“Jika dieja Menara Kuala Lumpur dengan tulisan Jawi, terasa gah dan megahnya. Tapi jika Kuala Lumpur Tower ditulis dalam Jawi, terasa janggal dan peliknya.”
Itulah antara renungan paling halus, namun sangat dalam maksudnya. Ia bukan sekadar isu tulisan, tetapi cerminan kehilangan jiwa terhadap bahasa dan budaya sendiri.
Tulisan Jawi bukan sekadar satu sistem tulisan. Ia adalah lambang ketamadunan Melayu-Islam yang telah bertapak sejak ratusan tahun, menjadi nadi kepada surat-surat diraja, catatan sejarah, hukum-hakam Islam dan ilmu pengetahuan. Dari istana hingga ke surau, dari papan tanda hingga ke madrasah, Jawi pernah menjadi wajah sebenar bangsa ini.
Namun, hari ini, kehilangan tulisan Jawi seiring dengan terhakisnya rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu sendiri. Kita telah digerakkan perlahan-lahan untuk berasa ‘moden’ bila menukar nama dan istilah dalam bahasa Inggeris. Lebih tragis lagi, orang Melayu sendiri penjawat awam, ahli politik, pemimpin korporat menjadi ejen yang menyambung kerja-kerja penjajahan yang tidak sempat diselesaikan oleh British dahulu.

Kuala Lumpur Tower: Simbol Jiwa Yang Terjajah
Sukar untuk difahami logik di sebalik penukaran nama “Menara Kuala Lumpur” kepada “Kuala Lumpur Tower”. Tiada nilai tambah ekonomi pun, tiada kelebihan dari segi pemasaran global. Tapi itulah hakikatnya, kita telah dijajah pada minda. Bila nama dalam bahasa Inggeris digunakan, terasa gah dan moden, walhal bila dieja “Kuala Lumpur Tower” dalam tulisan Jawi, jadi menggelikan dan pelik pula.
Ironinya, bahasa Melayu yang dahulu mengangkat martabat tamadun, kini dianggap ‘tidak ekonomi’, ‘tidak global’, ‘ketinggalan zaman’. Lihat bagaimana nama “Kompleks Pertama” ditukar menjadi “Pertama Complex”, seolah-olah dengan sedikit ‘bedak Inggeris’ terus naik tarafnya. Inilah mentaliti anggapan bahawa bahasa penjajah lebih tinggi nilai daripada bahasa bangsa sendiri.
Tulisan Jawi – Mangsa Halus Penjajahan Budaya
Bila Jawi ditinggalkan, bahasa Melayu kehilangan roh dan akar sejarahnya. Jawi bukan sekadar alat, ia simbol warisan. Bila tulisan ini tidak lagi dipelajari di sekolah kebangsaan, tidak lagi dipaparkan di papan tanda, tidak lagi digunakan dalam surat rasmi, maka perlahan-lahan, ia ditolak ke tepi, dianggap eksotik, tradisional, usang.
Ini adalah jarum halus yang menusuk ke dalam sistem pendidikan dan budaya kita. Penjajah tidak perlu lagi memaksa, kita sendiri yang dengan rela menyambut dan mengekalkan dasar-dasar warisan kolonial. Bahkan lebih menyedihkan apabila sesetengah pihak mencadangkan supaya nama “Keretapi Tanah Melayu” juga digugurkan kerana ‘Tanah Melayu sudah tidak wujud’. Maka mahu digantikan dengan nama-nama canggih seperti “Malaysia Express Train”.
Jangan Bangga dengan ‘Banana Fritters’ Bila Kita Ada Pisang Goreng
Kita menyambut sushi, sashimi, takoyaki, tanpa terjemahan. Kita sebut croissant dan baguette tanpa rasa janggal. Tapi kenapa bila kita menjual “pisang goreng”, kita malu dan tukar namanya jadi “banana fritters”? Kenapa kita bangga menamakan tempat dengan istilah asing sedangkan George Town boleh saja dinamakan Tanjung, dan Port Dickson sebagai Pantai Dermaga?
Nama bukan sekadar label. Ia adalah wajah budaya. Nama adalah naratif yang membina memori dan rasa bangga. Bila semua tempat, acara, bangunan dan produk dilabel dalam bahasa Inggeris, maka lambat-laun, jiwa bangsa ini akan percaya bahawa hanya Inggeris itu bernilai.
Menara Gah, Tapi Jiwa Kosong
Menara Kuala Lumpur tetap berdiri megah, tapi namanya kini kehilangan roh. Apakah kita mahu anak cucu kita nanti hanya kenal tempat ini sebagai KL Tower, tanpa tahu ia pernah dinamakan “Menara Kuala Lumpur” sebuah nama yang ada identiti dan jiwa?
Jika segala urusan rasmi dan jenama dalam negara pun perlu ‘dilondongkan’, maka tidak mustahil nanti, seluruh negara ini akan menjadi sekadar “a former Malay land with a colonial soul.”
Bangkitkan Jawi, Pulihkan Jiwa
Jika benar kita mahu memartabatkan bahasa Melayu, maka Jawi mesti diangkat semula sebagai tulisan kebangsaan. Kita mesti berani menamakan bangunan, produk dan program dalam bahasa Melayu, dan tidak malu dengannya. Kita mesti sedar, bahasa adalah perisai terakhir jati diri. Bila tulisan Jawi gugur, maka gugurlah satu-satunya akar sejarah yang menghubungkan kita dengan warisan gemilang.
Bahasa Melayu tidak rendah nilai ekonominya. Yang rendah ialah jiwa kita sendiri jika kita terus malu dengan nama dan tulisan sendiri.
Bahasaku, oh bahasaku,
Layukah dikau di sangkar madu?

More Stories
Keagungan Ilmu Pelayaran Dan Perkapalan Melayu: Warisan Ilmiah Yang Dipinggirkan, Jati Diri Yang Perlu Disemarakkan Semula
Before 1960 – The Forgotten Aspiration of Sulu and Mindanao to Join Malaysia
Hilangnya Jati Diri dalam Pentadbiran Madani Bila “Toilet of the Year” Lebih Berharga daripada Bahasa Kebangsaan