Oktober 5, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

RMK12: Agenda atau peluang!

I. Pembuka-bicara

Sebanyak mana manfaat yang dapat diraih dari RMK 12 bergantung kepada selera, nafsu dan keghairahan kita sebagai “opportunis”, mencetus atau merebut peluang yang ada atau yang dapat dicipta. Ini kerana RMK 12 bukanlah satu pelan tindakan yang tawarkan hidangan tersedia untuk dilapah. Untuk itu, setiap dari kita wajar mempunyai “agenda” kita sendiri dalam memanfaatkan perancangan yang terkandung didalam dokumen RMK12 ini.

Oleh kerana begitu sifatnya dokumen ini maka saya kongsikan pandangan saya dari sudut “agenda” dan “peluang”, bermula dari Dato’ Sri ismail Sabri, sebagai Perdana Menteri, hinggalah kepada Kak Kiah, penjual nasi lemak di tepi lorong kecil di Bangi, atau Brader Grab Dr Saiful yang berulang-alik Serdang ke IOI City Mall Putrajaya, 50 kali sehari, 365 hari setahun.

● Sebagai pemimpin politik Dato Sri Ismail menagih sokongan dan perakuan dari rakan-rakan Wakil Rakyat. Beliau perlu dapatkan “buying-in” dari mereka itu.

● Sebagai ketua kerajaan, beliau juga perlu dapatkan “buying in” dari semua pemegang-taruh. Jika tidak, apa agenda nasional yang hendak dijuarai.

● Beliau juga adalah jagoh agenda Bumiputera, maka beliau wajib pastikan agenda Bumiputera adalah agenda nasional, bukan agenda nasional sebagai agenda bumiputera.

● Justeru, kenalah beliau pastikan pendekatannya ini tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Dengan itu juga lebih mudahlah beliau memacu jentera awam, korporat & swasta bersamanya mengangkat Malaysia menjadi “The Global Nation of Prosperity”.

● Kak Kiah dan Brader Dr Saiful, tak boleh mengeluh jika RMK12 tidak memanfaatkan mereka untuk lima tahun akan datang, kecuali mereka berdua ini punyai minda ”opportunist” sama seperti Dato’ Sri Ismail Sabri, dalam mencetuskan peluang dari dokumen RMK12 yang disediakan itu. Tiada siapa yang akan berhenti membeli nasi lemak dari Kak Kiah sambil menawarkan beliau dana untuk membesarkan bisnesnya. Atau, menawarkan Brader Dr Saiful dari “business runner” kepada “business owner”.

● Untuk mencipta “peluang’ setiap dari kita wajib punyai “agenda” kita sendiri bagaimana sesuatu peluang itu dapat dicipta. Barangkali kita mual dengan keadaan politik semasa, tetapi tidak bermakna kita tidak perlukan agenda politik untuk mencipta peluang. Kita enggan berurusan dengan agensi kerajaan yang berkaitan kerana bosan dengan gelagat dan tata-cara pegawai di agensi berkenaan bekerja atau melaksanakan agenda nasional yang diamanahkan kepadanya. Tetapi kita tiada pilihan sebab beliau di agensi itulah yang telah diamanahkan kerajaan sebagai agensi pelaksana. Mahu atau tidak kita wajib ada agenda atau strategi bagaimana untuk terus berurusan dengannya dan mencapai misi kita. Atas nama “peluang’ kita wajib cari kaedah terbaik untuk terus berurusan dengan agensi pelaksana berkenaan. Kecekalan sedemikianlah yang ada pada kebanyakan usahawan bangsa lain yang menyebabkan akhirnya mereka berolehan kejayaan.

Jom kita selami RMK12 ini dari sudut “agenda” dan “peluang” dengan mendalami sedikit lagi setiap “agenda’ ini.

II. Agenda Politik = Agenda Pemimpin

Sebagai pemimpin politik, Dato’ Sri Ismali Sabri pastinya tidak lepaskan “peluang” mempolitikkan RMK12 ini. Hatta, dokumen RMK12 itu perlulah diubahsuai mengikut selera politiknya.

Jika ianya diterima oleh rakan-dan-lawan politiknya, apatah lagi jika ia konsisten dengan MOU Kerajaan-PH, sudah pastilah berbakul-bakul “political mileage” beliau mampu raih.

Bagi memenuhi keperluan itu, bukan sekadar menjenamakan semula dokumen itu untuk ianya konsisten dengan jenama Keluarga Malaysia dan tema Kemakmuran, Inklusif & Mampan, malah isi kandungannya juga wajiblah konsisten dengan jenama itu.

Sebagai golongan “opportunis”, kita wajar membiasakan diri dengan selera sedemikian. Tanpa menggadaikan prinsip perjuangan kita, “peluang” yang terdampar atau dicipta, wajib disambar.

III. Agenda Nasional = Agenda Kemakmuran

Setelah 55 tahun laksanakan pembangunan terancang dengan pelan pembangunan berpenggal sebegini, buat kali pertama, bagi penggal ke-12 ini Negara berhijrah ke model pembangunan berteraskan kemakmuran. Inilah agenda utama RMK12, iaitu membina kemakmuran untuk semua secara setara, adil dan saksama.

Pun begitu, takrifan dan model kemakmuran berbeza-beza mengikut kefahaman, keperluan dan citarasa mereka yang terlibat.

Kerajaan mentakrifkan kemakmuran sesuatu yang bertunjangkan ekonomi, manakala lain-lain tunggak kemakmuran sekadar pelengkap. Maka dihasilkanlah model kemakmuran sepertimana yang dipaparkan dalam dokumen RMK12 itu.

Sebagai NGO mewakili kepentingan Bumiputera, MPM melihat dokumen RMK12 itu untuk memenuhi keperluan pembangunan mengikut acuan agenda nasional yang masih berdepan begitu banyak jurang yang perlu dirapatkan, ketidaksamaan yang perlu disetarakan dan begitu banyak variables yang perlu diambilkira.

Kita telah lama maju dan rakyat kini lebih berpendidikan, tetapi minda dan hati-budi segelintir dari kita masih lagi ‘polarised”, makanya kita masih lagi menerima pelbagai takrifan songsang mengapa jurang dan ketidaksetaraan itu masih ujud. Pun begitu, dalam beberapa kes terpencil, ada kebenarannya akan hujah mereka, mempersoalkan bagaimana ada diantara benefisiari ini yang tiba-tiba menjadi golongan kayangan.

Justeru, dalam mempertahankan peracangan yang dimuatkan didalam RMK12 itu terpaksalah kita terus bersilat, satu berdepan dengan golongan “manipulators” ini dan di satu sudut mempertikaikan cara mana sesetengah mereka itu menjadi golongan “kayangan” dengan cara yang dipertikaikan.

Apa pun cabarannya, kepada sesiapa yang berhasrat mengintai “peluang” yang mampu direbut dari dokumen RMK12 ini, sudi-sudilah memahami apa yang terkandung dalam dokumen itu, dalam paparan berkaitan atau atas nama:

● 3 tema pembangunan

● 4 pemangkin dasar

● 4 matlamat utama

● 9 fokas utama

● 14 pemacu perubahan

● Misi menjadi Negara berpendapatan tinggi & kehidupan bekualiti tinggi

Jika pengalaman lampau MPM dalam berurusan dengan beberapa agensi pelaksana dijadikan penanda-aras penerimaan mereka terhadap dokumen seperti ini, ianya adalah sesuatu yang amat mendukacitakan, sehinggakan salah seorang dari kami (arwah) yang terlibat dalam libat-urus itu terlalu kecewa lantas menghasilkan ulasan atas tajuk “RMK11: Planning to fail”.

Andaikata pemegang-taruh dan jentera awam, korporat dan swasta masih lagi bermentaliti “menunggu hidangan” , nasib dokumen RMK12 ini juga akan kekal di tahap lama.

Apa pun flavor RMK12 ini ia adalah paparan satu agenda nasional untuk kepentingan semua. Tidak betul mengatakan ia adalah agenda nasional bercitarasakan agenda bumiputera, hanya kerana ada terkandung didalamnya satu bab mengenai agenda Bumiputera. Malangnya ada beberapa penganalisis terkenal, termasuk dari negara jiran, yang dikenali kebijaksanaannya, telah menggunakan kebijaksanaanya itu memanipulasi cerita RMK12 ini kononnya ia lebih mirip atau memberi penekanan lebih kepada golongan tertentu dikalangan Bumiputera. Niat sedemikian adalah tidak baik tatkala kerajaan beria-ia membina kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua.

IV. Agenda Bumiputera = Agenda Tetap

Agenda Bumiputera adalah agenda tetap yang wajib diselitkan dalam apa juga agenda nasional, kerana ia memenuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Malangnya, tidak ramai dikalangan Bumiputera itu sendiri yang benar-benar faham akan peruntukan itu. Mereka dikalangan pakar perlembagaan dan sejarah pula tidak tampil memperjelaskan dan mendidik semua kelompok rakyat Negara ini, termasuk bukan-Bumiputera, mengenai peruntukan Perlembagaan berkaitan dengan agenda Bumiputera ini.

Lantas, kekeliruan mengenainya dibiarkan terus tercetus tanpa pembelaan atau penjelasan, maka semakin banyaklah kekeliruan ditimbulkan, hasil kerja manipulasi mereka yang ghairah memanipulasi isu-isu sensasi seperti ini.

Bagi mempertahankan agenda ini cerdik-pandai Bumiputera dalam semua bidang kepakaran (bukan hanya dikalangan komuniti ekonomi dan politik saja) wajib bersuara mempertahankan hak Bumiputera yang legitimate. Semua pihak termasuk bukan Bumiputera wajib sama-sama bertanggung-jawab perbetulkan persepsi negatif dan dimanipulasikan. Kerajaan juga wajib bertindak tegas terhadap para manipulators ini, termasuk mengenakan tindakan dibawah Akta Hasutan 1948, kerana mereka berbuat demikian dengan niat mencetuskan kebencian dikalangan sesama rakyat.

V. Agenda Globalisasi = Agenda Tumpuan

Hendaknya bermula perancangan RMK12 ini wajib ada Agenda Tumpuan.

Untuk kesekian lamanya kita asyik merancang agenda pembangunan Negara hanya dari sudut pembangunan domestik semata-mata. Sebagai Negara maju yang ingin menjadi Negara berpendapatan tinggi, pasaran domestik dan sekadar bercerita menjadi pemain di pasaran domestik yang kecil ini tidak akan mampu melonjakkan Negara menjadi Negara berpendapatan tinggi.

Sejajar dengan hasrat itu dengan pada masa yang sama berusaha membina kualiti kehidupan yang tinggi, saya menyarankan Agenda Globalisasi dijadikan Agenda Tumpuan bagi RMK12 ini.

Agenda ini juga diharapkan dapat mengekang berlakunya “brain drain”. Ratusan ribu kepakaran tempatan serta syarikat tempatan berhijrah ke negara di mana pasarannya sudah jauh lebih maju dan lebih terbuka seiringan dengan gelombang globalisasi dunia.

Persoalan pertama ialah bagaimana sewajarnya pemain industri tempatan mampu dan bernafsu menjadi pemain di pasaran global. Bagaimana PEA, GLC & GLIC Malaysia meneroka serta menerajui agenda globalisasi negara. Bagaimana tenaga professional dan berkemahiran tinggi meneroka pasaran global. Bagaimana boleh dirangsanag pemain industri Malaysia membina rangkaian diaspora, sebagai sebahagian dari jaringan pasaran global Negara.

Kedua, bagaimana Negara ini sewajarnya dibangunkan sebagai hab pasaran global. Janganlah berasa malu untuk meniru negara jiran yang kerdil itu tapi kekuatan ekonominya terbina dari misi dan visinya menjadi hab teknologi, kepakaran, kewangan dan ekonomi global.

UAE pula bukan saja meniru model globalisasi negara berkenaan, malah, menerusi program pembangunan DGEP (Dubai Government Excellent Program), mereka telah islahkan Dubai dari sebuah kawasan gurun kini menjadi hab serbaneka utama di dunia.

Jika saranan ini diambilkira, pembangunan kapasiti, bakat, pra-sarana pelaburan dan sebagainya hendaklah dirancang sebaik mungkin, sebab beberapa hab baru, malah lebih berdaya-saing berbanding Dubai, sedang dirancang. Jika kita tidak merancang untuk menjadi pesaing global, kita akan tercicir. Bila kita tercicir di persada global, hasrat menjadi The Asian Tiger atau hasrat mengembalikan Malaysia menjadi “The Investment Heaven’, hanya sekadar angan-angan saja. Sekarang ini pun dikalangan 10 negara ASEAN kita sudah berada di ranking kelima. Itu pun sebelum kita dipintas oleh Filipina. Adakah kita nak setaraf dengan lima lagi negara ASEAN yang kerdil itu?

Malaysia hendaklah dirancang dengan teratur menjadi “The Global Nation of Prosperity”. Bukan saja berdayasaing tinggi sebagai Negara berpendapatan tinggi dan makmur, jah lebih penting ialah hasrat untuk semua rakyatnya berhak menikmati kehidupan yang sejahtera dan berkualiti tinggi.

Dato’ Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM

6-10-2021