Oktober 5, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Kuman Politik, Melayu Meroyan

Sudah banyak rencana saya tulis dan tiga surat terbuka saya warkahkan kepada tiga pemimpin utama institusi politik Melayu. Tak satu pun mesej itu mencuit hati dan perasaan para pemimpin dan pengampu politik Melayu yang saya sasarkan.

Memanglah penulisan saya tak sehebat mana tapi mesej yang nak disampaikan bukanlah sukar sangat untuk dimengerti. Sebenarnya, ia bukan masaalah pengertian. Ia adalah manifestasi bahawa ramai pemimpin dan pengampu politik Melayu ini yang telah dijangkiti kuman politik yang jauh lebih berbahaya dari apa juga kuman atau virus pembawa pelbagai penyakit kronik. Kuman ini menyebabkan mereka yang dijangkiti meroyan, jika pun belum sampai ketahap gila politik kronik.

Kuman politik ini pelik sungguh sifat dan citarasanya. Ia hanya berminat menyerang para pemimpin dan pengampu politik Melayu tertentu saja.

Hari ini kita boleh lihat betapa ramai yang dah diserang kuman ini dah meroyan. Dalam keadan sedemikian, masakan mereka nak ambil peduli kesengsaraan yang menimpa rakyat. Puluhan kelompok NGO, setiap satu mewakili ratusan NGO, setiap NGO itu pulak mewakili ribuan rakyat, mempersembah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mohon campur-tangan Baginda, desak laksanakan gencatan politik. Sebabnya, rayuan rakyat melalui NGO berkenaan kepada para pemimpin Melayu itu sudah tidak didengari.

Musibah apa agaknya yang menimpa Negara-ku ini sehinggakan begitu ramai pemimpin politik bangsa-ku yang begini jadinya?

Mujurlah Tuanku sudi bersama patek sekelian mendepani wabak ini. Harapnya Tuanku mampu menjadi tabib mengubati mereka itu. Kesihan Tuanku terpaksa menanggung beban ini.

Hanya Allah SWT saja yang maha mengetahui.

Dato’ Dr Hasan Mad Setiausaha Agung MPM 14-8-2021