April 17, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Di Mana Ketegasan Kerajaan Madani Melindungi Hak Melayu Bandar?

Dalam suasana negara yang kian mencabar, isu perlindungan terhadap hak orang Melayu, khususnya di bandar perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan Madani. Kita tidak mahu sejarah penjajahan yang menindas dan merampas hak anak watan berulang dalam bentuk baharu melalui dasar-dasar pembangunan yang tidak sensitif terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang merisaukan, dalam draf RUU Urban Renewal Act (URA) yang dijadualkan untuk diluluskan Julai ini, tiada langsung kedengaran jaminan bahawa Artikel 153 akan dimasukkan sebagai elemen teras. Artikel ini yang secara jelas memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, seolah-olah tidak lagi menjadi rujukan utama dalam pembentukan dasar bandar baharu.

Persoalan kita mudah:

Bagaimana mungkin kerajaan yang melaungkan slogan Madani dan Kesejahteraan Rakyat boleh berdiam diri terhadap hakikat bahawa semakin ramai orang Melayu bandar terpinggir akibat arus pembangunan dan pembaharuan bandar?

RUU URA, jika tidak disemak dengan teliti dan tidak menjunjung roh Perkara 153, bakal membuka ruang lebih luas kepada proses pengambilalihan tanah dan penempatan semula yang bakal mengusir lebih ramai penduduk jati Melayu dari kawasan strategik bandar. Pembangunan tidak boleh menjadi alasan untuk menafikan sejarah, identiti, dan hak milik masyarakat asal yang telah mendiami kawasan tersebut sejak turun-temurun.

Kita sudah melihat bagaimana kampung-kampung tradisi Melayu di kawasan bandar seperti di Kampung Bharu, Kampung Sungai Baru, Kerinchi, dan Kampung Medan menghadapi tekanan pembangunan tanpa pelan perlindungan hak yang tuntas. Rakyat bukan menolak pembangunan, tetapi mereka menuntut pembangunan yang adil – yang menjaga hak, warisan dan masa depan anak cucu mereka.

Kerajaan Madani perlu menunjukkan ketegasan, bukan hanya keprihatinan retorik. Rakyat menunggu pengumuman yang jelas: Adakah Artikel 153 akan menjadi sebahagian daripada RUU URA? Jika tidak, apakah mekanisme perlindungan yang akan memastikan orang Melayu tidak terus kehilangan kedudukan mereka di kota sendiri?

Jika kerajaan masih berdiam diri, ketenangan orang Melayu akan terus tergugat. Keyakinan terhadap kerajaan akan terus menipis. Apa guna slogan inklusif jika yang asal terus tersisih? Ini bukan soal perkauman, ini soal keadilan sosial, sejarah, dan tanggungjawab moral terhadap kontrak sosial yang telah disepakati.

Kerajaan perlu mendengar, dan lebih penting, bertindak. Jangan biarkan orang Melayu hanya menjadi penonton dalam pembangunan bandar, sedangkan mereka telah menjadi pemilik tanah dan pewaris kawasan tersebut sejak dahulu.

Madani bukan hanya soal pembangunan fizikal, tetapi juga keadilan dan kelangsungan bangsa. Jangan jadikan Artikel 153 hanya tinggal sejarah dalam buku teks undang-undang.