Ogos 26, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Bahasa Sebagai Aset, E-Buku Sebagai Strategi

Bahasa merupakan nadi tamadun, wahana ilmu dan cerminan jati diri sesuatu bangsa. Fungsinya bukan sekadar…

Oleh:  Maszelimon Supa’at


Bahasa merupakan nadi tamadun, wahana ilmu dan cerminan jati diri sesuatu bangsa. Fungsinya bukan sekadar sebagai alat komunikasi, malah bahasa turut membentuk pemikiran, menyampaikan nilai, merakam pengalaman dan mewariskan budaya daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Dalam masyarakat majmuk, bahasa juga menjadi penghubung antara pelbagai latar belakang serta pemangkin keharmonian sosial. Bahasa yang kukuh berupaya membina keperibadian, memperluas ilmu dan mencorakkan arah pembangunan sesebuah negara.

Persoalannya, sejauh manakah bahasa dimanfaatkan sebagai aset bernilai dalam dunia digital dan ekonomi masa kini?

Salah satu strategi yang semakin penting untuk memperluas penggunaan bahasa dalam era teknologi ialah melalui penerbitan e-book atau e-buku.

E-buku merupakan medium penyampaian ilmu yang moden, mudah diakses dan mampu melangkaui sempadan fizikal. Kandungan dalam bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain boleh disampaikan kepada khalayak tempatan mahupun antarabangsa tanpa terlalu bergantung pada proses percetakan dan pengedaran secara tradisional.

Perkembangan ini membuktikan bahawa teknologi bukanlah ancaman kepada bahasa, sebaliknya membuka ruang yang lebih luas untuk bahasa berkembang sebagai wahana ilmu dalam dunia digital.

Selain itu, e-buku berperanan penting dalam mempercepat penyebaran ilmu kepada masyarakat. Sesebuah karya yang dihasilkan di satu tempat boleh dibaca oleh khalayak di pelbagai lokasi dalam tempoh yang singkat. Pembaca hanya memerlukan peranti digital dan capaian yang sesuai untuk memperoleh bahan bacaan yang diperlukan.

Keadaan ini menjadikan e-buku sebagai medium yang boleh berubah mengikut keadaan, praktikal dan mesra pengguna.

Jelaslah bahawa e-buku mampu memperluas capaian bahasa serta menjadikan ilmu lebih mudah diperoleh oleh masyarakat.

Daripada sudut ekonomi pula, e-buku membuka peluang baharu kepada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bahasa dan kandungan. Penulis, pendidik, penterjemah dan jurulatih komunikasi boleh menghasilkan produk ilmu sendiri serta memasarkannya melalui platform digital.

Kos pengeluaran yang lebih rendah berbanding penerbitan bercetak membolehkan seseorang memulakan usaha penerbitan tanpa memerlukan modal yang terlalu besar. Pengetahuan, pengalaman dan kemahiran bahasa yang dimiliki boleh diterjemahkan kepada produk yang mempunyai nilai komersial.

Tegasnya, bahasa bukan sahaja menjadi medium penyampaian ilmu, malah mampu menjadi aset yang menjana nilai ekonomi.

Dalam bidang pendidikan, e-buku turut menjadi jambatan kepada capaian ilmu yang lebih meluas dan saksama. Murid di luar bandar, pelajar di pusat pengajian tinggi, ibu bapa, golongan dewasa dan pesara boleh memperoleh bahan bacaan dengan lebih mudah serta pada kos yang lebih berpatutan.

Kandungan yang disampaikan menggunakan bahasa yang jelas, mesra pembaca dan dekat dengan kehidupan seharian akan lebih mudah difahami. Situasi ini menjadikan e-buku sebagai pemangkin kepada pendidikan sepanjang hayat kerana proses mendapatkan ilmu tidak lagi terhad kepada bilik darjah atau institusi pendidikan formal.

Oleh itu, e-book berpotensi membantu membentuk masyarakat yang sentiasa belajar dan meningkatkan pengetahuan.

Lebih penting lagi, perkembangan penerbitan digital telah membuka ruang kepada lebih ramai individu untuk menyumbang kepada penyebaran ilmu. Dunia penulisan tidak lagi menjadi ruang terhad untuk penulis ternama atau penerbit besar sahaja. Sesiapa yang mempunyai pengalaman, kepakaran dan keberanian untuk menulis boleh menghasilkan e-buku yang bermanfaat kepada masyarakat.

Keadaan ini dapat melahirkan lebih ramai penulis baharu, memperbanyak khazanah ilmu dan memperkukuh budaya membaca serta menulis. Maka, e-buku bukan sekadar sebuah produk digital, tetapi turut menjadi alat pemerkasaan masyarakat celik ilmu dan teknologi.

Pada masa yang sama, penghasilan e-buku yang berkualiti memerlukan penguasaan bahasa yang baik. Kandungan yang bernilai tidak akan memberi kesan sepenuhnya sekiranya disampaikan dalam bahasa yang lemah, tidak tersusun atau sukar difahami.

Penulis perlu memberikan perhatian terhadap ketepatan fakta, penggunaan kosa kata, struktur ayat dan gaya penyampaian agar karya benar-benar berwibawa. Bahasa yang kemas akan meningkatkan keyakinan pembaca terhadap kandungan yang disampaikan. Hal ini membuktikan bahawa kekuatan e-buku bukan hanya terletak pada teknologinya, tetapi juga pada mutu bahasa dan ilmu yang terkandung di dalamnya.

Perbincangan tentang bahasa sebagai aset dan e-buku sebagai pendekatan yang disusun jelas menunjukkan bahawa kedua-duanya berupaya memperluas penyebaran ilmu, memperkukuh pendidikan serta membuka ruang ekonomi dalam era digital.

Kerajaan, institusi pendidikan, penerbit dan penulis seharusnya berganding bahu untuk memperluas penerbitan e-buku berkualiti serta memperkukuh penggunaan bahasa sebagai wahana ilmu, ibarat aur dengan tebing.

Harapan kita agar e-buku terus berkembang sebagai medium ilmu yang mampu memartabatkan bahasa, meluaskan akses pendidikan dan membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat.

Sebagai kesimpulannya, bahasa yang dimanfaatkan dengan bijaksana dan e-buku yang digunakan secara strategik mampu membina masyarakat berilmu, kreatif dan berdaya saing pada masa hadapan.