Tak perlulah diperdebatkan lagi. Hakikatnya budaya politik Malaysia sudah terlalu memualkan. Perangai sebahagian dari pemimpin lebih hodoh berbanding remaja berbaju hitam yang baru-baru ini berdemonstrasi jalanan atas tajaan puak-puak politik sarkas itu. Rakyat dah mual melihat ‘wakil’ mereka semakin tidak bertamadun.
PN tiada majoriti untuk terus bertahan. Ia diparahkan lagi blok pembangkang turut dianggotai pakar dalam menjatuhkan pemimpin, berjaya menjatuhkan sesiapa saja Perdana Menteri, termasuk dirinya sendiri. Sampai kiamat pun kestabilan politik tidak akan dapat Negara ini nikmati.
Inilah agaknya balasan kepada Negara ini yang mengizinkan ramai mereka bersifat mazmumah memimpinnya. Ramai diantara mereka terpalit dosa rasuah dan salah-guna kuasa. Malah puak-puak cauvinis dan anti-nasional yang mencemari kesucian institusi khalifah pun turut dinobatkan sebagai ‘pemimpin’.
Genap 64 tahun Negara berdaulat ini mencapai kemerdekaan, sebelum 31-8-2021 ini Institusi Istana wajib bertindak menamatkan 64 tahun sistem berparlimen ini yang membenarkan ramai mereka yang terkeji itu terpilih dan bergelar pemimpin.
MPM dan banyak lagi pertubuhan sudah kemukakan pelbagai memorandum kepada pihak Istana mendesak Tuanku bertindak.
Sehingga kini masih belum ada tanda-tanda Majlis Raja-Raja Melayu akan bersidang, membuat keputusan mengambil tindakan menyelamatkan Negara dan mengembalikan keyakinan rakyat.
Baginda sekelian pasti lebih maklum akan tahap kesabaran rakyat. Pastinya risikan PDRM dan MKN sentiasa update Tuanku sekelian akan tahap suhu kesabaran rakyat.
Yang pasti, rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap institusi politik dan kepimpinan di Negara ini. Yang pasti mereka bukanlah dikalangan khalifah yang bersedia menerima teguran jauh sekali untuk berubah.
Jika pun Kerajaan PN berjaya ditumbangkan, siapa akan menggantikannya? Jika pun dikembalikan Kerajaan PH, proses yang sama akan berlaku kerana pakar-pakar yang saya maksudkan masih ada dalam suasana politik masa kini.
Realitinya, Negara ini perlu melakukan the great political re-set untuk menukar sistem pemilihan pemimpin. Istana dan rakyat wajib pastikan hanya mereka yang benar-benar bertamadun, bersifat mahmudah dan passionate menggalas amanah rakyat saja terpilih mempimpin dan mentadbir Negara ini untuk kembali makmur dan aman damai.
Mengadakan PRU15 bukan penyelesaian terbaik buat masa ini selagi sistem pemilihan pemimpin tidak diislahkan.
Hakikatanya, Malaysia sudah dikemuncak untuk lakukan political re-set perdana (the great political re-set).
Ampun Tuanku, mulakanlah langkah ini dengan melakukansatu proses political cooling off.
Ampun Tuanku, mohon sudi kiranya digantung parlimen dan isytiharkan darurat keselamatan.
Dalam tempoh darurat ini Tuanku pimpinlah kerajaan interim mentadbir Negara, mengeluarkan ia dari the dark ages yang melandanya, disebabkan wabak covid + kegawatan ekonomi + malapetaka politik.
Sebaik saja Negara ini dapat dikeluarkan dari the dark ages itu kembalikanlah kepimpinan Negara ini kepada para khalifah yang dipilih rakyat dan direstui Tuanku, berdasarkan sistem pemilihan demokrasi yang lebih bertamadun.
Sistem demokrasi dan pemilihan sedia ada boleh dikekalkan tetapi wajib diperketatkan dan diislahkan bagi pastikan tiada sesiapa yang bersifat mazmumah, cauvinis dan anti-nasional layak bertanding merebut 222 kerusi parlimen dan ditabalkan sebagai ‘Wakil Rakyat’.
Ampun Tuanku.
Dato Dr Hasan Mad
Setiausaha agung MPM
3-8-2021
More Stories
Himpunan Solidariti Rakyat Tolak RUU URA: Pendirian Tegas MPM
RUU Pembangunan Semula Bandar: Pendirian Tegas MPM Demi Masa Depan Bumiputera
Opportunities for Malaysia’s Ports: Time to Reclaim Our Maritime Edge