Oktober 5, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru: Pertembungan Diantara Maruah, Kedaulatan Dengan Integriti

Kekecohan isu pengusiran sebahagian penduduk Kampung Sungai Baru yang enggan mengosongkan premis kediaman mereka kepada pemaju asing, sampai ke kemuncaknya pada 11 September 2025 lepas.

MPM mentakrifkan mereka yang enggan berpindah itu sebagai golongan kecil yang mengutamakan maruah dan kedaulatan mereka sebagai bangsa Melayu, pertahankan haknya, tatkala ramai dikalangan mereka memilih pembangunan fizikal yang menjanjikan status jutawan pinggiran.

Pendirian mereka yang minoriti ini menjadi bahan cemuhan banyak pihak, termasuk dikalangan bangsanya sendiri. Ia terjadi hanya kerana beberapa episod pertembungan dengan sistem perundangan negara, yang sepatutnya boleh dielakkan.

Justifikasi yang digunakan oleh beberapa institusi yang lebih rela menggadaikan maruah dan kedaulatan bangsa Melayu, atas nama pembangunan, konon kerana majoriti dari penduduk Kampung Sungai Baru memilih hendakkan pembangunan.

Dipihak penduduk pula, mereka berpecah-belah disebabkan pertembungan diantara mereka yang mengejar pembangunan, dengan mereka yang mengutamakan maruah dan kedaulatan. Entah ada entah tidak, pihak yang mendamaikan mereka untuk membina kesepakatan minda dan mencari jalan penyelesaian yang lebih realistik.

Itulah realitinya bila berlaku pertembungan diantara maruah dan kedaulatan dengan integriti.

Pada hemat saya, apabila ada kesangsian terhadap pemaju syarikat asing ini, sepatutnya pada ketika itu beberapa pemaju tempatan, terutama dikalangan GLC, tampil menawarkan model pembangunan alternatif. Kita ada UDA Holdings, kita ada PHB, kita ada UEM Sunrise dan beberapa lagi. Tidaklah diketahui mengapa mereka enggan bersaing dengan pemaju asing ini.

Jika kita pernah berbangga dengan keajaiban PNB mengejutkan dunia dengan episod ‘the dawn raid’, mengapa PHB misalnya, tidak terfikir untuk mengejutkan negara dengan model pembangunan Kampung Baru, setara pembangunan di seberang sungai, di depannya. Jika isu modal yang menjadi halangannya, nescaya seluruh bangsa Melayu di segenap pelusuk kampung dan desa, pun akan ghairah untuk melabur dalam projek pembangunan semula Kampung Baru. Bukalah mulut, nescaya keajaiban akan tercipta.

Apa pun, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru ini telah menjadi kambing hitam kepada RUU PSB yang bakal dibentangkan oleh kerajaan di Parlimen untuk diluluskan. Jelas sekali RUU ini, berdasarkan deraf yang ada dan motif kerajaan cuba membentangkannya, mesti ditolak.

Kegagalan pelbagai institusi kepentingan rakyat yang membutakan mata dan hati mereka atas nama pembangunan, telah menyebabkan rakyat mula tawar hati terhadap mereka. Andaikata RUU PSB itu diluluskan, denyut nadi rakyat, terutamanya bangsa Melayu, dapat merasakan yang kesemua institusi itu tidak akan memihak kepada mereka, tidak akan mempertahankan maruah dan kedaulatan mereka, terhadap apa jua bentuk sekeping tanah sekangkang kera yang mereka miliki.

Berbalik kepada insiden Kampung Sungai Baru, apabila maruah dan kedaulatan gagal dipertahankan diatas lunas-lunas perundangan, kelompok kecil penduduk yang menentang agenda pembangunan songsang ini , terpaksa akur dengan ketentuan yang menimpa mereka.

Di penghujung episod ini tampillah DYMM Baginda Sultan Selangor bertitah, pada 18 Sept 2025, memberikan pandangan Baginda agar isu ini dikendalikan dengan lebih berhemah dan menjaga kepentingan bangsa Melayu.

Amat jelas titah itu, tanpa Baginda menuding jari kepada mana-mana pihak.

Kami di MPM menjunjung kasih dan menyokong titah Baginda itu seraya menggesa ianya mestilah dihormati oleh semua pihak.

Hendaknya:

  • Semua institusi kepentingan rakyat, terutama institusi legislatif, eksekutif, judisiari dan ketenteraman awam, bertindak dengan bijaksana, dengan mengutamakan perkara-perkara berkaitan maruah dan kedaulatan, sekalipun ia sekadar melindungi kepentingan golongan minoriti.
  • Pemaju-pemaju tempatan, terutama dikalangan perbadanan kepentingan bangsa Melayu, lebih proaktif dan tampil menawarkan opsyen pembangunan yang lebih realistik dan diterima oleh semua kelompok penduduk Kampung Sungai Baru.
  • Semua penduduk Kampung Sungai Baru jadikan episod ini satu pengajaran untuk mereka tidak terjerat sepertimana penduduk asal Kampung Kerinchi yang kini sekadar berstatus penduduk pinggiran Bangsar South yang maju membangun.
  • Semua pemegang-taruh bangsa Melayu, ambil iktibar dari episod ini untuk menolak RUU PSB yang bakal dibentangkan. Andaikata ianya diluluskan, tanpa ada preamble yang berjanji memelihara kepentingan dan hak bangsa Melayu, janganlah terlalu berharap yang kepentingan dan hak itu akan dilindungi oleh kesemua institusi yang dinyatakan.

Kepada DYMM Baginda Tuanku, patik mohon persembah agar dapat kiranya Tuanku bawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu akan datang ini, untuk Wasiat Raja-Raja Melayu dibentangkan dan diwartakan. Dengan pewartaan itu juga Duli-Duli Tuanku sekelian hendaklah menitahkan kesemua peruntukan yang terkandung didalam Wasiat itu wajib dilaksanakan sepenuh dan sesungguhnya oleh kerajaan.

Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.

Dato Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM

20 Sept 2025