Oktober 29, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Perjanjian Dagangan Timbal-Balik USA-Malaysia: Mengapa Bumiputera Dipinggir, DEB 1970 Diperleceh

Penganjuran ASEAN Summit 2025 oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, sungguh berwarna-warni. Ia tambah mewarnai seluruh alam semesta dengan kehadiran beberapa tokoh dunia, terutama President Trump.

Fokas utama ASEAN Summit ialah pengukuhan kesepakatan dikalangan negara-negara ASEAN, menjadikannya diantara blok kerjasama serantau paling berpengaruh.

Pun begitu, fokas itu dicuri oleh kehadiran President Trump. Sekalipun kehadirannya sekadar transit dalam perjalanannya hadiri Sidang APEC, di Korea Selatan, semasa berada di negara ini, dua acara utama menarik perhatian dunia.

Pertama, beliau menyaksikan perjanjian perdamaian KembojaThailand yang diusahakan bersama President Trump dan Datuk Seri Anuwar Ibrahim.

Kedua, perjanjian dagangan timbal-balik USA-Malaysia.

Tidak banyak diperkatakan mengenai acara yang pertama itu.

Bagi acara kedua, ia menarik minat banyak pihak yang bersetuju atau sebaliknya, mengenai perjanjian yang dimetarai itu.

Perjanjian itu bukan sekadar berat sebelah, ia adalah satu perjanjian yang ‘mengarahkan’ Malaysia lakukan banyak perkara mengikut kehendak USA. Terdapat 37 Fasal dalam Perjanjian itu yang ‘mengarahkan’ Malaysia (Malaysia shall…) untuk akur dengan kehendak USA.

Rencana ini saya tulis bukan untuk menyatakan persetujuan atau penolakan perjanjian itu. Ketidasamaan dalam perjanjian seperti itu memang dijangkakan. Akan tetapi tidaklah kami terfikir sampai begitu sekali hinanya negara ini dipijak-pijak sesuka hati.

Negara kerdil seperti Malaysia, yang pada masa yang sama, berdepan pelbagai ancaman geopolitik, tidak miliki banyak kuasa rundingan (bargaining power). Pastinya ada banyak perkara yang terpaksa ‘digadaikan’. Pun begitul berpada-padalah apa yang wajar dan tidak wajar digadaikan.

Dalam rencana ini saya cuit satu perkara yang tidak sepatutnya ‘digadaikan’, oleh Malaysia, dalam perjanjian itu. Ia ada kaitan dengan maruah dan kedaulatan bumiputera sebagai kaum asal dan etnik majoriti negara berdaulat ini. Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa mereka terkandung dalam Perkara 153. Penafian Perkara ini adalah melanggari peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Malangnya, Perkara 6.2 dalam perjanjian dagangan timbal-balik USA Malaysia itu, ia menafikan  hak istimewa bumiputera, seraya meletakkan syarikat-syarikat USA yang bertandang ke negara ini diberi layanan saksama, di atas pentas permainan yang sama. Ia ibarat menanakkan nasi untuk si dagang yang lalu.

Sayugia diimbas kembali, pada 15 Julai 2013, pasukan 16 wakil MPM telah adakan dialog tidak rasmi dengan YBM MITI, menolak pendirian Kerajaan Malaysia menerima ketetapan TPPA. Pada ketika itu, wakil Malaysia terlalu berkompromi dan hampir akur dengan desakan USA untuk merombak Perlembagaan Persekutuan yang ada kaitan dengan Perkara 153 ini.

Akhirnya Kerajaan ketika itu akur dengan desakan kami bersama banyak pihak lain. Apabila Malaysia mengubah pendiriannya, USA naik berang dan keluar dari pakatan itu. Akhirnya TPPA terbengkalai.

Pun begitu, kami menjangkakan USA tidak akan berdiam diri. Pasti ada helah lain yang akan tercetus. Mentelahan pula, Malaysia serta beberapa negara lain kemudiannya memeterai perjanjian kerjasama serantau yang lain, berjenama RCEP, tanpa pembabitan USA.

Apabila USA berjaya membawa kembali President Trump menerajui negara itu, ia sesuatu yang tidak memeranjatkan. Secepat kilat beliau tampil dengan jadual tarif timbal-balik yang dikenakan oleh USA kepada seluruh dunia, termasuk Malaysia.

USA kini pergi lebih jauh dari apa yang dihajatkan melalui TPPA yang terdahulu itu. Bagi Malaysia pula, apa yang kita cuba halang semasa rundingan TPPA dulu, kini telah tergadai.

Dalam usaha untuk menjustifikasikan perjanjian yang dimeterai itu, sepatutnya tidaklah tercetus elemen pencacian dan peminggiran kepada mana-mana pihak.

Kami tambah terkilan kerana kesempatan diambil oleh beberapa kelompok cauvinis dalam negara yang menangguk di air keruh. Mereka ambil kesempatan melabelkan DEB1970 sebagai dasar ‘Bumiputera First’, dengan niat secara terbuka mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan hakhak istimewa kepada bumiputera.

Malah mereka turut menuduh kerajaan kononnya memanjakan bumiputera dan mengamalkan dasar ala apatheid.

Saya tidak akan mendesak pihak-pihak yang celupar itu, yang ambil kesempatan dan sengaja menghidupkan api perkauman atau pergeseran kaum, meminta maaf. Mereka tidak akan meminta maaf.

Saya ambil kesempatan ini untuk menuding jari, mempersalahkan pemimpin dan pentadbir pelbagai institusi eksekutif yang diterajui bangsa saya sendiri. Ada dikalangan mereka yang sengaja membunuh lebih awal riwayat DEB1970, bagi diganti dengan dasar baru sebagai legasinya.

Ada pemimpin yang berseteru sesama sendiri, sehinggakan tergamak melabelkan DEB1970 sebagai dasar yang rasis, walhal, apa yang belaku ialah pemberian peluang ekonomi secara tidak adil kepada kroni dikalangan pemimpin tertentu. Terjadinya begitu hanyalah kerana sifat-sifat berdendam sesama mereka, iaitu dikalangan pemimpin bangsaku sendiri.

Dikalangan institusi eksekutif pula, semakin menjadi-jadi pentadbir dikalangan bangsaku yang berperangai ibarat si kitol. Ada pula yang lupa daratan, mereka berada di kerusinya itu adalah kerana mereka bumiputera. Malangnya, bila berada di kerusi empuk itu, merekalah yang lebih sudu dari kuah, memperlecehkan keupayaan bangsanya sendiri, seraya menafikan hak bangsanya untuk dimudahcara, membina daya-saing, daya-usaha dan daya-cipta, menjadi bangsa yang hebat bermaruah dan diberkati.

Nah kini, bangsaku ini semakin terpinggir dan dasar membela nasibnya diperleceh. Ia terjadi dengan taktik halus kuasa asing yang diambil kesempatan oleh pelbagai puak cauvinis dalam negara.

Andaikata bangsaku ingin bangkit dengan sedikit kekuatan yang masih berbaki, pertama, carilah pemimpin dan pentadbir dikalangan bangsaku yang berkeperibadian sebagai ASWJ, yang bersih, cekap dan amanah, yang hebat, bermaruah dan diberkati, bagi mengembalikan maruah dan kedaulatan bangsa ini.

Cukup azab rasanya bangsa ini dianak-tirikan dengan pelbagai cara, termasuk oleh tangan-tangan kotor dikalangan bangsanya sendiri.

Maka dengan ini saya serahkan kepada setiap insan dikalangan bangsaku ini untuk fikirkan bagaimana kita akan bangkit.

Jangan ditanya mereka yang kini berada di kerusi nan empuk. Bagi mereka, zaman bumiputera bertongkat sudah lama berlalu. Bagi mereka, zaman pembangunan dengan dasar-dasar afirmatif dan inklusif bagi lindungi kaum majoriti kelas ketiga, sudah tidak lagi relevan. Bagi mereka, dasar-dasar semasa yang membina keupayaan bersaing dan produktiviti, itulah saja yang diutamakan. Mereka lupa yang mereka berada di situ adalah kerana mereka bumiputera.

Maka, lupakanlah mereka.