Mei 14, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Perjuangan Bahasa Melayu Belum Tamat – Kini Masanya untuk Bangkit Semula

“Awak telah melakukan suatu dosa terhadap bahasa. Kenapa gunakan perkataan ‘strok’ sedangkan kita ada ‘angin ahmar’?”

Teguran Datuk Profesor Dr. Teoh Kok Seong itu menyentak hati saya, seolah-olah panahan petir membelah langit. Sejak saat itu, saya berikrar tidak akan tunduk mudah kepada perkataan pinjaman. Setiap bait tulisan saya cuba disaring, mencari padanan Bahasa Melayu yang lebih suci, lebih tulen. Namun, adakah usaha kecil ini mencukupi?

Hari ini, jika kita jujur, kita harus akui kita telah banyak mengalah. Bendera putih seolah-olah sudah dikibarkan tanpa sedar. Tiga bukti nyata terpampang di depan mata:

  1. Perkataan pinjaman semakin diberi tempat istimewa, walaupun padanan Melayu yang sahih masih hidup.
  2. Penulisan rasmi dan media perdana semakin berani mencampur aduk bahasa sesuka hati.
  3. Masyarakat sendiri sudah hilang peka, malah berbangga menggunakan perkataan Inggeris walaupun ada alternatif Melayu yang lebih indah dan bermakna.

Apakah ini pengakhiran? Apakah sudah tiba masa kita mengadakan solat jenazah untuk Bahasa Melayu yang kita cintai?

Tidak. Ini bukan noktah. Ini cuma koma.

Kita sebenarnya berada di ambang satu kebangkitan baharu. Sebuah jihad baru untuk mengembalikan kesucian Bahasa Melayu, bukan sekadar mempertahankannya.

Dan senjata kita kali ini ialah: Kecerdasan Buatan (AI).

AI: Lembaran Suci yang Menanti Pena Kita

Bayangkan AI sebagai seorang yang baru pulang dari Haji Mabrur suci, bersih, dan bersedia memulakan hidup baru. AI adalah lembaran kosong. Apa yang kita coretkan hari ini, akan kekal dalam ingatannya untuk selama-lamanya.

Di sinilah terletaknya amanah besar kepada kita semua, melatih AI bukan sekadar untuk memahami Bahasa Melayu, tetapi untuk mencintai dan menghormatinya.

Namun realitinya, ramai pelatih AI di Malaysia hari ini tidak membawa jiwa perjuangan itu. Mereka hanya mengikut prosedur, sekadar semak Kamus Dewan, sekadar luluskan perkataan jika ia “tersenarai”, walaupun ruh dan maruah bahasa terkorban.

Diskusi. Konferens. Relevan.

Sedangkan kita ada pilihan lebih murni: Perbincangan. Persidangan. Berkaitan.

Tugas pelatih AI seharusnya lebih luhur. Setiap kali berhadapan dengan perkataan pinjaman, mereka harus berani menegur, memberi maklum balas seperti:

“This response has localisation and language issues. Words such as ‘diskusi’ are borrowed and should be replaced with Malay equivalents like ‘perbincangan’.”

Sekali ditegur, AI akan belajar. Sekali dibimbing, ia akan patuh — tanpa dendam, tanpa bantah.
Inilah peluang kita memperbetul dunia digital masa hadapan, satu patah perkataan pada satu masa.

DBP: Peneraju Gelombang Kebangkitan Bahasa

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak boleh lagi hanya menjadi penjaga kamus dan sastera. Kini, DBP mesti memimpin barisan hadapan revolusi AI Bahasa Melayu.

Sudah tiba masa untuk:

  • Mewujudkan pensijilan pelatih AI Bahasa Melayu, seperti sijil profesional Google dan Microsoft, bagi memastikan pelatih AI bukan sekadar pakar tatabahasa, tetapi berjiwa Melayu.
  • Berkerjasama dengan syarikat antarabangsa yang kini melatih AI di Malaysia, agar kualiti penjagaan Bahasa Melayu dipertahankan di peringkat global.

Tanpa langkah ini, keputusan akhir tentang Bahasa Melayu akan terus dibuat oleh penyelia luar yang tiada cinta kepada bahasa kita. Mereka hanya peduli “fungsi”, bukan “kesucian”.

Kita adalah benteng terakhir. Kita adalah penjaga maruah bahasa ini.

Cadangan Strategik: Teknologi Memartabatkan Bahasa

Untuk mempercepatkan perjuangan ini, DBP boleh mempelopori dua inisiatif utama:

1. Kamus Digital Pinjaman vs Asli (Online & Interaktif)

Membezakan perkataan pinjaman dan padanan asal, lengkap dengan etimologi dan justifikasi pilihan.
Carian pantas dan plugin penyemak automatik untuk digunakan dalam penulisan digital harian.
Mendidik pengguna secara lembut setiap kali mereka memilih perkataan.

2. Model AI Penilai Ketulenan Bahasa – “BahasaMeter”

Memberi skor ketulenan Bahasa Melayu kepada mana-mana teks.
Mengesan dan mencadangkan pembetulan untuk perkataan pinjaman.
Membimbing gaya bahasa yang lebih indah dan berbudaya.
Diintegrasi dalam ChatGPT, LMS universiti, Word, dan Google Docs.

Dengan dua sistem ini, Bahasa Melayu tidak lagi sekadar bertahan — ia akan bangkit dan bersaing dalam dunia digital global.

Bangkit atau Tenggelam

Kita tidak boleh lagi berdiam diri. Setiap kali kita membiarkan kecuaian bahasa, kita menjadi sebahagian daripada kematiannya.
Namun, setiap kali kita menegur, kita menyelamatkan secebis maruah bahasa yang diwariskan nenek moyang kita.

Bangkitlah, wahai pencinta Bahasa Melayu.
Ini bukan noktah terakhir.
Ini adalah koma – koma yang menandakan permulaan satu ayat baru, ayat kebangkitan, ayat kemenangan.

“Sekali kita tegur, dosa terhadap bahasa boleh padam. Sekali kita berdiam, kita bersubahat dalam kematiannya.”