April 1, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Kisah 6 – Malay College (MC) dan Vajiravudh College (VC)

Sambungan...

Dalam kalender sukan satu acara yang ditunggu-tunggu oleh warga Kolej Melayu ialah pertandingan ragbi Malay College (MC) dan Vajiravudh College (VC). Pertandingan antara kedua-dua sekolah tersohor itu diadakan setiap tahun secara bergilir di Kuala Kangsar dan Bangkok Thailand. Bermula sejak tahun 1960 setiap kali pertandingan disambut meriah oleh pelajar, ibu bapa dan mürid tua.

VC terletak di Rajviti Road, Dusit, Bangkok. Kebanyakan pelajar terdiri dalam kalangan anak keluarga kelas atasan.

Kolej Vajiravudh, Rajviti Road, Dusit, Bangkok Thailand.

Ditubuhkan pada tahun 1910 oleh Phra Mongkut Klao Chaoyuhua, King Vajiravudh Rama VI. Pendidikan berasaskan sistem ‘public school’ di England. Sekolah berasrama penuh (pelajar lelaki) ini menyediakan pendidikan berciri ketenteraan bertujuan bagi melahirkan pelajar holistik dan ‘rounded personality.’ Ramai kalangan bekas pelajar berkhidmat di sektor awam terutama dalam pasukan polis dan tentera.

Saya berpeluang membawa pelajar ke VC sebanyak tiga kali ketika menjadi PK 1991-93 dan dua kali semasa pengetua 1999-03. Masih teringat lagi suatu pagi awal tahun 1992 pengetua Allahyarham Dato Rashdi Ramlan berkata kepada saya ‘Alim, mike’ bawak budak-budak ragbi ke Siam tahun ini, kawan dah banyak kali pegi,’ campur loghat Perak dan Johor. ‘Boleh HM, no problem’ ujar saya.

Seperti biasa perjalanan jauh lebih 1,200km memerlukan persediaan awal seperti tempahan coach keretapi ‘sleeper berth,’ penginapan, pengangkutan dan latihan. Jurulatih ragbi cikgu MI (Mustapha Ishak) melatih pemain setiap petang. Seramai 30 orang disenaraikan termasuk 5 orang guru mengikuti rombongan itu.

Pada hari ditetapkan selepas taklimat dan bacaan doa kami bertolak ke Butterworth dengan bas Kolej. Jam 3.00 ptg menaiki keretapi ekspres Butterworth-Bangkok. Singgah sebentar di Padang Besar untuk pemeriksaan imigresen. Coach keretapi sewa khas dengan kemudahan tempat tidur agak selesa. Perjalanan mengambil masa lebih 16 jam singgah di tiga stesen Hat Yai, Champhon dan Hua Hin. Pemandangan sekitar hampir sama di negara kita iaitu melalui kawasan bandar, perkampungan, ladang getah dan sawah padi.

Jam 9.00 pagi (8.00 pagi waktu Malaysia) tiba di stesyen keretapi Hua Lamphong, Bangkok. Disambut oleh Major Aphirat (pegawai perhubungan, bekas pegawai tentera) dan guru-guru VC. Kami terus dibawa ke tempat penginapan. Pertandingan ragbi diadakan besok petangnya sementara itu kami dibawa bersiar-bersiar (kecauali pemain dan jurulatih) ke tempat membeli belah Sukhumit Road dan Siam Road. Tidak ketinggalan ke Chacuchak Weekend Market pasar terbesar di Bangkok.

Keesokan petang pertandingan diadakan di padang utama VC. Sama seperti MC padangnya kelihatan luas betul-betul berhadapan bangunan asrama. Saya lihat ramai menyaksikan permainan itu termasuk ibu bapa dan mürid tua yang datang daripada Kuala Lumpur. Permainan berakhir dengan kemenangan VC.

Masih dalam ingatan setiap kali ke Bangkok disambut mesra dan dilayan oleh Major Aphirat dan guru-guru. Beliau sentiasa memastikan rombongan kami dalam keadaan selesa semasa berada di sana. Kali terakhir bertemunya 10 tahun lalu di KLIA dalam penerbangan saya ke Kota Kinabalu dan beliau bercuti ke Langkawi.

Pertandingan ragbi MC dan VC masih berlangsung hingga kini. Acara ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kedua-dua institusi pendidikan ternama itu malah dalam kalangan mürid tua jua termasuk MCOBA.
Tamat.


‘Selamat Berpuasa.’