November 17, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Persiapkan Dunia Peniaga Kecil Menjelang Ramadan-Syawal 1447H

Ramadan dan Syawal 1446 Hijriah telah berlalu, namun banyak kisah-kisah sayu yang masih terkesan di hati. Salah satu yang ingin saya ketengahkan adalah kisah para peniaga kecil anak bangsa kita sendiri yang berusaha mencari rezeki di bulan penuh keberkatan itu.

Isu besar yang timbul saban tahun bukanlah baru: pertembungan antara peniaga tanpa lesen (PTL) dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), serta rungutan peniaga sah di Bazar Ramadan yang tidak mendapat layanan sewajarnya. Menjelang Ramadan-Syawal 1447H, kita ada masa setahun untuk merancang dan memperbaiki keadaan ini. Berikut empat isu utama yang perlu kita tangani segera:

1. Budaya Budibicara dalam Pelaksanaan Undang-Undang oleh PBT

PBT ditugaskan melaksanakan undang-undang dan SOP yang ditetapkan. Namun, dalam pelaksanaan itu wujud ruang budibicara – ruang untuk mempertimbangkan kemanusiaan. Tindakan seperti yang dilakukan oleh seorang Sarjan PDRM di Pulau Pinang yang bukan saja melepaskan pencuri roti, malah membayar dendanya – itulah contoh nilai insaniah yang wajar dihayati oleh setiap penjawat awam. Tindakan sebegini bukan melemahkan undang-undang, tetapi menguatkan kepercayaan rakyat kepada sistem.

2. PTL: Tanda Stres Ekonomi Bandar

Kemunculan PTL bak cendawan selepas hujan, khususnya di bandar, bukan kerana mereka buta undang-undang. Mereka terpaksa mencuba nasib kerana tiada pilihan lain. Golongan B40 bandar semakin terhimpit, tanpa aset ekonomi kekal untuk bergantung hidup. Kita perlu melihat fenomena ini sebagai isyarat kegagalan sistem ekonomi menyantuni golongan bawah – bukan semata-mata sebagai masalah penguatkuasaan.

3. Gagalnya Ekosistem Ekonomi Bumiputera

Kewujudan ramai PTL juga menunjukkan bahawa ekosistem perdagangan bumiputera masih lemah. Terlalu banyak agensi pengupaya, tetapi hasilnya masih belum memberangsangkan. Kita boleh belajar daripada komuniti Acheh di Lembah Klang – tanpa agensi khas, mereka berjaya dominasi sektor perdagangan kecil dan runcit dengan kekuatan dalaman dan jaringan sendiri. Jika mereka boleh, mengapa kita tidak?

Sudah sampai masanya semua pihak – PBT, agensi kerajaan, persatuan peniaga – bersatu membina budaya kebersamaan minda untuk mencipta ekosistem ekonomi perdagangan yang menyokong dan membina keupayaan peniaga kecil.

4. Transformasi Konsep Bazar Ramadan

Konsep bazar Ramadan yang konservatif – hanya sediakan tapak dan daftarkan peniaga – sudah ketinggalan zaman. Kita perlu berhijrah kepada model ekonomi kreatif dan inovatif, menjadikan bazar Ramadan satu contoh kejayaan ekonomi Islam moden.

PBT tidak boleh lagi berfungsi secara silo. Era di mana pegawai kerajaan sahaja yang “tahu buat kerja” sudah berakhir. Pegawai PBT mesti bekerja bersama peniaga sebagai rakan strategik untuk membangunkan model bazar yang boleh dibanggakan dunia Islam.

Membangun Pesta Niaga yang Mensejahterakan

Kita ada masa setahun. Gunakan masa ini untuk:

Merancang Bazar Ramadan 1447H sebagai pesta niaga berimpak tinggi. Libatkan persatuan peniaga, agensi pengupaya, pelajar IPT, dan peniaga mikro. Pilih agensi pengurus acara yang hebat dari kalangan anak bangsa kita. Jadikan bazar sebagai “breeding ground” untuk lahirkan lebih ramai peniaga jalanan yang bijak – street smarters. Cetuskan suasana kemeriahan, bukan kesayuan.

Kita telah lihat bagaimana penghuni rumah PPRT boleh cemerlang menjaga lif dan mengindahkan persekitaran mereka. Ini bukti rakyat kita mampu jika diberikan ruang dan keyakinan.

Kesimpulanya

Jika DBKL dan PBT lain benar-benar mahu, mereka mampu mencipta perubahan.

Bersama kita mampu jadikan Bazar Ramadan 1447H satu model ekonomi rakyat yang memberi harapan, bukan tekanan.

Malaysia boleh.

Bangsa Melayu boleh.

Dato’ Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung, Majlis Perundingan Melayu (MPM)