Artikel ini adalah wacana pertemuan dengan Ravenna Chen
Ketika dunia sibuk memperkatakan tentang saingan teknologi AS-China atau dominasi rantaian pengguna Barat, satu kekuatan ekonomi yang lebih senyap namun berdaya tahan sedang berkembang pesat, Ekonomi Halal Global.

Menurut laporan terkini oleh Ravenna Chen, Presiden Eksekutif Intrinsic EO, ekonomi Halal dunia telah mencecah USD2.3 trilion pada tahun 2023 dan dijangka melepasi USD5 trilion menjelang 2030. Ini bukan sekadar trend pengguna beragama Islam, tetapi satu sistem ekonomi berasaskan peradaban, nilai, dan kepercayaan yang merentas sempadan budaya dan geografi.
Malaysia: Bukan Sekadar Pengguna, Tetapi Penentu Standard Dunia
Apa yang menjadikan Malaysia begitu penting dalam lanskap ini?
Aset Institusi: Peranan JAKIM Sebagai Penentu Standard Global Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membina sistem pensijilan Halal yang bukan sahaja sah secara syariah, tetapi juga mematuhi piawaian pengurusan kualiti antarabangsa seperti HACCP dan ISO. Lebih 70 negara mengiktiraf pensijilan JAKIM, menjadikannya ‘pasport’ global untuk syarikat-syarikat yang ingin menembusi pasaran Muslim.
Aset Budaya: Keupayaan Menyesuaikan dan Menjambatani Peradaban Malaysia mempunyai kekuatan unik sebagai negara berbilang kaum dan agama, dengan penguasaan dalam bahasa Melayu, Inggeris, dan Cina. Ini menjadikan kita pemudah cara yang ideal antara syarikat global dan keperluan budaya pengguna Muslim. Model sosial Malaysia membentuk ekosistem yang amat sesuai bagi pertumbuhan ekonomi Halal berasaskan nilai.
Aset Geopolitik: Neutral Tapi Strategik Dalam dunia yang penuh ketegangan geopolitik, Malaysia kekal dengan dasar berkecuali yang matang. Hubungan baik dengan kuasa besar seperti China, AS, Arab Saudi, Jepun dan India membolehkan kita menjadi pengantara yang dipercayai dalam kerjasama Halal, logistik digital dan pembangunan tenaga hijau.
Halal: Lebih Daripada Sekadar Bersih
Halal bukan hanya tentang kebersihan dalam konteks saintifik, tetapi kebersihan dalam konteks keimanan, moral dan sosial. Proses pensijilan Halal melibatkan audit kilang, semakan bahan, pematuhan syariah, serta pemantauan tahunan, menjadikannya lebih teliti daripada standard keselamatan makanan biasa.
Malaysia Pemangkin Ekonomi Muslim Global
Seperti yang digambarkan oleh Ravenna, Malaysia bukanlah yang paling lantang, tetapi ialah tali penghubung yang paling kukuh. Kita bukan pemain yang paling besar, tetapi kitalah yang membina pentas dan menetapkan aturan permainan.
Penulisan ini lahir dari satu pertemuan bersama penulis sendiri dan Ravenna Chen ketika majlis Rumah Terbuka Raya Wezmart pada 15 April 2025. Terima kasih kepada Me Yee dari Wezmart atas usaha menyusun pertemuan ini.


More Stories
Sawah Padi Kering dan Krisis Diesel: Ancaman Berganda kepada Petani
Antara Zuhud dan Kesesatan, Iktibar Penting Dari Tipu Daya Syaitan Dalam Memahami Tauhid
Sambutan 50 Tahun Persatuan Pegawai Akademik UPM: Lima Dekad Berbakti dan Berilmu