Pada 7 Mei 2025, Majlis Perundingan Melayu (MPM) telah mengadakan satu perbincangan penting bersama Saudara Nazrul Mubin Hamdan, mewakili kumpulan pemikir Pujangga Baru. Perbincangan tersebut membabitkan tiga inisiatif strategik bertaraf serantau yang memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju agenda keilmuan dan pembangunan Islam di kalangan negara-negara ASEAN.
1. Pelawaan UMS sebagai Hos Anugerah Buku Negara – Kategori ASEAN
MPM menyambut baik saranan untuk menjadikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai tuan rumah bagi penganjuran Anugerah Buku Negara kategori baharu iaitu ASEAN Academics Writers Award. Anugerah ini turut membuka peluang kepada kategori tambahan seperti:
ASEAN Students Writers Award
ASEAN Academic Journalism Award
dan lain-lain yang berkaitan.
Cadangan ini bertujuan mengangkat hasil penulisan dan pemikiran akademik dari rantau ASEAN ke peringkat lebih tinggi serta memperkukuh jaringan ilmu antara universiti.
Lebih daripada itu, MPM mencadangkan agar UMS mengambil inisiatif untuk menganjurkan dua acara berskala serantau yang berkait rapat dengan agenda tersebut:
ASEAN University Students Conference
ASEAN Universities Conference
MPM menyerahkan kreativiti dan daya usaha kepada UMS untuk memurnikan bentuk program ini. Sekiranya dipersetujui, permohonan rasmi perlu dikemukakan oleh pihak UMS kepada YBM Menteri Pengajian Tinggi (KPT) bagi mendapatkan restu dan peruntukan penganjuran.
MPM akan mengutus surat pelawaan rasmi kepada UMS dan membantu memudahcara urusan dengan pihak KPT. Ini merupakan antara sumbangan intelektual dan strategik Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh YAB Perdana Menteri.

2. 2nd International Conference on Islamic Education: Membina Jambatan Pendidikan Islam ASEAN
MPM turut membentangkan hasrat untuk menganjurkan Persidangan Pendidikan Islam Antarabangsa Kali Kedua, kali ini dengan kerjasama Yayasan Ulul Albab, ISTAC, dan IIUM.
Konferens sehari ini disasar untuk dianjurkan pada tahun ini, dengan persetujuan ia dapat dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri. Antara objektif utama adalah:
Mempamerkan model pendidikan Islam yang progresif dan inklusif
Menghimpunkan institusi pendidikan dari TASKA hingga ke IPT
Memperkukuh kerjasama pendidikan Islam serantau ASEAN
Ketua pasukan MPM bagi konferens ini ialah Dr Yahya Mat Hassan, manakala Tan Sri Idris Jusoh mengetuai pasukan dari Yayasan Ulul Albab.
3. Kerjasama Malaysia-Turkiye Dalam Instrumen Wakaf – Ke Arah Wakaf REIT
Berbekalkan lawatan Saudara Nazrul Mubin ke Turkiye bersama Rektor IIUM, MPM turut mencadangkan agar peluang kerjasama wakaf dengan Perbadanan Wakaf Turkiye dapat diterokai.
MPM berhasrat membina satu instrumen wakaf berskala besar yang mempunyai impak ekonomi dan sosial tinggi. Fokus utama ialah:
Pembentukan struktur Wakaf REIT (Real Estate Investment Trust Berasaskan Wakaf)
Mengintegrasikan aset wakaf ke dalam sistem kewangan moden
Menjana pendapatan tetap untuk tujuan pendidikan, kesihatan dan pembangunan komuniti
Kerjasama ini dilihat bukan sahaja mampu memperkasakan sistem wakaf negara, malah membuka ruang pelaburan wakaf secara profesional dan mampan antara Malaysia dan Turkiye, dua negara Islam dengan sejarah panjang dalam pembangunan ilmu dan peradaban.
Kesimpulanya
Perbincangan antara MPM dan Pujangga Baru ini menjadi titik mula kepada gerakan pemikiran dan tindakan yang menyatukan ilmu, budaya dan wakaf sebagai teras pembangunan masa depan. Inisiatif-inisiatif ini memperlihatkan betapa pentingnya kesepaduan antara universiti, kerajaan, dan masyarakat sivil dalam menjulang Malaysia sebagai rakan strategik ASEAN dan dunia Islam dalam bidang pendidikan dan ekonomi wakaf.
MPM – Menyemai Akar Ilmu, Membina Wadah Bangsa.

More Stories
Keagungan Ilmu Pelayaran Dan Perkapalan Melayu: Warisan Ilmiah Yang Dipinggirkan, Jati Diri Yang Perlu Disemarakkan Semula
Before 1960 – The Forgotten Aspiration of Sulu and Mindanao to Join Malaysia
Hilangnya Jati Diri dalam Pentadbiran Madani Bila “Toilet of the Year” Lebih Berharga daripada Bahasa Kebangsaan