April 2, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Ampun Tuanku, Subjek Tuanku Dikendali Kasar

Institusi Raja-Raja Melayu adalah sebuah entiti yang unik dalam sistem pemerintahan Malaysia. Ia bukan sekadar simbol, tetapi sebuah institusi yang wujud kerana adanya rakyat sebagai subjek di bawah naungannya. Tanpa rakyat, institusi ini kehilangan makna. Justeru, tanggungjawab utama institusi ini adalah untuk menjaga dan melindungi rakyat dalam setiap keadaan.

Namun, ampun Tuanku, dalam insiden-insiden seperti kes abang belon, abang air mineral, pak cik petai, dan mak cik nangka, subjek Tuanku telah diperlakukan dengan kasar oleh pihak berkuasa yang sepatutnya membantu pemerintahan Tuanku. Walaupun mereka adalah Peniaga Tanpa Lesen (PTL), mereka tetap manusia yang harus diperlakukan dengan adil dan berperikemanusiaan. Tidak wajar mereka dimalukan di khalayak ramai, apatah lagi dicederakan seperti yang berlaku dalam insiden abang belon yang mengalami kecederaan serius akibat pergelutan dengan pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kemuliaan Ramadan dan Kehidupan Rakyat

Insiden-insiden ini menimbulkan beberapa persoalan besar. Pertama, ia berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia, mencemarkan kesucian bulan ini dan mencerminkan kelemahan kita sebagai umat Islam dalam menghayati nilai rahmah dan kasih sayang yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Kedua, bilangan rakyat yang terpaksa berniaga sebagai PTL menunjukkan bahawa kemakmuran yang sering dilaungkan masih belum dinikmati oleh semua. Jika negara benar-benar makmur, mengapa masih ramai yang terpaksa mencari rezeki secara tidak formal? Mereka mendengar laporan bahawa belanjawan negara adalah antara yang terbaik di dunia, tetapi realiti hidup mereka tidak mencerminkan perkara tersebut.

Kerajaan juga telah menggubal pelbagai akta, termasuk Urban Renewal Act (URA), untuk membangunkan semula bandar-bandar yang uzur. Namun, pelaksanaan dasar ini menimbulkan kebimbangan kerana ramai penduduk bandar, terutamanya Bumiputera, tidak memiliki aset ekonomi yang cukup untuk bertahan. Jika keadaan ini berterusan, mereka akan terus terpinggir dan mungkin hanya layak menjadi PTL di kota yang semakin moden tetapi tidak berpihak kepada mereka.

Budaya Keganasan dalam Penguatkuasaan

Ke mana hilangnya janji pegawai PBT untuk menjalankan tugas dengan adil dan berhemah? Sejak bila semakin ramai pegawai kerajaan bertindak tanpa timbang rasa, seolah-olah dipengaruhi budaya keganasan yang tidak jauh bezanya daripada apa yang dilakukan oleh Zionis di Gaza?

Pelbagai insiden ini menuntut kita untuk menilai semula hala tuju negara dalam memastikan kesejahteraan rakyat. Jurang antara golongan kaya dan golongan bawahan semakin luas. Benar, kapitalis semakin kaya, tetapi rakyat bawahan semakin terhimpit.

Kemakmuran tidak boleh hanya diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP). Ia harus diukur seperti kekuatan rantai besi—di mana kekuatan sebenar rantai bergantung kepada komponen yang paling lemah. Begitu juga dengan negara ini, kemakmuran sebenar bergantung kepada kesejahteraan rakyat yang paling miskin dan terpinggir.

Sebagai umat Islam, bulan Ramadan seharusnya mengajar kita untuk lebih memahami dan menyayangi sesama manusia, tidak kira betapa daif atau agresif seseorang itu dalam mempertahankan haknya untuk mencari rezeki. Ada cara yang lebih berhemah untuk menangani isu PTL tanpa mencederakan atau mengaibkan mereka.

Keperluan Tindakan Segera

Sudah tiba masanya Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengarahkan semua agensi kerajaan, terutama yang berurusan dengan rakyat, untuk memastikan mereka benar-benar mengamalkan nilai yang terkandung dalam piagam pelanggan mereka. Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan datang wajar membincangkan isu ini dan memastikan Perdana Menteri memberi jaminan bahawa rakyat tidak akan lagi diperlakukan sewenang-wenangnya, walaupun mereka adalah PTL.

Rakyat arif tentang undang-undang, tetapi mereka menjadi PTL kerana desakan hidup. Kesempitan hidup mereka wajib difahami, bukan sekadar dengan retorik tetapi melalui tindakan konkrit oleh kerajaan dan agensi-agensi berkaitan.

Lebih membimbangkan, budaya kebersamaan dalam kalangan rakyat semakin luntur, terutamanya dalam pentadbiran kerajaan. Pegawai kerajaan semakin bersikap individualistik, seolah-olah terpisah daripada realiti kehidupan rakyat biasa. Sikap “engkau-engkau, aku-aku” ini menandakan krisis kemanusiaan dalam pentadbiran negara.

Oleh itu, langkah-langkah segera perlu diambil, termasuk reformasi dalam pendidikan dan latihan penjawat awam agar mereka benar-benar memahami peranan mereka dalam melindungi dan membantu rakyat, bukan menindas mereka.

Patek berdoa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sekalian sentiasa dalam kesejahteraan, memayungi rakyat dengan keadilan dan rahmat. Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun.