Dalam masa 60 tahun, sejak Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) pertama kali kerajaan anjurkan pada Jun 1965, sudah lapan kali, bumiputera yang terkait dengan bidang berkaitan ekonomi, berkongres.

Kali terakhir pada Februari-Mac 2024. Kecuali KEB kelima (29 Mei 2010) dan KEB keenam (KEB 1 1965-2020, 1 Oktober 2020), selebihnya adalah KEB anjuran Kerajaan, atau bersama Dewan Perniagaan.
Ratusan resolusi dihasilkan. Banyak kejayaan dicapai. Syabas bumiputera. Namun, jika dibandingkan dengan orang lain, bumiputera masih ketinggalan.
Sekadar sorotan dan renungan sejenak, unjuran yang dibuat oleh DOSM menyatakan, menjelang tahun 2065, sekitar 79% penduduk negara ini adalah bumiputera. Unjuran tahun 2065 kami di MPM rujuk sempena genap 100 tahun sejak KEB Pertama dianjurkan.

Cabaran menanti kita ialah, berbaki 40 tahun lagi, bagaimana bumiputera mampu menjadi bangsa peneraju agenda kemakmuran negara, pada ketika itu.
Rencana ini bukan nak menuding jari kepada mana-mana pihak, jauh sekali membuka pekong di dada. Rencana ini mempelawa semua kelompok pemegang-taruh bumiputera berlapang dada, berfikir dan bertindak. Tindakan yang dimaksudkan termasuklah respon positif kepada seruan Perdana Menteri, sepertimana terkandung dalam siaran facebook beliau yang dipetik oleh The Malay Mail, bertarikh 15 Ogos 2025.
Bersama, kita sahut seruan itu dengan tekad dan kesungguhan, terutama dikalangan kita yang berada di barisan hadapan.
Seruan itu mengajak semua pihak, terutama pemain industri bumiputera, institusi pelengkap (complementary institutions) dan institusi pengupaya (enabling institutions), membina ekosistem ekonomi sempurna, bagi menjayakan sesuatu inisiatif ekonomi yang diceburi atau dipilih.
Seruan itu juga boleh diterjemahkan bahawasanya, bagi menjayakan sesuatu inisiatif itu, semua komponen dan pemain industri hendaklah berjemaah, berada dalam satu ekosistem lengkap dan sempurna, yang mesti diperkukuhkan dengan peranan berimpak positif oleh pelbagai fungsi pengupayaan, disamping kegigihan dan kebolehan dikalangan pemain industri.
Sayugia dikongsikan di sini, kami di MPM sudah merangka usaha untuk merekacipta dan merekayasa Pelan Kemakmuran Melayu 2065 (PKM-2065), sebagai pelan pelengkap kepada apa juga dasar dan pelan anjuran kerajaan.
Kami di MPM juga sudah mulakan usaha, sekalipun baru dalam kumpulan yang kecil dan dalam skala yang kecil, mengajak beberapa pemain industri bumiputera, menggali khazanah terkandung dalam RMK 13.
Kumpulan ini merekasaya model ekosistem ekonomi lengkap, bermula dengan beberapa ekonomi pilihan, bagi diceburi. Ia ambilkira pendekatan terkandung dalam PKM-2065 itu.
Buat masa kini, nawaitu kami hanya satu dan ia tertumpu kepada usaha bagaimana khazanah terkandung dalam RMK13 itu digilap dan dapat diraih manfaat darinya.
Hendaknya, setiap agensi pengupaya dan agensi pelengkap bisnes, siapsiaga menerima kami dan lakukan sesi libaturus, untuk bersama lengkapkan dan upayakan ekosistem ekonomi yang kami rekayasa, yang diunjurkan mampu capai misi yang digariskan didalam RMK 13.
Hendaknya, semua kelompok pemegang-taruh bangsa Melayu, yang berada di dalam semua institusi kepentingan bangsa, termasuk institusi pemerintah, mainkan peranan masing-masing sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Hendaknya, mulai tahun ini, kad laporan tahunan, prestasi atau pencapaian agenda bumiputera, oleh pelbagai institusi berkaitan, dihidangkan kepada kami selaku benefisiari kepada agenda ini.
Hendaknya, di setiap Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, ada agenda tetap bagi membolehkan Perdana Menteri bentangkan laporan semasa agenda kemakmuran bumiputera yang komprehensif, bukan setakat hal ehwal berkaitan ekonomi saja.
Hendaknya, mulai saat ini, apabila kita semua, bangsa Melayu, mengaku sebagai ASWJ, kita miliki dan dakap erat budaya ‘the common mind’, yang benar-benar menyatupadukan kita semua.
Janganlah hendaknya disebakkan dada kami dengan keengganan sesetengah pihak dikalangan kita membina budaya ‘the common mind’ ini, tanpanya, masakan kita mampu menjadi bangsa peneraju agenda kemakmuran negara.
Kita tiada pilihan. Kita mesti menjadi bangsa yang bikin serupa cakap.
Dato Dr Hasan Mad, MPM
18 Ogos 2025
More Stories
Himpunan Solidariti Rakyat Tolak RUU URA: Pendirian Tegas MPM
RUU Pembangunan Semula Bandar: Pendirian Tegas MPM Demi Masa Depan Bumiputera
Opportunities for Malaysia’s Ports: Time to Reclaim Our Maritime Edge