Oleh Ahmad Ismail
Di Kedah, nadi pengeluaran beras negara kini berdepan krisis berganda yang membimbangkan kehidupan pesawah. Bendang di kawasan MADA merekah akibat kemarau panjang, sementara empangan Muda, Pedu dan Ahning gagal menyalurkan air mencukupi. Pada masa sama, harga diesel melonjak ke paras RM6.72 seliter akibat ketegangan geopolitik di Teluk, menjerut kos operasi membajak dan menuai. Petani tersepit di antara tanah yang kering dan kos yang melambung.
Kawasan MADA menyumbang hampir 40% bekalan beras Malaysia. Gangguan musim menanam bukan sekadar masalah lokal, tetapi ancaman kepada jaminan makanan seluruh negara. Jika sawah gagal ditanam tepat pada waktunya, bekalan beras akan terganggu. Lebih membimbangkan, negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia juga berdepan masalah sama akibat fenomena iklim dan krisis tenaga. Malaysia tidak boleh bergantung kepada import semata-mata kerana rantai bekalan serantau turut rapuh.

Petani kini menanggung beban yang tidak tertanggung. Kos operasi meningkat daripada upah membajak dua pusingan, penggunaan pam air, hinggalah kepada kos menuai. Lebih parah, kos ini akhirnya ditanggung pesawah. Akibatnya, ramai pesawah di utara mungkin terpaksa “bercuti” daripada menanam kerana modal permulaan terlalu tinggi. Ada juga yang akan mengurangkan keluasan tanaman,
Kegagalan mengusahakan sawah bukan sahaja menjejaskan pendapatan, tetapi juga mencetuskan masalah lain seperti kemiskinan, hutang dan tekanan mental. Akibat daripada tekanan ini mungkin akan mengakibatkan timbul tekanan baharu termasuk menjual tanah warisan atau jentera untuk membeli keperluan asas.
Kerajaan telah mengumumkan peningkatan bantuan tunai diesel kepada RM400 sebulan serta insentif padi RM300 per hektar. Namun langkah ini hanya bersifat sementara. Penyelesaian jangka panjang mesti digerakkan segera dengan memastikan subsidi diesel khusus untuk petani, mempergiat operasi pembenihan awan, mengurus empangan dengan teliti, serta memelihara Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda (KHSUM). Tanpa air dari KHSUM, bukan sahaja sawah padi terancam, malah industri semikonduktor di Pulau Pinang juga mungkin turut lumpuh dan memberikan kesan kepada pekerjaan dan ekonomi negara.
Jika krisis diesel global berlarutan, dunia akan berdepan krisis makanan parah. Petani mungkin kembali ke kaedah tradisional menggunakan kerbau dan cangkul, namun skala pengeluaran tidak mampu menampung permintaan. Ada yang mungkin beralih kepada tanaman alternatif seperti ubi kayu atau jagung, sekadar untuk kelangsungan hidup. Hyper-inflasi harga beras boleh mencetuskan rusuhan sosial dan ketidakstabilan politik. Kilang padi pula lumpuh kerana tiada bahan api untuk mesin pengering dan pengisar.
Peralihan kepada tenaga boleh baharu bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak. Antara teknologi alternatif yang boleh diterapkan termasuk pam air berkuasa solar bagi menggantikan enjin diesel untuk sawah kering, jentera elektrik yang menggunakan sistem solar atau bateri khas, serta penghasilan biodiesel sendiri memanfaatkan kelebihan Malaysia sebagai pengeluar sawit. Galakkan penggunaan tenaga solar mungkin boleh dimasukkan dalam skim subsidi pesawah.
Isu tasik kering akibat kemarau panjang sudah dibincangkan pada tahun 2024. Walaupun fenomena ini dikatakan berlaku secara semula jadi, kaedah Natural Based Solutions (NbS) adalah penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang mesti dipercepatkan. Hutan sebagai sumber air perlu dimanfaatkan. KHSUM, Taman Negara Pahang, Kompleks Hutan Belum-Temenggor, Taman Negara Endau-Rompin dan lain-lain hutan simpan adalah aset strategik untuk NbS.
Kajian hidrologi hutan berasaskan NbS memberi tumpuan kepada pemulihan fungsi ekosistem sebagai “infrastruktur hijau” untuk mengawal bekalan air secara mampan perlu diperkasakan segera. Di Malaysia, hampir 97% bekalan air mentah negara bergantung kepada sungai yang sebahagian besarnya berpunca dari kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) mesti diberikan perhatian.

More Stories
Antara Zuhud dan Kesesatan, Iktibar Penting Dari Tipu Daya Syaitan Dalam Memahami Tauhid
Sambutan 50 Tahun Persatuan Pegawai Akademik UPM: Lima Dekad Berbakti dan Berilmu
Mr. Trump, When Will This Movie End…