April 1, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Dalam Kenangan: Tun Abdullah Ahmad Badawi – Seorang Pemimpin Berjiwa Pendidikan dan Islam

Saya mula mengenali nama Tun Abdullah Ahmad Badawi, atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, pada tahun 1972 semasa berada di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Di satu sudut perpustakaan kampus itu, ketika menyelak helaian rencana tentang kegiatan GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung), nama beliau terpampang sebagai salah seorang pemimpin utamanya, di samping nama besar lain seperti Tun Dr Siti Hasmah. Ketika itu, nama Pak Lah mula meniti perhatian saya sebagai tokoh muda yang bersungguh dalam agenda pembangunan bangsa melalui pendidikan.

Kenangan saya terhadap GPMS sebenarnya bermula lebih awal, ketika di Tingkatan 5 pada tahun 1968 di Sekolah Menengah Jalan Chenderong, Teluk Intan. Cikgu A. Hamid, guru penasihat GPMS kami, begitu aktif menyuntik semangat kepimpinan serta kesedaran tentang peri pentingnya pendidikan untuk kemajuan. Beliau kerap mengadakan pertemuan dan diskusi yang mengasah jati diri dan idealisme pelajar Melayu agar tidak mudah hanyut dengan cabaran zaman.

Pada waktu itu, nama-nama besar dalam GPMS di peringkat kebangsaan tidak banyak dikenali. Hanya selepas saya menjadi guru pada tahun 1976 dan terlibat dalam aktiviti GPMS peringkat negeri Perak bersama rakan pendidik seperti Cikgu Dalail dan Cikgu A. Raof, barulah saya menyedari bentuk struktur dan corak kepimpinan organisasi GPMS. Banyak aktiviti anjuran GPMS pada masa itu diadakan secara gabungan antara beberapa buah sekolah, dengan tumpuan kepada kursus kepimpinan dan pemantapan sahsiah pelajar Melayu. Kursus-kursus ini lazimnya dikendalikan di bawah pimpinan pengerusi negeri, antaranya Cikgu Zainal Noor.

Saya masih ingat, suatu ketika dahulu saya pernah mengikuti kursus perkaderan di markas GPMS di Kuala Lumpur, yang terletak di atas bukit berhadapan ibu pejabat JKR dan bersebelahan Bank Negara. Saya bermalam dua hari di situ bersama rakan-rakan, mengikuti pelbagai ceramah berkenaan pendidikan, politik semasa, dan wawasan perjuangan GPMS. Namun kini, bangunan itu sunyi dan tidak lagi berfungsi sebagai markas – meninggalkan hanya kenangan yang tidak ternilai dalam sejarah perjuangan pendidikan Melayu.

Sebagai seorang guru, saya juga turut aktif dalam arena politik. Pernah suatu ketika, saya memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Cawangan di Bahagian Kamunting, Perak. Ketika itu, negara sedang melalui fasa pergelutan politik dalam UMNO, antara Kumpulan A dan B – satu fasa yang tidak mudah difahami oleh pemimpin akar umbi seperti saya kerana keterbatasan akses kepada maklumat. Tiada media sosial, dan maklumat hanya sampai melalui akhbar dan khabar angin.

Namun, satu kenangan kekal terpahat. Pak Lah pernah datang ke Taiping dalam suasana politik yang agak panas ketika itu. Semua ketua-ketua cawangan diminta berkumpul di Rumah Rehat Taiping. Beliau hadir memberikan ucapan, menjawab soalan-soalan kami dan selepas itu kami dijamu makan sebelum bersurai. Saya masih ingat, selepas itu beberapa pemimpin bahagian dan Pak Lah masuk ke sebuah bilik khas – urusan perbincangan yang hanya mereka yang terlibat mengetahuinya. Namun dari pemerhatian saya, Pak Lah tampak tenang, penuh hikmah, dan sangat diplomatik dalam bicara – seorang ahli politik yang bijaksana dan memahami denyut nadi akar umbi.

Pak Lah akhirnya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima, dan ketika itu beliau dikenali sebagai ‘Mr. Clean’ – gelaran yang mencerminkan ketelusan, kejujuran dan integriti peribadinya. Dalam Pilihan Raya Umum 2004, beliau mencipta sejarah dengan kemenangan besar – 198 daripada 220 kerusi Parlimen. Beliau memperkenalkan gagasan “Cemerlang, Gemilang, Terbilang” dan gagasan besar “Islam Hadhari” – satu pendekatan Islam progresif yang menekankan pembangunan menyeluruh berdasarkan prinsip-prinsip Islam sejati. Kementerian Pelajaran ketika itu turut merealisasikan banyak dasar pendidikan selari dengan aspirasi beliau, termasuk peningkatan mutu pengajaran dan pembangunan modal insan.

Kini, Pak Lah telah pergi meninggalkan kita. Namun jasa dan legasi beliau dalam pendidikan, kepimpinan dan usaha mendaulatkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara kekal terpahat dalam sejarah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.

Al-Fatihah.