April 1, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Semangat Anak Muda Terhadap Bahasa dan Budaya Harus Disalurkan Melalui Teater

Dalam dunia moden yang semakin dikuasai oleh teknologi digital dan budaya global, semangat anak muda terhadap bahasa dan budaya tempatan sering kali terpinggir di sebalik gelombang hiburan segera dan media sosial. Namun, masih ada generasi muda yang memilih untuk berdiri teguh mempertahankan akar warisan bangsa dan teater menjadi salah satu medan terbaik untuk menyalurkan semangat ini dengan penuh jiwa dan makna.

Saya tertarik menulis tentang hal ini setelah menonton salah satu slot lakonan cucu saya, Putera Nur Aisy Daniyal bin Aziwahija, pelajar Tingkatan 1, yang beraksi di pentas teater semalam. Dalam video yang saya rakam, jelas terpancar keberanian dan kesungguhan anak muda ini dalam menghidupkan watak, menyampaikan emosi, dan menghargai bahasa ibunda dengan tutur yang penuh nilai seni. Lebih bermakna, beliau turut sempat bergambar bersama YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) satu penghormatan yang menjadi kenangan tidak ternilai.

Putera dan kakaknya, Puteri Nurul Arumi binti Aziwahija, bukan nama asing dalam dunia seni persembahan. Sejak di bangku sekolah rendah lagi, kedua-duanya telah beberapa kali menang hadiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, malah pernah muncul sebagai pelakon penting di televisyen dan saluran seperti Astro Awani. Di sebalik bakat lakonan mereka, terselit satu lagi kehebatan yang melengkapi identiti budaya mereka juga merupakan johan silat Gayung Fatani peringkat sekolah-sekolah Malaysia, hasil bimbingan ibu bapa mereka yang merupakan guru dan pesilat negara.

Kisah dua beradik ini menggambarkan satu hakikat penting bahawa bahasa, budaya, dan seni mempertahankan diri adalah satu kesatuan nilai bangsa yang tidak boleh dipisahkan. Teater menjadi jambatan yang menghubungkan semua unsur ini: keindahan bahasa Melayu, falsafah budaya, nilai perjuangan, dan semangat disiplin yang terbit dari warisan seni bela diri.

Maka, inilah masanya untuk kita memberi ruang dan peluang kepada anak muda menyalurkan semangat mereka terhadap bahasa dan budaya melalui teater. Setiap pentas kecil di sekolah, setiap pertandingan di daerah atau negeri, adalah tapak pembinaan jiwa bangsa. Dari situ lahir rasa cinta kepada akar budaya, keyakinan diri, serta keupayaan untuk berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Teater bukan sekadar lakonan ia adalah pendidikan jiwa. Ia mendidik anak muda untuk memahami makna bahasa, menghargai simbol budaya, dan menanam rasa hormat terhadap nilai warisan yang membentuk jati diri bangsa. Jika semangat ini terus disuburkan, tidak mustahil Malaysia akan melahirkan generasi pelakon, pengarah, dan penulis skrip yang mampu mengangkat bahasa dan budaya bangsa ke persada dunia.

Semoga kisah Putera dan Puteri menjadi inspirasi kepada semua bahawa di tangan anak muda, masa depan seni dan budaya Melayu masih menyala terang, asalkan kita terus memberi mereka peluang untuk bersuara dan berkarya di pentas yang bermaruah.