Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berharap cadangan mengiktiraf Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, digugurkan.
Bercakap kepada Siti Fatimah Ishak yang disiarkan dalam Portal ismaweb.net, Prof Datuk Dr Teo berkata Kampung Baru Cina bukan lah tapak sejarah di Malaysia.
Mengulas hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Meng berhubung perkara itu, Prof Datuk Dr Teo sebaliknya berkata kewujudan Kampung Baru Cina adalah sebahagian sejarah hitam negara ini, terutama oleh British.
Beliau menjelaskan Kampung Baru Cina yang berjumlah sekitar 600 itu bukan tapak sejarah dan budaya yang baik, seperti Georgetown dan Melaka yang dinobatkan oleh UNESCO sebagai antara sebilangan tapak warisan dunia.
Katanya, Kampung Baru Cina diwujudkan oleh penjajah British sewaktu Darurat (1948-1960) sebagai antara langkah utama dalam usahanya memerangi keganasan Komunis di negara ini.
Menurutnya, etnik Cina adalah penyokong kuat kepada pergerakan komunis itu, maka untuk memutuskan sokongan langsung oleh etnik Cina, yang memberi bantuan kebendaan kepada pengganas komunis yang rata-ratanya etnik Cina juga, British telah memisahkan penyokong awam Cina daripada pengganas komunis Cina dengan mewujudkan Kampung Baru.
“Kampung Baru Cina mempunyai reputasi tidak baik. Jadi, tidak signifikan sejarah dan budaya positif sepanjang kewujudannya untuk diangkat sebagai tapak warisan, apatah lagi untuk dinikmati warga dunia, seperti yang ada pada Georgetown dan Melaka.
“Hasrat kita mungkin tidak pun akan dipertimbangkan UNESCO kerana sebagai tapak warisan dunia dalam kategori budaya, sesebuah tempat yang dicadangkan itu wajib mempunyai nilai sejagat luar biasa yang diteliti rapi daripada sejumlah kriteria,” katanya.
Prof Datuk Dr Teo juga menjelaskan, tiada apa yang berfaedah atau menarik pada Kampung Baru Cina ini kerana tiada tradisi budaya yang menonjol, melainkan budaya Cina yang lazim diamalkan di merata Malaysia.
Bahkan, tiada apa-apa peristiwa untuk dikaitkan dengan sebarang nilai sejagat positif, melainkan ia merupakan kem tahanan etnik Cina atas bikinan mereka sendiri yang menyokong pergerakan komunis.
“Paling penting ia tidak pun mempunyai nilai murni yang boleh disumbangkan untuk dimanfaatkan sebagai pertukaran nilai positif kepada warga dunia, kecuali perbuatan subversif etnik Cina yang terpaksa ditempatkan dalam kampung tahanan Cina itu oleh pemerintah British.
“Sebenarnya usaha oleh etnik Cina ini ibarat buka pekung di dada, mereka mahu menceritakan keburukan diri mereka sendiri kepada seluruh dunia.
“Ia bukan sahaja mengenai hal lampau yang sangat mengaibkan kerana mengkhianati pemerintah semasa, juga soal kesetiaan yang ada pada diri mereka kini yang boleh dijadikan isu terbuka,” katanya.
Sebelum ini, Nga dilaporkan mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.
More Stories
Himpunan Solidariti Rakyat Tolak RUU URA: Pendirian Tegas MPM
RUU Pembangunan Semula Bandar: Pendirian Tegas MPM Demi Masa Depan Bumiputera
Opportunities for Malaysia’s Ports: Time to Reclaim Our Maritime Edge