Oktober 5, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Berjihad Bersama Tangani Krisis Sekuriti Makanan

Sengaja saya masukkan perkataan “berjihad’ di sini, walhal saya sedia maklum ramai pembaca yang agak “jittery” bila perkataan ini digunakan.

Hakikatnya, berjihad membawa maksud setiap tindakan yang kita ambil mestilah bersungguh-sungguh. Berjihad bukan nak menakut-nakutkan mana-mana pihak.

Dalam menangani krisis sekuriti makanan ini hampir setiap hari ada saja kenyataan dibuat cuba tangani krisis ini. Pada masa yang sama, angin kebimbingan akan berlaku krisis sebenar semakin kuat bertiup. Itu tandanya kita sudah tiada pilihan kecuali berjihad, jangan sampai kita terpaksa lalui satu lagi darurat, kerana kekurangan bekalan makanan.  

Eloklah saya terus kepada apa syor yang terlintas dalam pemikiran saya susulan rencana yang disiarkan oleh Utusan TV dan Ismaweb pada 13 Jun 2022, apabila saya nyatakan komitmen tiga buah organisasi ini (MPM, UPM dan MPC) untuk menyumbang sama menangani krisis sekuriti makanan negara.

Pertama, ICU (Unit Penyelarasan Perlaksanaan @ JPM) wajib bertindak dan terajui usaha kumpulkan dan bawa duduk semeja, wakil semua kelompok pemegang-taruh yang terkait dengan isu sekuriti makanan ini, terutama dikalangan pemimpin politik, kementerian, agensi kerajaan, GLC, malah PLC. Akan tetapi, pada hemat saya, yang paling utama, yang wajib dilibatkan ialah wakil pemain industri yang telah sekian lama terlibat dalam industri makanan, sekalipun sebagai pemain kerdil. Suara mereka wajib didengar.

Kenapa ICU wajib terajui misi ini, ialah kerana ia Agensi Pusat di JPM yang lapor terus kepada YAB Perdana Menteri. Ia ada local standi untuk selaraskan semua pihak terkait dengan agenda sekuriti makanan ini. Terlalu banyak kementerian, agensi awam, korporat dan swasta terlibat, hatta, cabaran utama dihadapi kerajaan ketika ini ialah kemampuannya menyelaras dan memperbaiki sistem penyampaian yang terlalu kerap dikeluhkan rakyat.

Mungkin saya dah ketinggalan zaman memahami peranan tiga Agensi Pusat ini, EPU, ICU dan SERU (telah dibubarkan). Diawal era perlaksanaan DEB 1970 dulu, inilah tiga Agensi Pusat berperanan sebagai nadi utama dan jentera penggerak kepada YAB Perdana Menteri. EPU merancang, ICU menyelaras perlaksanaan dan SERU jalankan kajian impak terhadap apa yang dilaksanakan. Itu dulu. Tentu sekali keadaannya kini lebih canggih.

Kami di MPM telah adakan dialog sekuriti makanan seawal tahun lepas. Pasukan Pertugas MPM-UPM telah ditubuhkan dan mereka siap-siaga sediakan syor untuk dikemukakan kepada kerajaan. Ramai yang terlibat di pihak MPM adalah pemain industri di sepanjang rantaian-nilai sektor makanan, termasuk enabling players.

Hatta, langkah kedua untuk pertimbangan kerajaan ialah mempastikan kumpulan petugas yang diterajui ICU ini turun padang, lihat sendiri dan dengar sendiri apakah isu dan cabaran para pemain industri serta agensi yang sering berdamping dengan mereka.

Memang kita tidak boleh hasilkan gandum atau hasilkan beras yang mencukupi untuk keperluan sara-hidup. Atau, ayam yang mencukupi sebagai sumber protein. Akan tetapi sebagai negara yang dirahmati Allah SWT dengan pelbagai sumber, pastinya kita mampu hasilkan produk makanan gantian, andaikata keadaan atau krisis mendesak untuk rakyat terima  bahan makanan gantian (substitute) ini. Sekadar gambaran, beras dan gandum diganti dengan sumber karbohidrat lain, manakala ikan pengganti kepada ayam sebagai sumber protein.

Ketiga, jika diterima opsyen di atas, apakah pula cabaran untuk rangkaikan pengeluaran atau bekalan dengan pengguna. Hakikatnya, bagi mereka yang bermain dilapangan termasuk di pasar borong, cabarannya ialah penguasaan rangkaian pengeluaran dan pengedaran oleh beberapa kartel yang amat berpengaruh, sehinggakan mereka mampu untuk “dictate” kerajaan.  Sejak dulu hingga kini, inilah “empang besar” kepada isu atau krisis barangan pengguna, termasuk makanan, di Negara ini. Mereka telah berjaya menjadikan Malaysia sebagai “The Land of Cartels”.

Soalnya, mampukah kerajaan menerusi ICU, mengawalselia atau memperkasakan semua agensi penguatkuasa bagi pastikan aktiviti kartel ini terkawal. Kita bukan nak hapuskan mereka, sebab ada peranan yang relevan yang mereka mainkan, tetapi aktiviti mereka wajiblah terkawal.

Tak guna kita berbicara mengenai impak krisis makanan kepada pengguna, revisit dasar sekuriti makanan atau sebagainya, jika isu seperti kawalan terhadap aktiviti kartel ini yang turut pengaruhi proses pemindahan harga barangan (price transfer process), masih gagal dikawal oleh begitu banyak kementerian dan agensi penguatkuasa.

Sama-samalah kita hayati teguran yang terkandung dalam Titah Seri Paduka Baginda  sempena Hari Keputeraan Baginda pada 6 Jun2022, yang menyuarakan kebimbangan Baginda mengenai kemerosotan keyakinan rakyat terhadap prestasi kerajaan Baginda.

Jika ICU, bagi pihak Jabatan Perdana Menteri sirius hendak tangani isu ini, ketuklah pintu pejabat kami. InshaAllah berduyun-duyun para pemain industri yang berkaitan (yang bernaung dibawah beberapa NGO), tampil berjihad dan berkongsi pandangan, ilham dan komitmen, bagaimana mereka mampu mainkan peranan bagi sama-sama tangani krisis ini. Mereka tidak pernah sisihkan diri dari kerajaan dalam apa jua kemelut, hanya suara mereka seringkali tidak diendahkan.

Pada Isnin 13 Jun 2022 YAB Perdana Menteri telah bentangkan hasil dapatan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC). Beberapa ketetapan telah dibuat, termasuk peranan GLC terajui pengurusan rantaian bekalan makanan. Kami sokong ketetapan itu.

Terpulang kepada kerajaan dan pihak-pihak yang dipertanggung-jawabkan  untuk ambilkira pandangan kami di MPM, terutama mereka dalam kumpulan kerja Dialog Sekuriti Makanan @ MPM.

Saya orang DEB 1970, maka pemikiran saya ikut cara kerja jentera kerajaan sezaman dengan saya. Kami bertindak di lapangan, selesaikan isu depan mata dan berikan maklumbalas keberkesanan tindakan kami itu kepada Agensi Pusat. Dashboard pemantauan prestasi kami ketika itu hanyalah Bilik Gerakan di setiap daerah.  

Mungkinkah, krisis sekuriti makanan ini akan jadi impetus kepada tata-cara kita berjihad dengan lebih terancang, bijaksana dan terselaras dalam menyusun pelan tindakan program sekuriti makanan Negara, termasuk mempercepatkan (accelerate) usaha pendigitalan dan pembangunan pengkalan dataraya bagi program ini.

Anggaplah krisis ini sebagai kesempatan untuk semua kelompok pemegang-taruh, bertanggung-jawab dan berperanan secara bersama, saksama dan setara, dalam berjihad menjayakan sesuatu agenda kepentingan nasional.

Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah ke pangkalan lengan. Alang-alang menangani krisis sekuriti makanan, ambillah kesempatan ini untuk bina semula (rebuild) dan islahkan sektor ini menjadi sektor ekonomi baru, paling moden, mengadaptasi semua peruntukan terkandung dalam Industrial Revolution 4.0. Kembalikan sektor makanan menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Negara.

Dato Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM

15-6-2022