Oktober 5, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Jaringan Keselamatan Ekuiti Bumiputera: Ayam Di Kepok Mati Kelaparan

  1. Pembuka Bicara

Pada Rabu 13-10-2021, beberapa orang Panel Pemikir dikalangan Komuniti Kewangan & Pasaran Modal Islam @ MPM adakan randau dalam talian (webinar), bincang hasrat kerajaan, sepertimana terkandung di dalam RMK12, untuk mewujudkan Jaringan Keselamatan Ekuiti Bumiputera (Bumiputera Equity Safety-net System).

Nawaitu Kerajaan menubuhkan fraterniti ini antara lainnya ialah bagi mengekang kemerosotan pegangan atau pemilikan ekuiti oleh Bumiputera, samada milik individu, menerusi institusi pelaburan atau institusi bisnes kepentingan Bumiputera.

Turut diundang sertai randau ini ialah Presiden DPMM, Sdr Halim  Husin manakala Sdr Zainal Ariffin Osman dan Puan Hani Ikhwan mewakili Persatuan Remisier Bumiputera (PRIBUMI).

Dimudahkan cerita, randau ini ibarat berbicara bagaimana boleh terjadi, “ayam di kepok mati kelaparan”.

Randau itu turut:

  • menyorot sejarah silam kedudukan ekonomi dan kewangan Bumiputera secara keseluruhannya, bagi mencari jawapan mengapa setelah sekian lama merdeka, Bumiputera masih ibarat “ayam di kapok mati kelaparan” dan kerajaan terpaksa tubuhkan fraterniti seperti ini, bukan untuk “ayam” itu kenyang hingga terik temboloknya, tapi sekadar ia “tidak kelaparan”.;  
  • menilai mengapa ada sesetengah pihak, termasuk dikalangan cerdik-pandai Bumiputera itu sendiri yang begitu kritikal sekali terhadap hasrat kerajaan ini;
  • berbicara mengenai permasaalahan yang sekian lama merencatkan usaha pemilikan ekuiti dikalangan Bumiputera.
  • kemukakan hujah menjustifikasikan penubuhan fraterniti berkenaan serta saranan caranya berfungsi, agar kesilapan dan kealpaan silam tidak berulang.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah ke pangkal lengan”.

Hatta, Panel ini juga ambil kesempatan menyarankan kepada kerajaan betapa perlunya dasar-dasar ekonomi atau pembangunan yang digubal sebelum ini disemak semula bagi menghasilkan satu order pembangunan dan kemakmuran baru, sebagai Dasar Induk Negara, konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan. Ia bagi mempastikan misi kerajaan menguncupkan jurang kemakmuran dapat dicapai dan kesejahteraan dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama, konsisten dengan semangat Keluarga Malaysia. 

  1. Ekonomi & Kewangan Bumiputera Pra-Merdeka

Tatkala orang Melayu beria-ia menentang penubuhan Malayan Union dan menuntut kemerdekaan, secara halus pemerintah British melakukan strategi “pecah-dan-perintah”. Blok kapitalis mereka sudah bersekongkol dengan saudagar asing untuk kepong, kaut dan kuasai sektor ekonomi dan kewangan negara. Pada masa yang sama, blok kayangan Melayu cuba dipisahkan dari rakyat, malah ada diantara mereka yang sudah pun setuju pembentukan Malayan Union. Mujurlah ia tidak menjadi kenyataan.

Penentangan orang Melayu ketika itu berbentuk “gerakan”. Ia amat longgar. Akhirnya tertubuhlah UMNO sebagai platform untuk Melayu bersatu menuntut kemerdekaan.

Kecekalan dan ketegaran blok kapitalis mempastikan agar sampai akhir zaman sekalipun bangsa Melayu tak akan dapat kuasai ekonomi dan kewangan di Negara ini, diatur kemas dan terancang. Apa juga usaha dikalangan bangsa Melayu untuk mengembalikan zaman kegemilangan nenek-moyang mereka menguasai perdagangan dirantau Nusantara ini, dipastikan tidak akan berhasil. Ini termasuklah peristiwa menyayat hati pembunuhan Maarof Zakaria, orang Melayu yang berusaha menubuhkan The First Malay National Bank, hanya kerana bank ini akan memudah-cara usahawan Melayu perolehi sumber dana bagi ceburi bisnes. Banyak lagi yang boleh diceritakan. Memadailah satu cerita ini sebagai imbasan sejarah.

Dalam rencana ini tidak disentuh berulang-ulang kali akan keganasan dan kekejaman blok ini dalam usaha mereka mengekalkan misinya itu, dalam berbagai cara yang halus dan terancang, sehinggakan ada dikalangan bangsa Melayu itu sendiri  bersekongkol dengan mereka ini tapi bermuka-muka kononnya mereka adalah juara Agenda Bumiputera.

  1. Ekonomi & Kewangan Bumiputera Pasca Merdeka

Untuk orang Melayu perolehi kemerdekaan disyaratkan oleh pemerintah British untuk dikendong bersamanya lain-lain kaum yang sudah bermastautin di Negara ini, sebagai rakyat. Akur dengan syarat itu maka Perlembagaan Persekutuan digubal oleh pemerintah ini untuk ditelan oleh bangsa Melayu. UMNO yang baru setahun jagung, mewakili kepentingan Melayu, cuba halang Raja-Raja Melayu memeterai Perjanjian pada 5-8-1957 dari menerima deraf Perlembagaan Persekutuan itu. Banyak peruntukan didalamnya yang tidak memihak kepada orang Melayu.

Sekali lagi strategi “pecah-dan-perintah” digunakan pihak British. Sebagai kompromi, katanya, Raja-Raja Melayu nukilkan Wasiat Raja-Raja Melayu, sebagai collateral kepada Perlembagaan Persekutuan itu. UMNO setuju dan mengizinkan perjanjian itu dimeterai diantara Raja-Raja Melayu dengan pemerintah British.

Realitinya, Wasiat itu tidak pernah diwartakan, maka ia tidak pernah dikuat-kuasakan. Jelasnya, orang Melayu diperdayakan dengan Wasiat itu. Hingga kini pun UMNO belum pernah menuntut Wasiat itu diwartakan dan dikuatkuasakan perlaksanaannya. Malah UMNO itu sendiri semasa menguasai kerajaan pun tidak ambil peduli akan Wasiat itu. 

Dek kealpaan itu, orang Melayu bertempik-sorak melaungkan kemerdekaan dalam kepapaan.

Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu, pimpinan Perikatan yang didepani UMNO, adalah sebuah Negara yang teramat miskin. Betul, dapat memerintah Negara tapi dalam serba kedaifan. Kekayaan Negara ketika itu adalah milik asing, yang telah dicengkam sekuat-kuatnya oleh blok kapitalis Barat + Timur.

Namun, cita-cita Kerajaan Perikatan amat besar. Maka digubal Rancangan Pembangunan Berpenggal, setiap penggal untuk tempoh 5 tahun. Bermulalah RMK 1 1966-1970 yang digubal dibawah pengaruh blok kapitalis. Hasilnya, RMK1 itu bermodelkan ekonomi pasaran terbuka, tatkala orang Melayu masih belum lagi kenal apa itu bisnes, ekonomi dan kewangan. Orang Melayu yang merdeka masih lagi “kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu dapat makan”.

  1. DEB 1970

Menyedari jurang yang semakin melebar dan majoriti Bumiputera terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan, DEB 1970 digubal melawan arus model ekonomi RMK 1.

Bagi mencapai dua matlamat utama Dasar itu (membasmi kemiskinan dan menguncupkan jurang kekayaan), 3 Teras Utama DEB ditetapkan:

  • Pengwujudan Peluang Pekerjaan
  • Pengwujudan Peluang Bisnes, dan
  • Pengwujudan Peluang Pemilikan Ekuiti
  1. Revolusi Mental

Kerajaan sedar, sekadar menyajikan Bumiputera dengan pembangunan fizikal ia tidak menjamin keberkesanan dan  kemampanan Dasar itu. Lantas, digandingkan ia dengan gerakan revolusi mental. Nawaitu gerakan itu ialah untuk membina kekentalan minda Bumiputera berjuang mensejahterakan diri mereka. Makanya dihasilkanlah buku Revolusi Mental sebagai panduan dan rujukan kepada gerakan revolusi mental yang dicanangkan itu.

Malangnya ada pihak yang sabotaj usaha menjadikan gerakan revolusi mental itu sebagai “kembar-siam” kepada DEB 1970. Penyudahnya Bumiputera hanyut dan tidak dapat menghayati agenda tersurat dan tersirat, terkandung didalam DEB 1970. Dalam konteks revolusi minda atau mental ini, Bumiputera wajar mempersalahkan diri sendiri kerana menerima manfaat DEB 1970 tanpa roh. Itu sebabnya kejayaan DEB 1970 itu amat singkat usianya, punah dirosakkan dan dibaham oleh singa-singa ganas dikalangan Bumiputera itu sendiri. Penyudahnya, “ayam di kapok terus kelaparan”.

  • Pengwujudan Peluang Pekerjaan

Disamping pembesaran kementerian dan jabatan sedia ada, kerajaan tubuhkan banyak agensi separa kerajaan (public-enterprise agencies, PEA) terutamanya SEDC. Kemudiannnya di era 1990an, ditubuhkan pula banyak GLC. Misinya bagi menggajikan seramai mungkin Bumiputera.

Hasrat pengwujudan peluang pekerjaan tercapai. Tapi, minda pekerja ini tidak diasuh sebaik mungkin untuk menghayati apakah matlamat menggajikan mereka bekerja disetiap PEA, GLC etc itu. Bab asuhan minda ini gagal, sebab gerakan revolusi mental itu terhalang. Ya, ramai penjawat awam dan pengurus korporat Bumiputera, tapi majoriti mereka itu “ibarat buih di lautan”. Pencapaian teras DEB 1970 ini berjaya di satu sudut tapi gagal di banyak sudut.

  • Pengwjudan Peluang Bisnes

Hasrat pengwujudan peluang bisnes kepada Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB)  melalui pengwujudan begitu banyak Kementerian, Jabatan, Agensi, PEA, GLC etc gagal.

Banyak punca kegagalan. Salah satu darinya ialah kerana keghairahan ramai penjawat awam, pengurus korporat dan pemimpin politik yang “menguasai” PEA, GLC etc itu. Apa yang terjadi, majoriti PEA, GLC etc ini gila menubuhkan ratusan anak syarikat (internal spin-off) yang bersaing dengan KEB, walhal, mereka sepatutnya menaungi KEB itu sebagai vendor etc.

Sebabnya jadi begitu ialah kerana KPI, mandat dan asuhan yang diberikan kepada kepimpinan dan pengurusan PEA, GLC etc itu hanyalah untung-rugi semata-mata. Langsung tiada asuhan melalui Program Revolusi Mental, kerana Program itu telah dibantutkan.

Penyudahnya, pegawai kanan kerajaan, pengurus kanan PEA/GLC dan suku-sakat politik bina jalan pintas untuk mereka sendiri raih manfaat menerusi penerimaan elaun dan bonus pengarah di dalam anak-anak syarikat itu.

Realitinya, berlakulah begitu banyak insiden “pembunuhan” PMKS Bumiputera oleh PEA, GLC etc ini, ibarat “ikan haruan makan anak”.

Betapa tidak malunya kepimpinan kita sendiri (terutama dikalangan kementerian, agensi, PEA & GLC) sehinggakan ramai anak bangsa sendiri yang terpaksa berrhijrah ke negara luar, membangunkan bisnes mereka dan kembali meneroka pasaran tempatan, atas nama syarikat asing. Barulah mereka diterima kerana mereka ini telah berjaya sebagai pemain global. Memang aneh!

Andaikata, kesemua PEA & GLC ini ikhlas dan KPI serta misi mereka jelas, kejayaan beberapa program, seperti Program Vendor Petronas boleh dijadikan kayu pengukur dan bukti bahawa teras kedua DEB 1970 ini adalah sesuatu yang realistik.

Maka disimpulkan di sini bahawa teras DEB dalam pengwujudan peluang bisnes kepada KEB juga gagal. Di era MBE 2010, ditubuhkan pula MAB dengan TERAJU  sebagai sekretariatnya. Ia sekadar usaha kosmetik bagi terus mengaburi mata Bumiputera. Kita semua boleh menilai secara terbuka akan hasilnya setelah lebih sedekad ditubuhkan. Dimudahkan cerita, mereka akan mempersalahkan KEB kononnya terlalu bergantung kepada “tongkat”. Itulah satu-satunya modal mereka untuk mudah mempersalahkan KEB.

  • Pengwujudan peluang pemilikan Ekuiti

Pemimpin Melayu yang berjiwa kental lancarkan DEB 1970, insaf akan kekurangan yang ada pada bangsanya. Beliau sedar, Bumiputera wajib miliki aset berbentuk ekuiti kerana  pemilikan aset tangible bukan kewangan, terutama tanah dan hartanah sudah habis dibolot oleh blok kapitalis Barat + Timur.

Hatta, disasarkan untuk Bumiputera miliki minimum 30% ekuiti di pasaran modal Negara. Pemilikan ekuiti ini juga ada banyak fungsi dan misi lain, bukan sekadar ekuti sebagai aset saja. Misalnya, penguasaan pasaran modal juga ada kaitan dengan kedapatan dana untuk pengembangan dan pembesaran bisnes selain dari dana pinjaman.

  • DEB, Pasaran Modal & Pemilikan Ekuiti Bumiputera

Sejak era DEB 1970 itu lagi banyak usaha dilakukan untuk Bumiputera miliki ekuiti. Diantara usaha itu termasuklah:

  1. Pendidikan pasaran saham bagi mencelikkan Bumiputera mengenai kepentingan dan manfaat pemilikan ekuiti dan lain-lain bentuk aset kewangan;
  2. Penguasaan PLC menerusi pemilikan ekuitinya yang diapungkan di pasaran modal;
  3. Penubuhan PNB dan pelaburan dalam ASN, sebagai institusi pelaburan Bumiputera, yang antara lainnya, melabur di pasaran modal;
  4. Dasar Penswastaan. Dasar yang bagus nawaitunya tapi dicacatkan oleh agenda tersirat beberapa kerat pemimpin Melayu yang cemari Dasar ini. Hasilnya merugikan Bumiputera dan pencemaran ini digunakan oleh banyak pihak mempersalahkan Bumiputera;
  5. Penguasaan MNC
  6. Penawaran saham pre-IPO
  7. Penyenaraian mid-tiers corporations milik Bumiputera
  8. Lain-lain

Dalam tempoh 20 tahun pertama perlaksanaan DEB 1970, misi pemilikan ekuiti ini hampir tercapai. Malangnya pemimpin Melayu ketika itu mudah lupa, maka dipendekkan riwayat DEB 1970 itu.

  • Pemilikan Ekuiti Bumiputera Dicemari

Oleh kerana jangka hayat DEB 1970 itu dipendekkan, kejayaan usaha pemilikan ekuiti Bumiputera itu juga pendek hayatnya. Misi pemilikan ekuiti Bumiputera yang suatu ketika dulu sudah hampir capai sasarannya, kembali menyusut.

Diantara punca utama kesusutan itu bukan dosa blok kapitalis Barat + Timur, tapi dosa tangan-tangan hitam dikalangan Bumiputera itu sendiri, terutama:

  1. Dasar Penswastaan dicemari dengan penjualan syarikat-syarikat yang diswastakan kepada Bumiputera, berpindah-milik kepada pihak lain;
  2. Kejayaan PNB lakukan “dawn raid”, kuasai pemilikan MNC secara belian di pasaran terbuka, gagal diulangi. Di era MBE 2010 (Model Baru Ekonomi) kerajaan tubuhkan Ekuinas, untuk perkasakan lagi misi pemilikan ekuiti. Ia gagal teruskan misi DEB itu kerana KPInya dan roh para pengurusan kanan serta lembaga pengarahnya tidak sama dengan di era 1970an. Ringkasnya, Ekuinas gagal laksanakan fungsinya.
  3. Syarikat-syarikat Bumiputera yang ditawarkan saham pre-IPO dipersalahkan kerana melepaskan pemilikan saham tersebut di pasaran terbuka. Tidak pernah dikaji apakah permasaalahan yang memaksa atau mendorong mereka berbuat demikian.
  4. Kepayahan mid-tier corporations baru milik Bumiputera untuk disenaraikan kerana adanya lompang (vacuum) disepanjang rantaian-nilal pasaran modal yang tidak di”kuasai” oleh agensi-agensi kepentingan Bumiputera, terutama dalam perundingan dan pembiayaan penyenaraian
  5. Kekecewaan pemilik unit saham amanah di ASN sebab dana mereka dilaburkan bagi membiayai bisnes yang tidak manfaatkan KEB, hanya kerana KPI para pengurus dana ini ialah ROI semata-mata.

Paparan dalam dokumen RMK12 sepertimana terkandung dalam perenggan 66 nota pembentangan RMK12 oleh Perdana Menteri di Parlimen, adalah seperti berikut:

  • Pegangan Bumiputera                    17.2 %
  • Pegangan bukan-Bumiputera        25.0 %
  • FDI                                                      45.5%
  • Nominees                                          12.3%

Awal tahun ini MPM, menerusi JKK KEB 1 1965-2020, dapatkan fakta yang lebih jelas mengenai Pasaran Modal Malaysia, seperti berikut:

Bursa Malaysia
Kategori PLCNos.Nilai (RM B) 
Top 1001001434 
Lain-lain836  383 
Jumlah9361817 
Kepentingan Bumiputera
Top 100  11170.6 B 
  Individual Bumi  17.0 B
  Inst. Bumi    6.1 B
  GLC-related147.5 B
Bottom 836121  55.0 B 
Jumlah132225.6 B12.4% @ 1817 B

Sasaran min. 30% of RM 1817 B              RM 545.1 B

Shortfall:                                                      319.5 B (17.6%)

Purata saiz modal PLC @ Bursa Malaysia:

            Top    30                    58% (1053 B)           RM 35.2 B/Co

            Top    70                    21 %  (381 B)           RM   5.4 B/Co

            Baki 836                    21 %  (382 B)           RM   0.5 B/Co

Data-data ini tidak ambilkira pemilikan ekuiti dalam syarikat-syarikat persendirian dimana, bilangan PMKS milik Bumiputera jauh lebih rendah berbanding bukan-Bumiputera.

Hakikatnya, dalam keadaan semasa pun PLC milik atau dikuasai Bumiputera amat jauh tercicir, dari semua segi; nilai pasaran modal, bilangan dan saiz PLC yang dimilikinya.

  • Agensi-agensi Kosmetik Agenda Bumiputera

Dek kuatnya desakan menolak perlaksanaan MBE 2010-2020, yang dilancarkan pada 30-3-2010 yang cuba kembali ke model ekonomi pasaran terbuka, semasa pelancaran RMK 10, pada 10-7-2020, kerajaan membuat “u-turn” dengan menubuhkan tiga agensi meneruskan perlaksanaan 3 teras utama DEB 1970:

  • TalentCorp bagi mengwujudkan peluang pekerjaan;
  • Ekuinas bagi mengwujudkan peluang pemilikan ekuiti, dan
  • MTAB bagi memperbanyakkan peluang bisnes dikalangan KEB

Realitinya, begitulah cara pemimpin Melayu bermain politik dalam melaksanakan Agenda Bumiputera. Kesemuanya hanyalah hidangan kosmetik.

Di saat ini, tidak lagi kedengaran TalentCorp dengan Agenda Pekerjaan Bumiputeranya. Ia adalah agensi nasional untuk semua.

Di saat ini tidak kedengaran lagi MTAB yang pada 14-9-2013 dijenamakan sebagai MAB (Majlis Agenda Bumiputera), menjuarai Agenda Ekonomi Bumiputera. Sesekali terdengarlah Sekretariat Tetapnya, TERAJU “main pondok-pondok” di sana-sini.

Ekuinas pula, yang bermula dengan dana yang besar, tidak nampak banyak mana ekuiti Bumiputera telah dipertingkatkan, jika nak dibandingkan dengan usaha magik PNB. Yang kedengaran hanyalah usaha penstrukturan ekuiti yang ibarat perpindahan pemilikan “left pocket to right pocket”. Impaknya, pemilikan ekuiti Bumiputera terus menguncup dari semua segi, bukan sekadar peratusan saja.

  1. Jaringan Keselamatan Ekuiti Bumiputera

Dikalangan Komuniti Kewangan & Pasaran Modal Islam @ MPM, kami telah membina minda yang tidak apologetic kepada semua, termasuk Bumiputera dikalangan penjawat awam, pengurus korporat dan pemimpin politik yang mempersendakan Agenda Bumiputera, apatah lagi kepada blok kapitalis Barat + Timur dan puak-puak cauvinis. Sebabnya ialah kerana kami Bumiputera, dalam semua aspek kemakmuran (bukan saja ekonomi dan kewangan), dilayan ibarat “anak di rumah kehausan”, “kera di hutan disusukan”, “dagang lalau ditanakkan, suami di rumah kebuluran”, sekalipun mereka itu semua tahu kami adalah “ayam di kapok mati kelaparan” dan “itik di air mati kehausan”.  Dah aberbuih mulut kami menyuarakan kehampaana ini. Realitinya, kami ibarat “anjing menyalak bukit”, haram mereka itu semua tak abil peduli.

Misi kami, order baru kami, ialah mendesak kerajaan dan memberikan kerajaan sokongan bersyarat, untuk ia melakukan pengislahan menyeluruh, atau jargon semasa “Total Re-set” atau “The Great Re-set”, untuk menggubal satu order pembangunan dan kemakmuran baru.

Khusus bagi inisiatif pembentukan jaringan Keselamatan Ekuiti Bumiputera ini, dinyatakan di sini kehendak kami.

Ekuinas telah gagal. Samada tutup atau lakukan rombakan menyeluruh terhadapnya dalam segala aspek termasuk kepimpinan dan pengurusan. Anggaplah ia satu agensi yang telah rosak sepenuhnya dan tak berbaloi untuk dibaik-pulih.

Bagi mencapai misi penubuhan fraterniti ini dan untuk ianya tidak dijadikan satu lagi agenda kosmetik mengaburi mata Bumiputera, kerajaan wajib pastikan, fraterniti ini, yang dirujuk di sini dengan label “BEqS”, melaksanakan paling tidak misi-misi berikut:

  • Misi Kekang Kesusutan

BEqS kaji dengan mendalam kemampuan pegangan ekuiti Bumiputera dan tangani punca kesusutannya.

Diantara tindakan yang wajar dilakukan ialah bagaimana fraterniti ini mampu tawarkan pembelian ekuiti secara “first right refusal” kepada mana-mana Bumiputera yang ingin lupuskan pegangan ekuitinya, dalam mana-mana PLC, atas apa jua alasan. Kemudiannya kelak, ia lupuskan ekuiti itu kepada mana-mana Bumiputera atau institusi kepentingan Bumiputera lain yang berkemampuan mengambil-alih ekuiti-ekuiti tersebut.

  • Misi Penyelamat

Dengan sifatnya begitu dimana pasaran modal adalah volatile, akan ada ketikanya sesuatu PLC itu akan alami kejatuhan nilai pasaran. Dalam keadaan sedemikian, BEqS ini atas nasihat atau persetujuan kerajaan, lakukan usaha mengambilalih ekuti yang terpaksa dilupuskan demi menyelamatkan PLC milik/dikuasai Bumiputera itu.

  • Misi “Dawn-raid”

Kepimpinan & pengurusan BEqS ini wajib memiliki integrity, amanah, kebijaksanaan dan keberanian luar biasa ulangi sejarah “dawn raid” dengan kaedah dan strategi berlainan, bagi terus miliki PLC strategik, termasuk dikalangan MNC.

  • Misi Pengembangan

Banyak peranan yang wajar dimainkan oleh BEqS  dalam memudahcara penyenaraian lebih banyak mid-tiers corporations milik Bumiputera. Ini termasuklah menyediakan dana bagi urusan penyenaraian atau pembelian ekuiti semasa penyenaraian, bagi menyuntik sentimen market capitalization.

  • Misi Didikan & Latihan  

Misi mendidik masyarakat Bumiputera untuk melabur dalam pasaran modal dan memperbanyakkan institusi pelaburan pasaran modal Islamik adalah juga diantara fungsi dan mandat baru bagi BEqS ini.

  • Misi Penetapan Pelaburan

Adalah juga menjadi tanggung-jawab BEqS untuk pastikan dana pelaburan yang terkumpul dalam mana-mana institusi pelaburan Bumiputera dilaburkan atau untuk dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat Bumiputera untuk dikembangkan dan akhirnya disenaraikan.

  • Misi Perlindungan Pelaburan & Perdagangan

Dengan globalisasi sebagai order baru yang tidak mampu dikawal oleh Malaysia sebagai Negara kerdil, amat perlu ada agensi atau institusi kerajaan yang mampu mendepani dan menjuarai Agenda Pelaburan Bumiputera secara langsung atau tidak langsung. Ini termasuklah peningkatan kapasiti dan keupayaan bersaing dikalangan KEB untuk kekal competitive di pasaran global, malah di pasaran domestik yang sudah pun terdedah kepada gelombang globalisasi, termasuk ratifikasi beberapa FTA.

  • Lain-lain Fungsi & Misi

Pastinya ada banyak lagi fungsi dan misi yang boleh dipertanggung-jawabkan kepada BEqS bagaimana ekuiti milik Bumiputera boleh diperbesarkan, tanpa menyentuh hak dan kepentingan lain-lain pihak. Malah, peranan BEqS ini juga hendaklah diperkasakan bagi membolehkan ia menjuarai Agenda Pelaburan Bumiputera sebagai FDI di beberapa pasaran modal asing yang strategik. Maknanya, BEqS juga turut melakukan anjakan paradigma untuk mengajak bersamanya para pelabur Bumiputera keluar dari kepompong pelaburan di pasaran domestik. Norway telah lakukan dengan jayanya, mengapa kita tidak?

  1. Cabaran Order Baru

Malangnya apabila ada dikalangan pemimpin politik, penjawat awam, pengurusan korporat dan NGO Bumiputera yang menginsafi akan malapetaka yang menimpa Bumiputera akan kesusutan pegangan ekuiti ini, mereka berdepan pula dengan satu perang persepsi baru. Peperangan persepsi order baru ini menyerang dari banyak sudut.

Jika serangan persepsi negatif ini datangnya dari puak-puak cauvinis,  ia adalah sesuatu yang dijangka. Sedihnya, ialah apabila serangan persepsi dan manipulasi ini  turut dicetuskan oleh pemimpin politik dan cerdik-pandai Melayu generasi muda, yang menggunakan kedudukan atau kepakarannya memanipulasi hasrat murni, seperti penubuhan fraterniti jaringan keselamatan ekuiti ini. Tindakan mereka itu turut diambil kesempatan oleh puak-puak cauvinis yang tegar, yang ingin pastikan “ayam di kapok akan terus kebuluran”. Inilah bahananya apabila Negara yang begini majmuk rakyatnya dari banyak aspek, gagal ditarbiahkan untuk bersedia menjadi sebahagian dari Keluarga Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera secara adil dan saksama.

  1. Order Baru Pembangunan Kemakmuran Negara

Bumiputera sebagai kelompok majoriti tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada nasib. Bumiputera wajib miliki minda “superior” yang berkeupayaan tinggi mencipta peluang dan kebijaksanaan, disamping menangkis serangan persepsi dan manipulasi.

Teladanilah bagaimana UAE menggubal perlembagaannya bagi melindungi hak dan kepentingan 22% Emiratees sebagai rakyat UAE, manakala selebihnya paling layak sekadar sebagai PR, sekalipun telah berpuluh keturunan bermastautin di UAE. Pemerintah mereka bukan sekadar berani menguatkuasakan undang-undang yang memperkasakan hak dan kepentingan bangsanya, mereka ada kebijaksanaan bagaimana memajukan negara mereka untuk manfaat bangsanya. Diantara teladan yang boleh kita pertimbangkan termasuklah pelan pembangunannya yang diketahui umum akan kejayaannya iaitu DGEP (Dubai Government Excellence Program).

“Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah ke pangkal lengan”. Alang-alang merangka pembangunan dan kemakmuran order baru, guballah satu dasar yang konsisten dengan Perlembagaan yang kini banyak pihak cuba mencuitnya untuk dipinda.

Bumiputera sudah letih mengadu.

Aduan Bumiputera ibarat “mencurah air ke daun keladi”

Bumiputera akan berhenti mengadu.

Sebaliknya, Bumiputera tidak akan lagi jadi bangsa yang apologetic. Bumiputera akan bangkit sebagai bangsa yang “superior”, disamping kehadirannya sebagai majoriti berstatuskan Pribumi.

Sudah ditakdirkan begitu sifatnya, Bumiputera akan kekalkan sifat-sifatnya yang sentiasa berlaku adil dan saksama dengan semua.

Hendaknya penubuhan Jaringan Keselamatan Ekuiti Bumiputera ini tidak teladani atau ulangi Ekuinas yang gagal.

Hendaknya perang persepsi yang disengajakaan dihentikan jika semua pihak ikhlas menjulang slogan Keluarga Malaysia.

Dari kami:

Panel Pemikir

Komuniti Kewangan & Pasaran Modal Islam @ MPM

Dato Dr Hasan Mad

Hj (Dr) Salihin Abang

Prof Datuk Mohd Yusof Kasim

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardaie

Prof Dato Sri Dr Zabid Abd Rashid

17-10-2021