Oktober 5, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Pelan Kemakmuran Melayu 2065: Tanggung-jawab Menjaga Akal (Hifz al-Aql)

Ini adalah siri rencana saya yang kelima dalam usaha membina kerangka Pelan Kemakmuran Melayu 2065 (PKM2065), sebelum memasuki bab pembinaan rekabentuk, pengisian dan pelan tindakannya.

Sekadar mengulangi matlamat utama penggubalan PKM2065 ini ialah:

Pertama: Menjulang martabat dan kesejahteraan bangsa Melayu, sebagai bangsa universal (universal Malays) yang berdaulat, bertamadun dan bermaruah;

Kedua: memakmurkan masyarakat bangsa Melayu dimana jua mereka berada di alam semesta (universe) ini.

Hatta, PKM2065 ini bukanlah pelan bagi bangsa Melayu di bumi Tanah Melayu ini saja.

Teras utamanya pula, iaitu sesuatu yang boleh disukat pencapaiannya,  berdasarkan setiap pasak maqasid syariah.

Rencana ini memfokas kepada tanggung-jawab bangsa Melayu, sebagai Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ), menjaga akal (hifz al-Aql). iaitu turutan tertib pasak maqasid syariah ketiga. 

Merujuk kepada dokumen yang disediakan oleh JAKIM, apa yang dimaksudkan ‘menjaga akal’ ialah:

  • Memelihara AKAL daripada kerosakan dan memupuknya dengan nilai-nilai mulia dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.
  • Unsur yang menjurus kepada kehilangan dan merosakkan AKAL serta pemikiran perlu dibanteras dan dihalang dengan segera.
  • Penyediaan infrastruktur dan sistem pendidikan holistik serta terbaik menjadi tanggungjawab kerajaan bagi membolehkan setiap rakyat mendapat pendidikan sempurna.
  • AKAL merupakan lambang kewarasan manusia. Individu yang tiada akal tidak akan dapat berfikir dengan rasional. Ia boleh membawa kepada ketidaksejahteraan kepada dirinya sendiri mahupun kepada ahli keluarga dan masyarakat.

JAKIM turut kaitkan skop maqasid ini dengan dua (2) dari tujuh-belas (17) tunggak Sustainable Development Goals (SDG) yang direncanakan oleh UNDP.

Malah, JAKIM turut kaitkan maqasid ini dengan satu (berkaitan modal insan) dari tujuh (7) teras yang terkandung dalam kertas dasar Wawasn Kemakmuran Bersama 2030 yang digubal oleh Kerajaan Pakatan Harapan  dan dilancarkan pada Oktober 2019.

Ada begitu banyak dokumen yang kaitkan usaha menjaga akal dengan betapa pentingnya bangsa Melayu, sebagai ASWJ, menjaga akal, iaitu yang berkaitan dengan ilmu, pengetahuan, kemahiran, kebijaksanaan, malah berkaitan juga dengan jati-diri dan keupayaan mempasakkan kaki ke bumi disamping atau tatkala berusaha memanjangkan akal menggapai ilmu setinggi langit. Maksudnya, bangsa Melayu hendaklah bernafsu tinggi menggapai ilmu setinggi langit tetapi tidak terlepas dari pegangan adat-resam dan nilai budaya bangsa dan sebagai ASWJ.

Saya kongsikan di sini diantara usaha beberapa kelompok warga MPM yang sedang giat memperkasakan sistem pendidikan yang Islamik.

Da diantara mereka ini sudah mulakan langkah ke arah itu dan telah hasilkan kejayaan yang menajubkan, seperti:

  • Sistem pendidikan Permata Pintar, dengan opsyen program pendidikan, latihan atau asuhan bakat, dalam pelbagai bidang, untuk anak-anak yang diklassifikasikan sebagai PERMATA.
  • Sistem pendidikan integrasi berteraskan ilmu tahfiz dengan beberapa jenama seperti ulul albab, imtiaz dan thalatha-tisa’. Ia mensepadukan asas pendidikan tahfiz, untuk lahirkan para hafazan yang kemudiannya diintegrasikan dengan beberapa opsyen pendidikan samada akademik, TVET, bakat, pengurusan eksekutif mahupun kepolisan atau ketenteraan.
  • Sistem latihan ketahanan mental dan fizikal bagi bina jati-diri atau resilience seseorang itu kepada pelbagai cabaran dan ujian dalam memainkan peranan masing-masing, agar mereka tidak hilang arah, kekal kental bersifat mahmudah, bila berdepan cabaran atau ujian. Hendaknya mereka jauhi atau tidak terjebak mendakap sifat-sifat mazmummah.

Berdasarkan beberapa petunjuk atau indeks global berkaitan pendidikan dan latihan, secara amnya, prestasi Malaysia adalah memberangsangkan, kecuali dalam beberapa bidang tertentu. Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada beberapa petanda yang mula cetus kebimbangan.

Prestasi pendidikan bangsa Melayu di Tanah Melayu sendiri, secara puratanya rendah sedikit berbanding purata nasional, kerana sistem pendidikan kebangsaan lambat dibangunkan. Usaha yang lebih agresif oleh kerajaan memajukan sistem pendidikan kebangsaan, hanya ketara diawal tahun 1960an bagi peringkat menengah dan awal tahun 1970an pendidikan tinggi. Jika dibandingkan dengan sistem pendidikan aliran Inggeris yang sudah berusia ratusan tahun, manakala sistem pendidikan vernakular jauh lebih awal dibangunkan oleh masyarakat Tionghua yang bermastautin di negara ini sejak zaman kedatangan Laksamana Cheng Ho lagi, tentunya jurang pendidikan bangsa Melayu berbanding lain-lain kaum di negara ini masih ketara. 

Apa pun, saya kongsikan di sini diantara rujukan yang wajar digunapakai dalam merencana agenda menjaga akal, hatta, memperkasakan agenda pendidikan bangsa Melayu sebagai ASWJ.

Sumber RujukanTahun & Bidang RujukanRanking Malaysia @ Antarabangsa
Coursera Global Skill Index (GSI)2019 (Bisnes)47/60
(Teknologi)47/60
(Data Science)42/60
EF English Proficiency Index20119/44
202128/112
IMD World Talent Ranking201515/61
202128/64
INSEAD Global Talent Competitiveness Index201337/103
202134/134
Mastercard Financial Literacy Index20156/17 (Asia-Pacific)
OECD Programs for International Students Assessment2012 (Maths) 201552/65 44/72
2012 (Science) 201553/65 46/72
2012 (Reading) 201549/65 49/72
Universitas 21: U21 Ranking for National higher Education System201236/50
202027/50
UNESCO Top 20 Countries for International Students201412/World
Legatum Index of Prosperity on Education202346/167

Jika dirujuk kepada beberapa indeks utama dalam beberapa bidang pendidikan strategik seperti kemahiran, bakat, penguasaan Bahasa Inggeris dan ranking IPT, secara amnya ada petanda kurang selesa untuk dihadam.

Indeks berkaitan kemahiran (skill) misalnya, ranking negara agak jauh ke bawah (47/60) berbanding kebanyakan negara-negara dunia yang mengejar kemajuan industri bernilai tinggi.

Hal yang sama berlaku kepada bidang pendidikan berkaitan bakat (talent).  Berlaku penurunan ranking yang amat signifikan, dari kedudukan 15/61 dalam tahun 2015 , turun ke ranking 28/64 dalam tahun 2021. Salah satu puncanya ialah berlaku gelombang brain drain yang amat ketara dikalangan bakat, berhijrah ke bumi yang lebih menghargai bakat mereka, terutama di rantau negara RCEP (ASEAN + 5).

Bagi anak-anak di sekolah pula, diantara petanda kurang selesa ialah keupayaan menguasai Bahasa Inggeris. Ia menurun amat membimbangkan dari kedudukan 9/44 kepada 28/112 dalam masa sepuluh tahun, 2011 – 2021. Isunya bukan berkaitan ketaksuban terhadap Bahasa Inggeris, tetapi lebih kepada agiliti dikalangan pelajar dalam menguasai bahasa-bahasa ilmu dan bahasa-bahasa ekonomi dunia, jika bangsa Melayu hendak menjadi bangsa diaspora, bangsa global yang berjaya.

Berdasarkan beberapa hujah itu, bangsa Melayu wajiblah bertekad kental, berjiwa waja dan berani sasarkan prestasinya untuk berada dalam kelompok indeks global 10 teratas, dalam apa juga bidang berkaitan pendidikan, kemahiran, bakat, penguasaan bahasa-bahasa asing, serta lain-lain ilmu dan bakat yang diperlukan.

Sebagai penutup dan mengingatkan kita Dasar Induk yang pernah kerajaan gubalkan untuk manfaat kita bangsa Melayu, iaitu DEB 1970, saya paparkan matlamat utamanya dan teras Dasar itu, yang didampingkan dengan matlamat dan teras PKM2065 ini.

DEB 1970, Dasar Induk Negara:

I. Matlamat Utama:

  • Basmi kemiskinan
  • Kuncupkan jurang kemakmuran antara kaum dan antara wilayah

II. Teras Utama:

  • Ujudkan peluang pekerjaan
  • Ujudkan peluang perniagaan
  • Ujudkan peluang pemilikan ekuiti

PKM2065:

I. Matlamat Utama:

  • Julang martabat & kesejahteraan Bangsa Melayu
  • Makmurkan masyarakat Melayu di mana jua mereka di alam semesta ini.

II. Teras Utama:

Menjaga Agama:              Semua Bangsa Melayu adalah ASWJ

Menjaga Kehidupan:         Penarafan Indeks QoL Patuh-syariah 10 Teratas Dunia  

Menjaga Akal:                 Sistem pendidikan Islamik bersepadu

Penarafan indeks berkaitan pendidikan dalam   kelompok 10 terbaik dunia

Menjaga Zuriat:               (Rencana berikutnya)

Menjaga Ekonomi:            (Rencana berikutnya)

Dato Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM

CEO The Global Academy @ MPM

13 Julai 2025 (17 Muharam 1447H)