November 17, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Pelan Kemakmuran Melayu 2065: Tanggungjawab Menjaga Ad-Din Sebagai Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Oleh: Dato’ Dr Hasan Mad
Setiausaha Agung MPM – CEO The Global Academy @ MPM
7 Julai 2025 | 11 Muharam 1447H

Ini adalah siri rencana saya yang ketiga dalam usaha mengajak semua bangsa Melayu bersama membina Pelan Kemakmuran Melayu 2065 (PKM2065).

Matlamat utama kita menggubal PKM2065 ini ialah:

Pertama, menjulang martabat dan kesejahteraan bangsa Melayu, sebagai bangsa universal (universal Malays)” yang berdaulat, bertamadun dan bermaruah; dan

Kedua, memakmurkan masyarakat bangsa Melayu dimana jua mereka berada di alam semesta (universe) ini. Hatta, PKM2065 ini bukanlah pelan bagi bangsa Melayu di bumi Tanah Melayu ini saja.

Teras utamanya pula, iaitu sesuatu yang boleh disukat pencapaiannya, dibina berdasarkan setiap matlamat maqasid syariah.

Rencana ini memfokas kepada tanggung-jawab menjaga ad-din iaitu tiang-seri atau pasak maqasid syariah yang ulung dalam turutan tertib lima maqasid itu.

Dalam penyediaan Indeks Syariah yang dilancarkan awal tahun 2015, JAKIM ada mmeperincikan kandungan setiap maqasid itu. Pun begitu, bagi memudahkan lagi kefahaman kita semua mengenai maqasid ini, saya kongsikan petikan teks Khutbah Jumaat siaran Jabatan Agama Islam Selangor, yang dikutbahkan di semua masjid di Negeri Selangor pada Jumaat 4 Julai 2025, bersamaan 8 Muharam 1447H.

Untuk menjaga ad-din secara sempurna, orang Melayu beragama Islam, wajiblah berpegang kepada fahaman sebagai ahli sunnah wal-jamaah (ASWJ). Dengan yang demikian, kita juga seia-sekata, membina budaya “the common mind” sesama kita, dalam menjaga hal ehwal agama Islam dan membina kemakmuran.

Akidah ASWJ merupakan pegangan majoriti umat Islam di seluruh dunia, khususnya di rantau Asia Tenggara termasuk negara kita, Malaysia. Bahkan, ia telah ditetapkan sebagai pegangan rasmi umat Islam di negara ini, serta ‘universal Malays’ yang menjadi diaspora di merata dunia, berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, pandangan para mufti serta ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh negeri.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah memutuskan dengan jelas bahawa:

“Umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.”

Istilah “Ahli Sunnah Wal Jamaah” ini sebenarnya berasal daripada perkataan ahlus sunnah yang bermaksud golongan yang berpegang kepada sunnah Nabi SAW, dan al-jama‘ah yang merujuk kepada golongan sahabat dan para pengikut mereka yang istiqamah di atas jalan Baginda SAW. Maka, Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ialah mereka yang berpegang teguh dengan ajaran Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang difahami dan diamalkan oleh para sahabat Baginda, sehinggalah kepada kita hari ini.

Dengan yang demikian, sebagai ASWJ, kitalah yang menjaga syiar Islam. Kitalah yang golongan yang mengutamakan perpaduan dan kesatuan, dan dalam masa yang sama, jauhi permusuhan dan perpecahan.

Di Negeri Selangor misalnya, Kerajaan Negeri dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, telah mewartakan Fatwa Berkaitan ASWJ pada 17 Jun 2025. Fatwa tersebut dengan jelas menyatakan bahawa ASWJ dari sudut akidah dan tauhid, mengikut manhaj Imam Abu al-Hasan al[1]Ash’ari, Imam Abu Mansur al-Maturidi, ulama al-Asha’irah dan al-Maturidiah.

Dari sudut syariah dan fiqah, sesuatu hukum ditentukan berdasarkan pegangan mazhab Imam al-Shafi‘i, atau dalam keadaan tertentu, boleh juga merujuk kepada pandangan Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali, atau ijtihad hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa. Manakala dari sudut akhlak dan tasawuf, aliran ini mengikut manhaj Imam Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali atau ulama sufi yang muktabar.

Tafsiran ini berasaskan pegangan dan pandangan yang kukuh, sebagaimana yang telah diterima oleh majoriti ulama dan umat Islam sejak zaman berzaman. Ia merupakan fahaman serta amalan agama yang diwarisi daripada Rasulullah SAW dan para sahabat Radiallahuanhum, seterusnya disampaikan oleh para ulama muktabar dari kalangan generasi salaf (iaitu generasi awal Islam termasuk para sahabat, tabi‘in dan tabi‘ tabi‘in) dan khalaf (iaitu generasi selepas salaf yang meneruskan tradisi keilmuan Islam) hingga ke hari ini. Ia juga disifatkan sebagai kesepakatan yang menyelamatkan ummah sejak zaman berzaman.

Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radiallahuanhu, beliau mendengar Rasulullahi SAW bersabda:

“Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat di atas kesesatan. Maka apabila kamu melihat perselisihan, maka hendaklah kamu bersama golongan yang majoriti (as-sawād al-a‘ẓam).

(Riwayat Ibnu Majah).

Selain itu, Imam Murtadha al-Zabidi juga ketika mensyarahkan kitab Ihya’ Ulumiddin ada menyebutkan:

“Apabila disebut Ahli Sunnah Wal Jamaah secara mutlak, maka yang dimaksudkan dengan golongan ini adalah al-Asha’irah dan al-Maturidiah”.

Para ulama dan umara ASWJ dengan tafsiran ini telah memainkan peranan penting dalam pembangunan institusi pendidikan, pentadbiran Islam, institusi kehakiman, pelaksanaan jihad yang sahih, amar makruf nahi mungkar dan pengembangan ilmu Islam seperti akidah, fiqah, tasawuf, qiraat, hadis dan lain-lain.

Sejak kedatangan Islam di Tanah Melayu, para sultan, ulama, qadi dan rakyat jelata telah berpegang dengan ASWJ. Pada hari ini, hampir semua negeri di Malaysia memiliki tafsiran yang sama dengan sedikit perbezaan pada sudut bahasa sahaja. Hakikatnnya, Itulah realitinya, semua akur berpegang, mengamalkan dan menyebarkan pegangan dan amalan ASWJ serta menjadikannya sebagai syiar agama.

Justeru itu, mentaati Ulil Amri adalah suatu kemestian selagi mana tidak disuruh melakukan maksiat dan kemungkaran. Semua perkara baik yang mempunyai maslahat yang disuruh mahupun yang ditetapkan hendaklah diikut dan dituruti.

Manhaj al-Ashaírah dan al-Maturidiah merupakan pegangan yang sederhana, dan bukanlah manhaj yang sempit dan ekstrem sehingga mudah mengkafirkan golongan selainnya. Manhaj al-Ashaírah dan al-Maturidiah adalah manhaj yang sangat luas merangkumi ulama dan umat Islam daripada pelbagai mazhab dan aliran fiqah serta tasawuf. Imam Abu al-Hasan al-Ashári sendiri dengan tegas melarang sikap kafir mengkafir sesama kiblat.

Sekiranya istilah ASWJ tidak ditakrifkan secara jelas dan menyeluruh, dibimbangi istilah ini akan disalahguna oleh golongan yang membawa ajaran menyimpang seperti Syiah, Arqam, Hizbut Tahrir, liberalisme, pluralisme agama dan seumpamanya. Mereka mungkin mendakwa termasuk dalam kelompok ASWJ, sedangkan hakikatnya mereka menolak prinsip-prinsip utama yang dipersetujui oleh jumhur ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sepanjang zaman.

Disamping itu, tafsiran ini sebenarnya tidaklah mengeluarkan mana-mana kumpulan atau aliran lain yang sama manhaj dan kefahaman dengan al-Ashaírah dan al[1]Maturidiah daripada ASWJ. Selagi mana sesuatu aliran itu mengikut manhaj yang sama walaupun berlainan nama dan nisbah, selagi itu aliran tersebut adalah ASWJ.

Apabila sesama kita para insan rabbani, ASWJ, yang anggotai masyarakat madani, yang sepakat membina kemakmuran, maknanya sesama kita sudah seia-sekata membina budaya the common mind. Hatta dalam kita membangunkan apa juga agenda Melayu, kita mempunyai roh yang sama.

Hanya apabila akidah kita benar-benar kukuh sebgai ASWJ dan diperkasakan lagi dengan lain-lain tiang-seri atau pasak maqasid syariah, InshaAllah kita akan lebih rentang (resistant and resilient) dan anjal (agile) hadapi apa jua dugaan dan cabaran. Pastinga, usaha merekayasa agenda yang ada dan mengisi agenda kemakmuran bangsa akan menjadi lebih telus dan nyata, kerana ia adalah agenda ibarat jasad yang ada roh.

Sebagai perkongsian dan mengingatkan kita Dasar Induk yang pernah kerajaan gubalkan untuk manfaat kita bangsa Melayu, iaitu DEB 1970, saya paparkan matlamat utamanya dan teras Dasar itu, yang didampingkan dengan PKM2065 ini.

DEB 1970, Dasar Induk Negara:

  1. Matlamat Utama:
    • Basmi kemiskinan
    • Kuncupkan jurang kemakmuran antara kaum dan antara wilayah
  2. Teras Utama:
    • Ujudkan peluang pekerjaan
    • Ujudkan peluang perniagaan
    • Ujudkan peluang pemilikan ekuiti

PKM2065:

I. Matlamat Utama:

  • Julang martabat & kesejahteraan Bangsa Melayu
  • Makmurkan masyarakat Melayu di mana jua mereka di alam semesta ini

II. Teras Utama: Menjaga tunjang utama Maqasid Syariah

  • Menjaga Agama:              Bangsa Melayu semuanya adalah ASWJ
  • Menjaga Kehidupan:        (Rencana berikutnya)
  • Menjaga Akal:                 (Rencana berikutnya)
  • Menjaga Zuriat:               (Rencana berikutnya)
  • Menjaga Ekonomi:           (Rencana berikutnya)