Oktober 5, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Perlengkapkan Tatakelola Institusi Dengan Matlamat Maqasid Syariah

Saban hari semakin acapkali kita terima berita kecuaian institusi sehingga ada diantaranya menyebabkan kemalangan maut. Kes-kes kemalangan maut libatkan ramai anggota FRU di Perak, yang selang beberapa bulan kemudian disusuli kemalangan maut ragut ramai nyawa pelajar UPSI, adalah diantara malapetaka yang menimpa kita, berpunca dari kecuaian institusi.

Begitu juga kes kematian arwah Zara Qairina. Ia bukan sekadar takdir.

Hal kecuaian institusi juga berlaku dalam pelbagai institusi korporat, sekalipun tidak meragut nyawa, tetapi meragut  maruah kita semua.

Tidak kurang juga kecuaian dalam institusi politik dan legislatif yang cetuskan perpecahan demi perpecahan, terutama dikalangan bangsa Melayu.

Tiada cacat-celanya susun-atur, sistem dan proses tadbirurus pelbagai institusi itu, dari institusi pemerintah, turun kepada institusi legislatif dan kepimpinan,  kemudiannya turun ke institusi eksekutif.

Tiada kurangnya peraturan demi peraturan, dari yang paling am dan menyeluruh, seperti Peraturan Am (General Order) dan Peraturan Am Kewangan (Financial General Order), hinggalah kepada akta, piagam dan prosedur operasi piawai (Standard Operating Procedure, SOP). Apa lagi yang kurang?

Tiada guna berbicara mengorek pekong di dada. Tiada kesudahannya. Ini kerana  kecuaian institusi itu ternyata ada kaitan dengan faktor insan yang diamanahkan menerajui dan mengendalikan setiap satunya.

Jika demikian hakikatnya, elok sangatlah dihadam mesej yang disampaikan oleh JAIS dalam dua khutbah Jumaat di semua masjid di Negeri Selangor, pada 4 Julai dan 15 Ogos yang lalu. Selang dua bulan, dua khutbah Jumaat itu berbicara perihal berkaitan akhlak, pekerti dan keperibadian orang Islam di Negara ini sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Khutbah pada Jumaat 4 Julai menyatakan Selangor adalah Negeri ASWJ, manakala khutbah pada 15 Ogos  menyeru untuk diteladani akhlak ASWJ.

Begitu juga di Pahang, pada 5 Ogos lepas, Baginda Tuanku Sultan bertitah, untuk enakmen syariah di negeri itu dikaji semula secara menyeluruh.

Islam sebagai Agama Persekutuan, hendaklah ditakrifkan dengan lebih meluas, bukan sekadar digunapakai dalam perkara berkaitan Agama Islam saja. Teladani penggunaan Piagam Madinah di zaman Baginda Rasulullah SAW, yang terpakai kepada semua penduduk Madinah ketika itu.

Terlanjur dalam RMK 13 dimuatkan teras berkaitan pemerkasaan tatakelola pelbagai institusi, sangat bertepatanlah jika kerajaan tambah keberaniannya, memperlengkapkan usaha itu dengan mempasakkan matlamat maqasid syariah ke dalam pelan pemerkasaan tatakelola pelbagai institusi yang ada.

Cukup cukup lah dengan semua peraturan duniawi yang ada, yang terbukti semakin kurang berkesan, atau kurang dipedulikan, terutama dalam menjaga nyawa insan-insan milik Allah SWT.

Berislah dan berhijrahlah kita kepada peraturan atau matlamat syariah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Hendaknya semua seruan yang disampaikan dalam khutbah Jumaat oleh JAIS itu tidak sekadar didengar ibarat ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’ semasa berada dalam masjid saja. Atau, titah Baginda itu hanya untuk perlengkapkan enakmen syariah bagi institusi Islam di negeri berkenaan saja.

Hendaknya para ilmuan Islam berani bergaul, membawa amanah itu mengajak lain-lain golongan cendekiawan dan ilmuan, membentuk satu gerakan nasional, bagi mendorong usaha mempasakkan matlamat maqasid syariah menjadi inisiatif pelengkap mandatori (mandatory complementary initiative) kepada usaha pemerkasaan tatakelola semua institusi di negara ini.

Hendaknya ia bermula dengan maqasid yang diletakkan sebagai yang pertama dalam turutan tertib maqasid syariah itu, iaitu semua mereka yang beragama Islam, hendaklah berakhlak dan berkeperibadian sebagai ASWJ yang bertanggung-jawab menjaga agamanya.

Lain-lain bangsa yang bukan beragama Islam hendaklah menteladani akhlak-akhlak mulia para ASWJ.

Sudah sudah lah dengan semua kecuaian institusi yang dinyatakan itu. Tiada jalan penyelesaian yang dapat mengekangnya, kecuali dengan kesemua insan yang terkait, kembali ke pangkal jalan, redha ‘dilahirkan semula’ sebagai ASWJ.

Dengan keredhaan itu juga, sekaligus ia akan mendorong kerajaan membina keberanian memperlengkapkan usaha pemerkasaan tatakelola institusi bagi dipasakkan dengan matlamat maqasid syariah.

 

Dato Dr Hasan Mad, MPM

16 Ogos 2025