg Baru Simbolik Kemampuan Ekonomi Bangsa Melayu

Ada sebuah kawasan kediaman elit di sebuah bandar di kepulauan Borneo, yang puak mereka bangunkan khusus dan eksklusif untuk didiami oleh suku-sakatnya sahaja.

Mereka mampu buat begitu, tak perlukan pembeli dari pasaran terbuka. Ini kerana kekuatan kuasa ekonomi yang mereka miliki.

Berbeza dengan Kampong Baru Kuala Lumpur. Status MAS (Malay Agriculture Settlement) yang diberikan sedemikian sejak zaman British, dengan perkenan Baginda Sultan Selangor, sekitar seratus tahun yang lalu, sepatutnya menjadi satu kawasan pembangunan milik bangsa Melayu, yang begitu eksklusif. Kawasan seluas sekitar 300 ekar itu berada di lokasi yang teramat strategik.

Dalam pada itu, ada pihak yang takrifkan pelbagai syarat dan sekatan pembangunan tanah berstatus MAS itu sebagai punca sukarnya tanah-tanah itu untuk dimajukan. Banyak pihak termasuk dikalangan bangsa Melayu sendiri yang termakan dengan pemikiran sedemikian. Tentunya percaturan mengazetkan tanah-tanh itu dibawah MAS bersebab. Kitalah yang sepatutnya memikirkan dengan kebijaksanaan, bagi mentafsir niat yang tersirat.

Hendaknya, suatu hari nanti kawasan tanah berstatus MAS itu mampu jadi kawasan kediaman dan ekonomi ikonik, eksklusif dan berprestij, sepenuhnya dimiliki oleh, dimajukan oleh dan untuk orang Melayu.

Sudah 68 tahun merdeka. Cita-cita mat jenin ingin melihat Kg Baru membangun sebagai sebuah kawasan pembangunan ikonik terus hanyut. Malah saban hari kemelut pembangunannya menjadi bahan perdebatan banyak pihak, manakala di lapangan pula, penduduk di sana mula berbalah sesama sendiri.

Bagitulah juga halnya dengan ekonomi bangsa Melayu. Sudah 68 tahun merdeka, ekonominya pun senasib dengan pembangunan Kg Baru. Sekalipun ada Dasar Ekonomi Baru 1970 (DEB 1970) yang ditamatkan riwayatnya secara tergesa-gesa dan diganti dengan pelbagai dasar, kesejahteraan bangsa Melayu tidak banyak berubah. Ada kemajuan, tetapi berbanding dengan kemajuan lain-lain bangsa, bangsa Melayu terus tercicir.

Sudah banyak Kongres Ekonomi Bumiputera dianjurkan samada oleh Kerajaan, Dewan Perniagaan, malah oleh MPM sendiri. Hingga kini sudah lapan kali kongres sedemikian dianjurkan. Pun bangsa Melayu semakin terkial-kial untuk bersaing.

Nampaknya, nasib pembangunan Kg Baru dan kemajuan ekonomi bangsa Melayu adalah serupa. Hatta bolehlah digunakan pembangunan Kg Baru itu adalah simbolik kepada kemampuan bangsa Melayu memajukan ekonomi dan kesejahteraannya.

Jika itu realitinya, pembangunan Kg Baru adalah juga simbolik kepada:

  • Sejauh mana waad yang diwasiatkan di dalam Wasiat Raja-Raja Melayu, benar-benar manfaatkan bangsa Melayu, jika benarlah Wasiat itu ujud dan sahih.
  • Sejauh manakah manfaat Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan yang maksud tersiratnya sebagai ‘pampasan’ kepada bangsa Melayu, diatas keikhlasannya berkongsi kerakyataan dengan mereka yang bermastautin di negara ini, yang di zaman pramerdeka, mereka itu bukan bertaraf warganegara, di bumi berdaulat ini.
  • Tahap kematangan kepimpinan politik dikalangan bangsa Melayu, menterjemahkan kesungguhan politik mereka bagi memperkasakan bangsa Melayu, mengikut peruntukan Perkara 153 itu.
  • Tahap kemampuan dan kesungguhan tadbirurus dan pengupayaan, oleh pelbagai institusi eksekutif yang hampir kesemuanya diterajui bangsa Melayu, dan
  • Tahap kemampuan bangsa Melayu memajukan ekonominya, sekaligus menjadi penyumbang utama kepada kemajuan ekonomi dan kemakmuran negara ini.

Bagi pembangunan Kg Baru, sekalipun sudah ditubuhkan sebuah perbadanan khusus untuk merencana pembangunan kawasan seluas kurang 300 ekar itu, wajah lesu Kg Baru, tidak banyak berubah sejak 50 tahun yang lalu.

Begitulah juga kemajuan ekonomi bangsa Melayu dengan begitu banyak dasar dan kongres. Tangisan dan keluhan Komuniti Ekonomi Bangsa Melayu tetap sama dan senada.

Sebagai mat jenin, saya ingin melontarkan satu saranan yang amat mudah ditulis, yang pastinya tidak realistik dan tidak mungkin akan tercapai.

Bagi mat jenin, untuk membangunkan dan memajukan Kg Baru, dengan pada masa yang sama mengekalkan statusnya sebagai tanah MAS, semua institusi kepentingan bangsa Melayu mesti memiliki kekuatan, kesungguhan dan keberanian yang luar biasa, untuk bertindak dengan kebersaamaan minda:

Pertama, institusi Pemerintah mesti kuatkuasakan sepenuhnya Perkara 153 yang mengandungi 10 Fasal. Kesemua Fasal itu meletakkan tanggung-jawab di atas bahu Yang diPertuan Agung, untuk menitah dan mencipta apa juga peluang istimewa kepada bangsa Melayu;

Kedua, bertindak di atas titah itu, kerajaan, tanpa mengira dari institusi politik mana sekalipun, mesti buat satu dasar khusus dengan sebuah akta sebagai punca kuasanya, untuk melahirkan ratusan, malah ribuan perbadanan atau syarikat pemaju bumiputera, yang berkaliber dan berintegriti. Pemaju yang dilahirkan ini mestilah komited memajukan ekonomi bangsa Melayu, bermula dengan pembangunan Kg Baru sebagai bandar ikonik; Ketiga, bertindak di atas titah itu juga, Kerajaan mesti gubal Akta Kesaksamaan Peluang, bagi membolehkan ratusan ribu anak-anak bangsa Melayu berbakat, perolehi pekerjaan setimpal dengan kelulusan cemerlang dan bakat terbilang, untuk ceburi sektor swasta. Akta ini juga terpakai untuk lindungi usahawan anak bangsa Melayu, ceburi pelbagai bidang industri, agar tidak didiskriminasi dalam mendapatkan peluang bisnes, terutama yang berstatus bernilai tinggi dan berpertumbuhan tinggi. Ini termasuk peluang berperanan sebagai vendor kepada syarikat-syarikat swasta, GLC, PLC dan MNC. Dengan cara ini negara akan lebih mampu lahirlah ramai anak bangsa Melayu yang berpendapatan tinggi, yang mampu membeli aset kediaman atau aset ekonomi atau menjalankan bisnes bernilai tinggi di premis yang dibangunkan oleh pemaju di Kg Baru.

Keempat, bertindak di atas titah itu, semua institusi eksekutif termasuk institusi pengupaya, terutama bank, mesti berperanan secara kolektif, diselaras dengan penuh keberkesanan, bagi laksanakan amanah dengan penuh integriti, serta mengupayakan semua pemaju dan pembeli hartanah dikalangan bangsa Melayu. Hendaknya tidak terdengar lagi pelbagai cerita si kitol, yang menjadi perosak agenda pembangunan bangsa.

Kelima, pemaju yang dilahirkan dari agenda ini hendaknya dikalangan mereka yang kental jatidirinya sebagai bangsa Melayu yang hebat, bermaruah & diberkati. Pada masa kini sudah ada ramai dikalangan mereka yang berjaya. Hibanya, mereka ini memilih untuk menjadi golongan elit yang memisahkan dirinya dari kelompok bangsanya.

Keenam, golongan menengah Melayu yang dilahirkan dari agenda ini hendaknya tidak mudah terjerat dalam ‘perangkap pendapatan menengah’ (middle income trap). Hendaknya mereka mampu teruskan mobiliti sosial menaik, mobiliti teknologi dan sebagainya, sebagai legasi yang mesti diteruskan oleh generasi anak bangsa.

Seperti yang saya katakan di awal rencana ini, untuk saya menulis rencana ini sedemikian rupa memanglah amat mudah. Indah khabar dari rupa. Ilham mat jenin lah katakan.

Namun, untuk ianya diralisasikan, tulisan saya seolah-olah sekadar mengajukan cadangan kepada lain-lain pihak untuk ambil tindakan. Tindakan mereka itu mestilah buahkan kejayaan yang saya kehendaki.

Sayugia kita semua maklum, Perbadanan Kg Baru diterajui mereka yang berkaliber. Ahli Parlimennya pula adalah tokoh korporat tersohor yang diketahui bidang kepakarannya, terutama dalam ‘management turn-around’. Lagi kompleks sesuatu permasaalahan untuk dirungkai, lagi terujalah beliau untuk merungkainya. Pastinya telah ada di dalam pemikiran beliau cara dan pendekatan bagaimana Kg Baru ini boleh dimajukan, menjadi lembah pembangunan ikonik di Kuala Lumpur. Barangkali beliau hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.

Apa pun, Kg Baru dalam keadaannya kini, adalah simbolik kepada kemunduran ekonomi bangsa Melayu.

Apa pun, peluang dan kemajuan ekonomi bangsa Melayu, yang dilindungi peruntukan amat jelas dan tegas (Perkara 153), belum diterjemahkan menjadi titah, arahan mahupun kesungguhan oleh pelbagai institusi yang diamanahkan menjaga kepentingan bangsa ini.

Rata-rata projek hartanah di Kg Baru, kecuali satu dua yang boleh dibanggakan, tidak lebih dari pembangunan berstatus 3-bintang, atau rendah. Begitu juga dengan aktiviti bisnes utama di Kg Baru. Tidak nampak banyak bisnes berstatus ‘high-value & high-income’ dan gunapakai teknologi terkini.

Itulah juga senario kemajuan ekonomi bangsa Melayu. Malah ekonomi halal dan kewangan Islam pun gagal dikuasainya, jauh sekali diterajui oleh bangsa Melayu. Alahai.

Jikalah ekonomi bangsa Melayu telah maju membangun, tentunya ramai yang mampu menjadikan Kg Baru, Hab Global Ekonomi Halal dan Hab Antarabangsa Kewangan Islam. Jika benar bangsa Melayu menguasai bidang pendidikan dan latihan, tak kan tiada satu pun IPT awam atau swasta membuka cawangan, atau kampus induk di Kg Baru.

Jika demikian senarionya, masakan majoriti mereka yang berniaga atau bermastautin di Kg Baru tergolong dalam kategori berpendapatan tinggi, sedangkan Malaysia diunjur akan berstatus ‘Negara Berpendapatan Tinggi’ menjelang 2028. (Panduan IMF, GDP/kapita minimum bagi negara berstatus berpendapatan tinggi ialah USD 14,000.00).

Amat mencemaskan, ialah apabila DOSM siarkan bancian perangkaan 2024 yang jelas memaparkan diantara tiga etnik utama, GDP/kapita bumiputera jauh lebih rendah berbanding etnik Cina dan India, malah berada dibawah purata nasional. (DOSM: Pendapatan Isirumah Malaysia 2024: Purata RM 9,155; Cina RM 11,494, India RM 9,841; Bumiputera RM 8,220; Lain-lain RM 6,310)

Jelas siaran DOSM itu lagi, jurang pendapatan antara etnik adalah yang terendah sejak 50 tahun kebelakangan ini, yang dibandingkan olehnya sejak 1974.

Betul lah telahan saya, rencana ini amat mudah mencadangkan itu dan ini. Ia semudah ilham mat jenin.

Dato Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM

11 Oktober 2025