Ini adalah siri rencana saya yang ketujuh dan terakhir dalam usaha memasang pasak tiang-seri Pelan Kemakmuran Melayu 2065 (PKM-2065), sebelum memasuki bab pembinaan rekabentuk, kerangka, pengisian pelan dan tindakannya.
Izinkan saya ulangi matlamat utama penggubalan PKM-2065 ini, iaitu:
Pertama: menjulang martabat dan kesejahteraan bangsa Melayu, sebagai bangsa universal (universal Malays), bangsa pribumi yang berdaulat, bertamadun dan bermaruah;
Kedua: memakmurkan masyarakat bangsa Melayu dimana jua mereka berada di alam semesta (universe) ini.
Ketiga: menjaga nama-baik dan maruah negara berdaulat ini. Hanya inilah Tanahair kita.
Menjelang tahun 2065, DOSM telah unjurkan penduduk Malaysia dianggarkan seramai 42 juta. Sekitar 79.4% darinya adalah bumiputera (hampir 60% darinya adalah keturunan Melayu); 14.8% keturunan Cina dan 4.7% keturunan India. Maknanya, kemakmuran negara amat bergantung kepada kekuatan bangsa Melayu. Ia juga membawa maksud, jika pemilikan dan pembangunan harta keturunan kita kukuh, kukuhlah ekonomi dan kemakmuran negara.
Rencana ini memfokas kepada tanggung-jawab bangsa Melayu, sebagai Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ), menjaga harta (hifz al-mal), iaitu turutan tertib maqasid syariah kelima.
Kita wajar selami,fahami dan hayati mengapa matlamat menjaga harta diletakkan sebagai turutan terakhir dari lima maqasid ini. Tentunya ada banyak sebab. Kefahaman saya yang terhad ini, mentafsirnya sebagai satu petunjuk dari Allah SWT, bahawasanya, jika empat maqasid yang terdahulu itu benar-benar kita fahami dan hayati, tangung-jawab menjaga harta tidak akan tersasar dari maqasid yang Allah SWT telah aturkan.
Jika semua bangsa Melayu itu sebenarnya dan setulennya ASWJ, pastinya mereka tidak akan tersilap mengurus bisnes yang diamanahkan atau dipertanggung-jawabkan kepadanya. Jika mereka itu ASWJ dan diamanahkan mentadbir sebuah agensi pengupaya ekonomi bangsanya, pastinya beliau akan jalankan tugas-tugas pengupayaan dengan sebaik mungkin. Begitulah seterusnya.
Begitulah juga kaitan diantara maqasid akal dan harta, mengapa maqasid akal didahulukan. Kefahaman saya ialah bila seseorang ASWJ itu bijaksana dalam pengurusan bisnesnya, pastinya beliau tidak akan bersifat mazmumah bagi menjayakan bisnes yang diurusnya.

Menjaga harta (Hifz al_Mal)
Terjemahan kepada maqasid ini ialah bahawasanya, hanya setelah semua empat tiang-seri maqasid syariah itu berada di landasan yang betul, barulah boleh bercerita bagaimana hal ehwal berkaitan ekonomi dapat dibangunkan dengan sempurna dengan roh yang betul. Maknanya, PKM-2065 wajib ada roh, barulah perancangannya dapat dipenuhi dengan perisian yang sesuai, yang dikehendaki untuk hasilkan outcomes yang dihasratkan.
Merujuk kepada dokumen yang disediakan oleh JAKIM, apa yang dimaksudkan ‘menjaga harta’ termasuklah:
- Memelihara HARTA adalah melindungi HARTA negara dan masyarakat daripada kehancuran, penyelewengan, penindasan dan apa jua bentuk ketidakadilan.
- Penjagaan HARTA turut melibatkan aspek penjagaan alam sekitar dan khazanah alam.
- Sekalipun seseorang itu memiliki HARTA yang banyak ia dilarang daripada membazirkan atau merosakkannya.
- Amalan berzakat, bersedekah dan menderma dapat menjamin ekonomi dan sosial kepada individu dan masyarakat serta kesejahteraan sejagat
JAKIM turut kaitkan maqasid ini dengan sebilangan besar teras SDG anjuran UNDP dan empat dari tujuh tunggak utama DKB 2030, iaitu berkaitan:
- Ekosistem perniagaan
- Pertumbuhan ekonomi
- Peluang pekerjaan
- Keterangkuman wilayah
Sebagai kayu pengukur pemilikan, pembangunan dan kemajuan ekonomi bangsa Melayu, ASWJ, kaedah penarafan prestasi universal ini digunakan disamping lain-lain penarafan berkaitan QoL, daya-saing, kesejahteraan dan kemakmuran. Turut disenaraikan ialah nilai pertumbuhan sumbangan zakat dan nilai pelaburan waqaf dikalangan ASWJ.
PKM-2065 ini mensasarkan, ekonomi dan kemakmuran negara berkembang dengan kekuatan berikut serta kekuatan sektor ijtima’j:
- GDP: USD 2.0T (IMF unjurkan 1.2T)
- GDP/kapita bangsa Melayu: USD 60,000
- Unjuran zakat tunai & harta: RM 12 Billion setahun
- Unjuran pelaburan waqaf: RM 12 Billion
- Indeks dayasaing negara: 10 teratas (MPC sasarkan tangga ke-11)
- Indeks QoL: 10 teratas
- Indeks Work-Life Balance: 10 teratas (kini bawah 20)
- Indeks Kemakmuran Legatum: 10 teratas (kini di tangga ke-43 dunia)
Ingatlah, menjelang tahun 2065 hampir 80% penduduk negara ini adalah bumiputera. Ini bermakna, lebih 60% dari unjuran 42 juta penduduk ketika itu adalah bangsa Melayu. Hatta, kemakmuran negara ini terletak di atas bahu kita semua, sekitar 24 juta penduduk keturunan Melayu.
Sebagai penutup dan mengingatkan kita Dasar Induk Negara yang pernah kerajaan gubal dan manfaatkan majoriti kita bangsa Melayu, iaitu DEB 1970, saya paparkan matlamat utama dan teras Dasar itu, yang didampingkan dengan matlamat dan teras PKM-2065 ini.
DEB 1970, Dasar Induk Negara:
I. Matlamat Utama:
- Basmi kemiskinan
- Kuncupkan jurang kemakmuran antara kaum dan antara wilayah
II. Teras Utama:
- Ujudkan peluang pekerjaan
- Ujudkan peluang perniagaan
- Ujudkan peluang pemilikan ekuiti
PKM-2065:
I. Matlamat Utama:
- Julang martabat & kesejahteraan Bangsa Melayu
- Makmurkan masyarakat Melayu di mana jua mereka di alam semesta ini.
- Jaga kedaulatan Tanahair ini
II. Teras Utama:
- Menjaga Agama: Semua Bangsa Melayu adalah ASWJ
- Menjaga Kehidupan: Penarafan Indeks QoL Patuh-syariah 10 Teratas Dunia, Indeks Work-Life Balance, 10 terbaik dunia
- Menjaga Akal: Pendidikan Islamik bersepadu & Permata Pintar, Penarafan pelbagai indeks berkaitan pendidikan, dalam kelompok 10 terbaik dunia
- Menjaga Zuriat: Semua anak bangsa bebas gejala 3D, Semua ASWJ bersifat mahmudah
- Menjaga Ekonomi: GDP: USD 2.0T
- GDP/kapita:USD 60,000
- Zakat tunai & harta: RM 12 Billion setahun
- Pelaburan waqaf: RM 12 Billion
- Indeks dayasaing negara: 10 teratas
- Indeks Kemakmuran Legatum:10 teratas
Dato Dr Hasan Mad
Setiausaha Agung MPM
CEO The Global Academy @ MPM
30 Julai 2025 (5 Safar 1447H)
The most important factor to achieve your targeted goals is missing! Nothing can be achieved if education is not given priority!
Topic on menjaga akal was discussed in the earlier article, the 3rd maqasid.
This article shall be read together with the other 4.