April 1, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Kisah 5 – Cinta Terlarang.

Sambungan…

Sekitar jam 9.00pagi sepasang suami isteri memasuki bilik saya dan memperkenalkan diri bapa dan ibu cikgu S. Peristiwa ini berlaku kira-kira 30 tahun lalu ketika menjadi pengetua salah sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak.

Saya namakan sahaja beliau En X. Bertubuh besar, gempal dan berkulit sawo matang. Usia sekitar 50an. Dengan suara agak keras bertanya mengapa saya menukarkan anaknya ke Johor Bahru.

Bagi menenangkan keadaan saya mempersilakan En X duduk di sofa. Dalam masa yang sama meminta kerani menyediakan minuman ringan untuk kedua-dua tetamu itu.

Selepas keadaan agak tenang saya meminta En X menjelaskan tujuan kedatangannya. Beliau memberitahu mendapat berita anaknya telah bertukar ke Johor Bahru. Mempersoalkan keputusan saya menyokong pertukaran itu.

Saya berfikir sejenak dan membuat ‘flashback.’ Masih teringat kira-kira 6 bulan yang lalu cikgu S melaporkan diri sebagai guru baharu. Seperti biasa saya mengucapkan tahniah kerana berjaya menjadi guru dan ditempatkan pula di Ipoh tempat kelahirannya. Tambah saya ibu bapa tentu rasa gembira kerana anaknya bertugas berhampiran kediaman mereka.

Sebagai pengenalan saya menerangkan serba sedikit tentang sekolah. Ujar saya dari segi akademik setiap tahun sekolah ini mendapat tempat ‘top 10’ dalam peperiksaan SPM dan PMR daripada lebih 200 sekolah di seluruh negeri Perak.

Sekolah ini kadang2 di gelar ‘Sekolah Sukan’ kerana ada program bolasepak, hoki dan takraw. Bagi pelajar perempuan pula permainan hoki, bola jaring dan badminton. Setiap tahun ramai pelajar terpilih mewakili daerah untuk MSSPk dan negeri dalam MSSM. Satu lagi program olahraga, ada balapan 400 meter dan seorang jurulatih daripada Rússia yang ditempatkan oleh MSN. Pelajar datang drp kawasan berhampiran dan yang terpilih daripada seluruh Perak. Asrama didiami 300 pelajar dan 100 pelajar perempuan. Saya memberitahunya ingin melantik beliau sebagai penolong warden, ada bilik khas di asrama. Saya berharap beliau gembira bertugas di sekolah itu. Sebelum akhir pertemuan saya beritahu jika ada masalah kerja atau peribadi datang terus berjumpa saya bila-bila masa.

Saya lihat cikgu S hanya tersenyum sepanjang saya bercakap. Sebagai pendidik satu kemahiran yang saya ada ialah boleh membaca minda seseorang melalui gerak badan atau sekarang disebut ‘body language.’ Asas ilmu ini perlu untuk mudah berhadapan dengan pelajar, guru atau ibu bapa.

Pada saya semasa perbualan itu cikgu S tidak menghayati apa yang saya cakapkan. Beliau kelihatan seperti sedang mengelamun atau berfikir sesuatu yang besar.

Berbalik kepada En X beliau mula bercakap dengan tenang. Memberitahu bertugas sebagai kerani di salah sebuah jabatan kerajaan. Punyai 4 orang anak, 3 lelaki dan cikgu S anak bongsu kesayangannya. Mereka sekeluarga amat berbangga kerana S satu-satunya anak yang berjaya sampai ke menara gading. Selepas bergraduat di salah sebuah universiti di selatan tanah air beliau membuat latihan praktikal mengajar di Johor Bahru. S menyewa bilik tinggal bersama satu keluarga. Disitulah mulanya bibit-bibit cinta berlaku dengan anak teruna tempat rumah sewanya. Pemuda itu bekerja sebagai penjual burger di gerai miliknya sendiri.

Apabila En X dapat menghidu hal itu beliau lantas menghubungi JPN agar anaknya ditempatkan di Ipoh selepas tamat praktikalnya. Beliau juga memberi ingatan kepada S agar tidak lagi mengadakan hubungan dengan pemuda itu.

Menurutnya beliau bercadang untuk menjodohkan anaknya dengan anak sahabatnya bertugas sebagai pegawai kerajaan berkhidmat di Ipoh.

Saya melihat air mata En X mula mengalir membasahi pipinya. Menurutnya sangat kecewa apabila mendapat tahu anaknya telah bernikah di Siam dan kemudian mendaftar di Jabatan Agama.

Saya terkenang semula beberapa minggu lepas cikgu S bertemu dengan saya sambil menghulurkan borang tukar sekolah. Katanya beliau baru berkahwin dan suaminya berada di Johor Bahru. Sukar baginya untuk berulang alik, perbelanjaan agak besar dan suaminya hanya peniaga kecil.

Atas rasa kemanusiaan dan selepas berbincang dengan penolong kanan didapati guru opsyen matematik masih mencukupi maka saya menyokong permohonannya. Tak sangka permohonan tukarnya diluluskan dengan cepat.

Selepas peristiwa itu hampir sebulan saya memikirkan adakah keputusan menyokong pertukaran cikgu S sebagai tindakan yang betul atau salah? Membahagiakan sepasang suami isteri yang baru berkahwin tetapi dalam masa yang sama mengecewa dan menguris hati kedua orang tuanya.

Mungkinkah ini yang dikatakan ‘cinta terlarang!’
Tamat.

“Selamat Menyambut Bulan Ramadan.”