Januari 10, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Rakyat wajib perkasa swatadbirurus

Di era pra-merdeka, datuk-nenek kita bangkit menentang penubuhan Malayan Union, dikala mereka tiada istana tempat bernaung, tiada kerajaan tempat berteduh, tiada institusi politik tempat mengadu.

Pandai-pandailah sesama mereka bina budaya swatadbirurus untuk satukan kudrat dan iradat yang adabagi teruskan perjuangan itu. Mereka dibimbing para ulamak, guru, pendekar dan beberapa kerat pembesar negeri yang passionate dengan perjuangan itu.

Nak tahu hakikat perjuangan mereka tontonlah filem Mat Kilau. Atau bergurulah dengan beberapa pakar sejarah yang masih ada bersama kita. Tapi usah dibaca buku-buku sejarah tulisan mereka yang dibawah pengaruh blok kapitalis Barat.

Alhamdulillah, berkat ketabahan dan kuatnya pegangan mereka kepada agama, kejayaan tercipta, yang manfaatnya kita semua tuai pada hari ini.

Malang sungguh. Di era pasca merdeka, generasi saya leka berpeluk tubuh, abaikan budaya swatadbirurus yang ditanam subur dalam jiwa kami.

Dosa generasi saya ialah menyerahkan bulat-bulat, membuta-tuli, dengan rela hati dan sepenuhnya tanpa ragu-ragu, urusan tabdirurus agama, bangsa dan Negara ini kepada semua institusi yang zahirnya kita kuasai.

Betul lah, sejak merdeka hingga ke PRU 12, agenda kemakmuran bangsa telah dipahat sebagai teras kepada agenda kemakmuran nasional yang inklusif. Negara maju, kita bertepuk gembira, sekalipun perincian perangkaan Negara menunjukkan bumiputera masih lagi rakyat kelas ketiga di Tanahair sendiri.

Kita juga apla. Tanpa disedari, disebalik jentera tadbirurus yang visible, yang tersusun indah, dari institusi istana hinggalah ke pentadbiran mukim dan kampong, terpendam sekian lama jentera tadbirurus yang invisible, yang kuasai gerakan ekonomi hitam. Mereka ini cukup vicious.

Rupa-rupanya telah sekian lama mereka “pengaruhi” jentera kerajaan yang nampak zahirnya laksanakan “visible governance” yang bersih, cekap dan amanah.

Malah, tidak ramai yang ambil peduli. Bila kerajaan gubal DPN 1990, ia sebenarnya satu dasar yang utamakan pertumbuhan dan pembangunan fizikal. Ia kurang titik-beratkan pembangunan insan rabbani yang sepatutnya diperlengkapkan dengan sifat-sifat mahmudah.

Setelah lebih 30 tahun kita disajikan dengan dasar yang materialistik itu, hari ini kita tangisi malapetaka yang kita cipta.

Bila domain kemakmuran berkaitan pemerintahan, politik dan kepimpinan jadi tidak menentu, kita segera berdalih kononnya ia berpunca dari ketidak-stabilan politik. Sejak PRU 12 kita telah berdalih sedemikian. Kini kita mengharapkan keajaiban akan berlaku dalam PRU15.

Secara peribadi saya tidak optimistik. Saya jangkakan selepas PRU 17 pun, iaitu 10 tahun dari sekarang, beginilah juga drama ketidakstabilan politik Negara.

Sebabnya, 10 tahun dah berlalu, dari PRU12 (2008) hingga PRU14 (2018), pengundi seangkatan dengan saya tidak pernah re-set budaya swatadbirurusnya. Apatah lagi, menjelang PRU15 ia akan libatkan Pengundi 18 yang belum merasai padah bila mengundi membuta-tuli. Masakan mereka ini lebih arif dalam bab mengundi berbanding pengundi sezaman dengan saya.

Tatkala politik tidak stabil, jentera pentadbiran kerajaan dan korporat gunakan helah itu sebagai dalih untuk tutup aib, kelemahan atau kepincangan dikalangan mereka.

Saban hari semakin ramai dikalangan mereka ini abaikan amanah yang digalas. Lebih malang, semakin ramai “dikuasai” penggerak “the invisible governance”dikalangan pemain ekonomi hitam. Lahirlah ramai dikalangan penjawat awam dan korporat ini penagih rasuah atau pengamal sifat-sifat mazmummah.

Realitinya, rakyat kini sudah kembali ke zaman penjajahan, dalam order baru. Minda mereka dijajah oleh budaya “the visible governance” yang dikuasai oleh “the invisible governance”. Dalam bahasa mudah, kerajaan kini sudah dikuasai oleh gerakan ekonomi hitam, yang sudah meresap menguasai segenap lapisan kepimpinan. Mereka sudah berjaya kucar-kacirkan agenda kemakmuran nasional yang inklusif, bukan sekadar politik dan kerajaan saja.

Bagi rakyat biasa seperti saya, hanya satu pilihan saja yang tinggal, untuk bebaskan diri dari kemelut ini, iaitu kembali kepada opsyen yang sama yang perkasakan datuk-nenek kita dulu, iaitu budaya swatadbirurus.

Bangsa saya wajib bangkit bina kembali budaya ini.Jadikan ia suatu jihad dan gerakan ummah seluruh Negara. Berpengkalanlah dengan mana-mana institusi ummah yang credible yang konsisten kiblat perjuangannya sepertimana dituntut oleh-Nya Yang Maha Esa.

Insaflah, berdalih bukan penyelesaian kepada kemelut yang kita depani di saat ini.

Ketahuilah, menolak atau menentang institusi yang diamanah laksanakan visible governance, juga bukan opsyen terbaik. Kita tetap sokong mereka, tapi bersyarat.Kita akan sokong atau undi calon sesuatu parti itu, hanya dikalangan mereka yang terpilih saja. Tiada lagi undi secara en bloc.

Terimalah, hakikatnya para pemimpin yang kita pilih sekadar pemudah-cara untuk bantu capai hasrat kitamencipta kemakmuran yang inklusif. Usah dikesali andaikata peranan atau kelibat mereka menghampakan. 

Yakinkanlah diri kita, bahawasanya kitalah yang bertanggung-jawab mencorakkan warna-warna kemakmuran yang diidamkan untuk bangsa, agama dan Negara kita.

Jika itu yang kita yakini, bila-bila saja PRU15 nak diadakan, kita tidak akan berasa gusar akan kemungkinan keputusannya. Kita tidak akan khuatir apakah senario kepimpinan pasca PRU15. Kita tidak akan keliru parti mana dan calon mana yang akan kita pilih, kerana kita telah sediakan wishlist untuk mereka akur, jika nak raih undi dari kita. Semuanya kerana kita sudah siapsiaga untuk menswatadbirurus diri dan keluarga, bagi berdepan dengan segala kemungkinan.

Dengan kecanggihan teknologi komunikasi, setiap calon yang bertanding dalam PRU15 nanti pastinya ada akses secara terus dengan setiap pengundi berdaftar dalam konstituensi masing-masing. Calon ini wajib berunding secara terus dengan pengundi untuk tagih undi. Sebagai pengundi, kita wajib ketahui undi kita itu tidak ternilai harganya. Sudah sudahlah dibazirkan undi itu jika ada ketikanya sebelum ini kita tersilap dalam mengundi.

Yang paling utama dan yang paling afdal, gemilangkanlah dengan segera budaya dan keupayaan swatadbirurus setiap orang dari kalangan kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sentiasa redha dengan apa yang Allah SWT peruntukkan kepada kita sebagai ummah kesayanganNya, sebagai ummah pilihanNya.

 

Dato’ Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM

4-7-2022