April 17, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Pelan Kemakmuran Melayu 2065: Berkerangkakan Maqasid Syariah

Oleh: Dato’ Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM | CEO, The Global Academy @ MPM

Ahad, 6 Julai 2025 | 10 Muharam 1447H

Pengenalan: Menyambung Agenda Kemakmuran Melayu

Sebagai kesinambungan kepada rencana saya bertarikh 3 Julai 2025, izinkan saya memperkenalkan satu cadangan penting: Pelan Kemakmuran Melayu 2065 (PKM2065), atau The Future-Positive Malay Prosperity Plan 2065.

Pelan ini dicadangkan berkerangkakan Maqasid Syariah, agar kemajuan yang dikecapi bukan sahaja bersifat material, tetapi juga memiliki roh Islamik yang mendalam.

1. Roh Maqasid Syariah sebagai Asas Pembangunan

Sebagai bangsa yang menjunjung agama, roh kepada PKM2065 mestilah dibina berdasarkan lima prinsip utama Maqasid Syariah. Kerangka ini bukan sahaja relevan untuk pembangunan fizikal, tetapi lebih penting, membina insan dan masyarakat rabbani yang sejahtera.

Kita akan menggunakan idea-idea dayacipta seperti yang dibawa oleh Saudara Rushdi Rahim daripada MIGHT, dan mengisinya dengan semangat Dasar Ekonomi Baru 1970, yang digabungkan dengan tuntutan syariah, nilai budaya bangsa, dan aspirasi kontemporari.

2. Lima Tiang Seri Maqasid Syariah dalam PKM2065

a. Menjaga Agama (Hifz al-Din)

Sebagai umat Islam di Malaysia, kita mengiktiraf hanya satu aliran akidah iaitu Ahli Sunnah wal-Jamaah (ASWJ). Menjaga agama adalah tunjang utama yang akan diperincikan lebih lanjut dalam rencana saya yang akan datang, termasuk justifikasi kenapa aspek ini wajib didahulukan dalam pelan kemakmuran ini.

b. Menjaga Nyawa (Hifz al-Nafs)

Negara Barat membina indeks Kualiti Kehidupan (Quality of Life Index) bagi mengukur pembangunan.

Bagi masyarakat Melayu Islam, indeks ini wajar diadaptasi menjadi patuh-syariah, bersesuaian dengan prinsip ASWJ. Ulasan lanjut mengenainya akan saya bentangkan dalam penulisan akan datang.

c. Menjaga Akal (Hifz al-Aql)

Menjaga akal bermakna memperkayakan minda dengan ilmu, pengetahuan, kemahiran dan kebijaksanaan.

Insan rabbani yang terhasil melalui proses ini akan menjadi tulang belakang masyarakat madani, yang menjana kemakmuran dengan nilai dan akhlak.

d. Menjaga Keturunan (Hifz al-Nasf)

Penjagaan zuriat adalah aspek kritikal. Dalam Islam, genetik (genotype) dan persekitaran (environment) memainkan peranan membentuk insan rabbani.

Formula saintifik menyatakan:

Vp = Vg + Ve + … + Vn

Di mana Vp ialah phenotype (peribadi zahir), Vg ialah genotype (zuriat), Ve ialah pengaruh persekitaran, dan Vn ialah faktor luaran lain.

Tanpa persekitaran yang dirancang dengan baik, adalah sukar melahirkan generasi rabbani. Maka penjagaan zuriat mestilah dilaksanakan dengan teliti dan strategik.

e. Menjaga Harta (Hifz al-Mal)

Dalam tertib maqasid syariah, ekonomi datang terakhir. Ini memberi maksud bahawa pembangunan ekonomi yang sebenar hanya boleh dicapai setelah empat komponen lain berada di landasan yang betul.

Hanya dengan roh yang benar, ekonomi bangsa Melayu dapat dibangunkan secara menyeluruh dan berkat.

Penutup: Menuju 2065 dengan Roh Islamik

PKM2065 bukan sekadar pelan fizikal atau angka ekonomi. Ia adalah rencana peradaban, membina bangsa yang bermaruah, berilmu, beriman, dan diberkati.

Saya akan menulis rencana susulan bagi memperincikan setiap tiang seri Maqasid Syariah agar kita bersama dapat membina pelan ini secara menyeluruh, berpandukan kerangka yang benar.