Oktober 5, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Guruh Dan Ribut Petir PRU 15

PRU15 kian hampir. Guruh semakin kuat. Pekikan desak PRU15 disegerakan ibarat rebut petir membelah bumi.

Namun, gelora kepimpinan dan kuasa Melayu masih belum reda. Sebelum PRU15 begitulah geloranya, malah bakal berlarutan ke pasca PRU15. Salah-salah hemat menjelang PRU16 pun begitu jugalah lagunya.

Sebabnya:

  • Pertama, parti politik terbesar bangsa Melayu masih dimiliki taukeh-taukeh politik yang berpengaruh sehebat mafia, sekalipun bergelumang segala bentuk sifat-sifat mazmummah. Mereka terlalu cekap berpolitik, mampu lumpuhkan mana-mana pengaruh dalaman yang cuba nyahkan mereka. Malah habis akar-umbi parti diperbodohkan ikut telunjuk mereka.
  • Kedua, pemimpin pelapis bersifat mahmudah, berhati berani (brave heart), hebat, bermaruah dan diberkati Allah SWT belum tampil, Entah-entah belum pun lahir.
  • Ketiga, majoriti pengundi masih lagi orang lama yang taksub membuta-tuli, entah ada yang dah termakan dedak, rela terus dipimpin taukeh-taukeh politik itu. Tunggulah apabila “Pengundi 18” menjadi majoriti, barulah agaknya lanskap politik bangsa ini akan berubah. Itu pun jika lahir dikalangan mereka pemimpin baru bersifat mahmudah.  

Malang sungguh bangsa ini. Hampir 100% dikalangan penjawat awam dan pengurusan korporat adalah suku-sakat bangsanya. Tapi dalam kemelut politik semasa mereka ambil kesempatan dari gelora itu untuk teruskan penguasaan lumpuhkan sistem penyampaian yang abaikan rakyat.

Jika nak tahu suasana politik dan pentadbiran Negara pasca PRU15, rasailah sekarang. Suasana sebegini akan kekal lama. Ia akan kekal untuk sedekad lagi. Bersedialah.

Pandai-pandailah setiap orang dari kita bagaimana nak menswatadbirurus (self-governing) diri dan tanggungan masing-masing, iaitu bagaimana nak kendali urusan kehidupan dan kemakmuran, yang kurang kebergantungan kepada kerajaan.

Sebabnya:

  • Dijangkakan masih ramai dikalangan pemimpin politik yang kita pilih akan terus perjuangkan survival masing-masing;
  • Masih ramai dikalangan penjawat awam dan korporat yang abaikan amanah yang mereka galas, tak hiraukan kelesuan sistem penyampaian awam yang rakyat keluhkan dan paling malang, ada diantara mereka tergamak menangguk di air keruh, mengaut apa yang sempat dirembat, sebelum tertangkap.  

Inilah norma baru yang setiap dari kita wajib pelajari dari sekarang, iaitu kemampuan swatadbirurus.  

Baca dan amatilah Titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Keputeraan Baginda pada 6-6-2022 yang lepas. Titah Baginda bukan sesuatu yang tersirat. Ia sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh.

Dato Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM

21-6-2022