November 17, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Coretan Buat Abang Sulongku: Ex Senator Dahalan Hj. Embun

Hari ini, hati saya tersentuh untuk menulis coretan istimewa buat abang sulung saya, Ex Senator Dahalan Hj. Embun, seorang insan yang bukan sahaja menjadi inspirasi kepada saya dan keluarga, tetapi juga pernah menabur jasa bakti yang besar kepada negeri, bangsa dan negara.

Sejak kecil, abang adalah sosok yang saya kagumi. Di saat beliau menuntut ilmu di Australian National University (ANU), Canberra pada awal 60-an, saya masih di bangku sekolah rendah. Beliau pernah menjadi Head Boy di Derma English School, dan kepimpinan itu kemudian diteruskan oleh Dato’ Johari Darus. Selepas tamat pengajian, abang pernah berkhidmat sebagai guru di St. Michael’s School serta di Sekolah Menengah Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Antara muridnya ketika itu ialah Allahyarham Dato’ Syed Razak Syed Zain Barakhbah, yang kemudiannya menjadi Menteri Besar Kedah.

Dari Perlis ke Kuala Lumpur

Selepas pulang dari luar negara, abang kembali ke kampung halaman di Simpang Empat, Perlis, memulakan perniagaan kecil menjual baja pertanian kepada petani. Namun, jiwanya besar. Pada tahun 1970, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur, meneroka bidang perhotelan, dan menjadi anak Melayu pertama yang memiliki hotel bajet di Jalan Tiong Nam, off Jalan Raja Laut, suatu pencapaian luar biasa pada era itu.

Tidak lama kemudian, abang diberi amanah sebagai Pengurus Pentadbiran & Ketua PRO Oriental Bank, sebuah bank milik Koperasi Polis. Abang antara individu terawal yang membuka cawangan-cawangan baharu Oriental Bank di seluruh negara. Saya masih ingat, sewaktu perasmian cawangan bank di Kuching, Sarawak, abang memainkan peranan penting, dan majlis itu dirasmikan oleh Allahyarham Tun Hanif Omar, ketika itu Ketua Polis Negara.

Dalam Arena Politik & Pentadbiran

Abang tidak asing dalam dunia politik. Beliau dipilih dua kali sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Perlis. Malah, jasa beliau diiktiraf oleh ramai tokoh negara. Saya masih tersenyum bila teringat cerita mendiang Tun Samy Vellu yang sering mengucapkan terima kasih kepadanya kerana mencadangkan Pos Malaysia memperluaskan perkhidmatannya. Cadangan itu akhirnya menjadikan Pos Malaysia bukan sekadar tempat menghantar surat, tetapi berkembang sebagai sebuah entiti korporat yang menjana pendapatan berlipat ganda.

Dalam dunia politik, abang pernah hampir menjadi calon ADUN sekitar tahun 1987. Namun, atas keikhlasan hati, beliau rela menyerahkan peluang itu kepada calon tempatan. Malah, ketika itu Tun Dr. Mahathir sendiri hairan bagaimana ada orang sanggup menolak watikah calon daripada Perdana Menteri. Tetapi begitulah abang – lebih mengutamakan keharmonian daripada jawatan. Sebagai pengiktirafan, beliau kemudian dilantik sebagai Senator.

Sahabat Para Pemimpin

Abang rapat dengan ramai tokoh negara. Antara sahabat baiknya ialah Dato’ Seri Nazri Aziz, YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Dato’ Johari Darus, Allahyarham Pak Hj. Sulaiman Palestin, Allahyarham Tan Sri Isa Samad, dan Allahyarhamah Tan Sri Napsiah Omar – rakan seuniversiti beliau di ANU.

Bahkan, abang pernah menerima kunjungan Tun Dr. Mahathir di Hotel Indra miliknya, ketika Tun masih menjadi Pengerusi FIMA. Saya sendiri pernah menyaksikan suasana di hotel itu, termasuk ketika mendengar ceramah seorang tokoh muda bernama Anwar Ibrahim, waktu itu Presiden ABIM, yang hadir bersama Fan Yew Teng dan pelajar-pelajar Tiong Hua.

Saat Ujian Kesihatan

Namun, hari ini abang sedang melalui ujian yang amat berat. Sudah lebih empat bulan beliau terlantar di hospital kerana penyakit yang doktor sendiri sifatkan sebagai kes yang amat jarang ditemui – hanya 2 atau 3 pesakit seumpamanya di seluruh negara.

Saya pernah memaklumkan keadaan abang kepada Perdana Menteri (PMX) dan Dato’ Seri Zahid Hamidi. Kedua-dua pemimpin negara itu mengenali abang saya, tetapi kerana kekangan jadual yang padat, mereka hanya sempat menitipkan salam dan doa. Abang menerima semua itu dengan hati terbuka.

Kini, abang berada di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, dan doktor telah menasihati ahli keluarga supaya segera datang menziarahinya. Kami adik-beradik, anak, cucu dan cicit, bergegas pulang ke kampung untuk berada di sisinya.

Doa Seorang Adik

Sebagai adik, saya hanya mampu memohon agar semua yang mengenali abang, sahabat handai dan masyarakat mendoakan beliau. Semoga Allah SWT mengurniakan abang saya husnul khatimah, pengakhiran yang baik, dengan penuh rahmat dan kasih sayang-Nya.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah datang menziarahi, antaranya YB Exco Bakar Hamzah, Bekas MB Dato’ Seri Mat Isa Sabu, Saudara Abdoll Rahim, Saudara Ismail Bangsawan, dan ramai lagi ahli keluarga serta sahabat lama.

Abangku Dahalan Hj. Embun bukan sekadar abang sulungku – beliau adalah seorang pendidik, usahawan, pengurus bank, ahli politik, senator, sahabat pemimpin, dan pejuang bangsa. Tetapi lebih daripada itu, beliau adalah inspirasiku yang sebenar.

Ikhlas,

Adikmu – Shahbudin Embun